mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jadikan baca buku kerja rumah setiap murid

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur datang lagi. Majlis berlangsung dari 24 April hingga 4 Mei 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan kepada pengunjungnya.

Kehadiran pengunjung juga dilaporkan meningkat dengan baik tahun demi tahun. Menurut laporan, dianggarkan lebih 1.7 juta pengunjung akan membanjiri pesta buku tahun ini dan ini perkembangan yang menggembirakan.

Kita tidak dapat menolak hakikat dunia semakin berkembang melalui peralatan elektronik dan e-book yang mewarnai bentuk bacaan dunia alaf baru, namun, masih ramai yang cintakan bahan bacaan bertulis yang boleh dipegang dan diselak helaiannya.


Masyarakat miliki daya fikir tinggi

Bilangan pengunjung menjadi petunjuk bahawa semangat cintakan dan suka membaca berkembang dengan baik dalam masyarakat kita. Semangat cintakan buku dan suka membaca penting jika kita ingin menjadi masyarakat yang mempunyai daya fikir tinggi.

Membaca menambahkan ilmu dan lebih banyak fakta baru diketahui. Banyak membaca buku agama memberikan kita lebih banyak pengetahuan mengenai ajaran agama dan mendorong beramal dengannya.


Banyak membaca buku motivasi akan membuka minda serta menjadikan kita lebih bersemangat mengharungi cabaran hidup ini. Semakin banyak membaca, semakin kuat minda memproses dan menjadikan kita semakin berilmu, matang serta meningkat menjadi insan lebih baik.

Ini menepati pernyataan al-Quran iaitu, “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Semangat cintakan buku dan suka membaca sebenarnya bermula sejak seorang itu kecil lagi. Ibu bapa sebenarnya pihak pertama yang sewajarnya memperkenalkan nilai murni ini. Membacakan kepada anak sebelum mereka tidur adalah amalan mempercepatkan pembinaan sikap cintakan ilmu.

Apatah lagi, membaca perkara besar yang disebut dalam al-Quran melalui wahyu pertama diturunkan kepada Nabi di Gua Hira’.

Justeru, nilai suka membaca dan cintakan bahan bacaan adalah amalan yang disukai agama Islam. Namun, amalan membacakan buku kepada anak sebelum tidur agak kurang dalam masyarakat kita, tetapi menjadi kebiasaan masyarakat Barat.

Dr Noraini Hashim, Nurhidayah dan Fauzi Kamarudin dalam kertas kerja bertajuk Educational Experiences of Malaysian Primary Students: Learning from the Australian School System yang dibentangkan pada Seminar Pendidikan baru-baru ini, menyentuh usaha membina semangat suka membaca dan cintakan buku oleh ibu bapa, sekolah, kerajaan dan perpustakaan awam di Australia.


Kemudahan perpustakaan awam

Perpustakaan awam mereka banyak menjalankan bengkel percuma untuk ibu bapa mempelajari teknik membaca dengan anak sebelum tidur. Perpustakaan awam daerah membenarkan kanak-kanak meminjam sehingga 30 buku sekali gus dan boleh memulangkannya di mana-mana perpustakaan berdekatan.

Mereka juga memudahkan kaedah tempahan buku untuk peminjaman secara e-mel dan boleh memperbaharui tempoh pinjaman melalui sistem ‘online’.

Sekolah turut menyuburkan semangat cinta membaca dengan menjadikan sesi membaca buku atau novel bersama ibu bapa di rumah sebagai kerja rumah setiap hari. Setiap murid diberikan buku log untuk catatan buku dibaca sebelum tidur bersama ibu bapa dan buku itu ditandatangani ibu bapa.

Mereka yang membaca paling banyak akan diraikan oleh pihak sekolah pada sesi perhimpunan mingguan. Murid dianugerahkan lencana Pupil of the Week oleh guru besar. Usaha ini menyebabkan kanak-kanak teruja dan mendorong mereka membaca 20 hingga 30 buku cerita seminggu.

Pengkaji menemubual guru besar sekolah di Australia yang menceritakan, usaha menggalakkan kanak-kanak membaca novel atau buku cerita akan membantu mereka membina kreativiti serta penguasaan bahasa.

Sekolah di Australia juga mengambil pendekatan tidak begitu memberi kerja sekolah. Kerja sekolah bagi kanak-kanak sekolah rendah (7 hingga 12 tahun) adalah membaca buku cerita, novel dan menuliskannya di dalam buku log.


Jadi amalan harian

Mereka membina sikap cintakan buku dari kecil dan membuatkan ia menjadi sebahagian daripada amalan harian. Justeru, adalah perkara biasa mereka membawa buku cerita bersama dan membacanya di dalam bas, kereta api dan di taman.

Apabila sejak kecil kanak-kanak suka membaca, ia akan menjadi satu tabiat yang akan dibawa hingga dewasa dan membentuk keluarga. Apabila ibu bapa mempunyai sikap suka membaca, ia akan diturunkan pula kepada anak mereka untuk cintakan membaca serta mencari ilmu.

Indonesia memperkenalkan program Kecil-kecil Punya Karya menggalakkan kanak-kanak berumur 8 hingga 15 tahun menulis buku dan akan diterbitkan serta diletak di perpustakaan sekolah. Penerbit bekerjasama dengan sekolah mengenalpasti kanak-kanak berbakat dan membantu mereka menyempurnakan tulisan sehingga menjadi novel kanak-kanak.

Usaha ini menyebabkan kanak-kanak suka membaca dan kemudiannya menghasilkan buku untuk masyarakat. Ini usaha murni yang wajar diikuti ke arah menggalakkan dan membina nilai murni cintakan buku serta suka membaca.

Dr Nurhidayah Hashim ialah Prof Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam. Berita Harian Agama 2014/05/01 - 07:43:19 AM
Tags: baca, buku
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments