mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Iman teguh kawal diri lakukan dosa

Setiap perbuatan insan diberi pahala dan dosa. Tiada satu perbuatan manusia yang terkecuali daripada persoalan dosa atau pahala. Inilah rahsia kesejahteraan umat, pendidikan hakiki untuk mengajar manusia ke arah kebaikan.

Iman, akhlak mulia bentuk umat sejahtera


Masyarakat beriman melakukan sesuatu perbuatan atas perkiraan iman dan akhlak yang mulia membentuk umat sejahtera. Perbuatan Mukmin tidak menyusahkan masyarakat lain, bahkan sikap mereka membawa kebaikan kepada masyarakat.

Keimanan menjadi kawalan dalaman yang kuat bagi seorang untuk melakukan keburukan, tetapi masyarakat yang tidak beriman tidak terikat dengan prinsip ini. Oleh itu, mereka mungkin berdisiplin berdepan penguat kuasa, tetapi apabila tidak ada penguatkuasaan, undang-undang tidak dipatuhi.

Masyarakat yang jiwanya dibentuk oleh acuan keimanan mengawal dirinya sendiri, tidak kira ada penguatkuasaan atau tidak. Mukmin percaya setiap perbuatannya walau seberat biji sawi akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Neraca keadilan diletakkan untuk menentukan destinasi akhirnya.


Krisis keimanan

Krisis manusia moden hari ini berkait rapat dengan hakisan keyakinan mengenai dosa dan pahala. Gejala rasuah, pecah amanah, penindasan, kezaliman dan kerosakan alam sekitar berkait rapat dengan krisis keimanan.

Solat adalah tiang agama, apabila runtuh tiang ini, maka runtuhlah seluruh sendi agama. Pendidikan harus bermula ke arah membawa seluruh keluarga mendirikan solat kerana ia permulaan segala perbuatan yang lain.

Gagal menyempurnakan solat bermakna gagallah keluarga itu dalam seluruh kehidupannya kerana solat mencegah melakukan kemungkaran. Mukmin yang melakukan solat tercegah daripada perbuatan mungkar.

Sumber Buku Ulul Albab Ajaibnya Alam Semesta. Berita Harian Agama 2014/05/01
Tags: akhlak, dosa, iman
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments