mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wilayah Hadramaut

DAHULU, daerah ini dikenali sebagai daerah asal orang Arab yang datang ke alam Melayu. Kedatangan mereka ke alam Melayu dianggarkan berlaku semenjak abad ke-13 kerana pada masa itu telah terjalin hubungan dagang antara alam Melayu dengan Arab Selatan, terutamanya Muccat dan Teluk Parsi.

Hadramaut terletak di seluruh kawasan pantai Arab Selatan dan termasuk dalam wilayah pemerintahan Republik Yaman, bermula dari Aden hingga ke Tanjung Ras-al-Had.

Penduduknya termasuk bangsa Arab Selatan atau Arab Asli (‘Arab ‘Aribah). Mereka mengganggap diri mereka keturunan Yakrub bin Qahtan bin Hud. Nama Hadramaut itu sendiri diambil daripada nama tokoh legenda ‘Hadramau", namun identiti tokoh ini tidak pernah diketahui dengan pasti.

Geografi

Hadramaut terletak di sekitar wadi Hadramaut. Panjang wadi tersebut lebih kurang 400 kilometer dan merupakan salah satu daripada sejumlah kecil sungai di Arab yang sentiasa berair.

Muka buminya terdiri daripada pantai berpasir dan pergunungan batu yang gersang. Di sepanjang pantai hanya terdapat bukit-bukit yang di belakangnya terdapat serangkaian gunung.

Gunung yang tertinggi antaranya ialah Gunung al-Arsyah. Di sana-sini terdapat padang rumput dan hutan kecil pohon sibr (sejenis kaktus berduri). Di kawasan pantai terdapat beberapa sumber air panas.

Dua pelabuhan penting di wilayah pantai Hadramaut ialah al- Syihr dan Mukalla. Pelabuhan Mukalla terkenal sebagai pusat industri perikanan Yaman.

Kedatangan Islam

Penduduk asal Hadramaut seluruhnya beragama Islam. Agama itu dibawa masuk ke wilayah Hadramaut pada abad pertama Hijrah. Mereka menganut agama itu secara turun- temurun. Namun demikian, mazhab yang mereka ketahui hanyalah Mazhab Syafie.

Makam suci

Di Hadramaut terdapat beberapa makam Islam yang dipercayai sebagai tempat suci, antaranya termasuklah Qabr Hud (makam Hud), makam Nabi Salleh a.s dan makam Ahmad bin Isa.

Qabr Hud (makam Hud) dipercayai penduduk setempat sebagai makam nenek moyang mereka, Nabi Hud a.s. Berdekatan dengan makam itu terdapat pula masjid yang banyak dikunjungi penziarah, terutamanya pada setiap 11 Syaaban.

Makam Nabi Salleh a.s terletak di Lembah Sarr. Selain itu terdapat juga makam lain, iaitu makam Aidid dan al-Aidrus. Makam Aidid terletak di kota Aidid, sedangkan makam al-Aidrus terletak di al-Syihr.



Utusan/Bicara_Agama/20140429
Tags: hadramaut
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments