mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kedudukan mafqud dalam pewarisan

TIDAK dinafikan kedudukan mafqud turut menjadi perbincangan hangat dalam kalangan ulama fikah kerana ia memberi implikasi yang besar ke atas status perkahwinan, pembahagian harta pusaka peninggalannya, wasiat, hutang, hak memusakai (mewarisi pusaka) dan sebagainya.

Ulama fikah sepakat berpendapat bahawa mafqud dianggap masih hidup selagi tidak terdapat bukti yang menunjukkan kematiannya atau tiada pengisytiharan kematian ke atas dirinya.

Justeru, status perkahwinan mafqud kekal sebagaimana sebelum kehilangannya dan segala harta serta hak milik mafqud kekal menjadi miliknya yang tidak boleh dibahagikan kepada waris-waris.

Hakim boleh menghukum atau mengisytihar mafqud sebagai orang yang telah mati setelah terdapat bukti yang sah di sisi syarak tentang kematiannya ataupun setelah berlalu tempoh menunggu yang munasabah.

Majoriti ulama fikah daripada mazhab Maliki, Shafie dan Hanbali berpendapat bahawa mafqud berhak mewarisi harta pusaka pewarisnya (kaum kerabat yang meninggal dunia) selagi tiada bukti yang menunjukkan kematiannya dan juga selagi hakim tidak mengeluarkan perintah anggapan kematiannya.

Namun, bahagian mafqud dalam harta pusaka pewarisnya itu hendaklah ditangguhkan atau ditahan pemberiannya sehinggalah terbukti dia masih hidup.

Sekiranya dibuktikan atau diisytiharkannya telah meninggal dunia, bahagian dia dalam harta pusaka pewarisnya itu diserahkan kepada pewaris lain yang berhak.

Berbeza dengan pendapat ulama fikah mazhab Hanafi, mereka berpendapat bahawa mafqud tidak berhak mewarisi harta pusaka orang lain kerana disyaratkan waris yang layak menerima pusaka hendaklah benar-benar hidup, sedangkan mafqud ketika kematian pewaris itu diragui hidupnya.

Justeru menurut ulama fikah mazhab Hanafi, harta pusaka kaum kerabat mafqud yang meninggal dunia akan dibahagikan kepada waris-waris si mati yang lain tanpa diberikan apa-apa bahagian pusaka kepada mafqud.

Berkaitan dengan harta mafqud pula, apabila hakim telah memutuskan bahawa dia telah meninggal dunia, maka waris-waris mafqud yang masih hidup ketika keputusan mahkamah dikeluarkan berhak mewarisi harta pusakanya manakala yang telah meninggal dunia sebelum keputusan dikeluarkan tidak berhak mewarisi harta pusaka mafqud.

NOOR LIZZA MOHAMED SAID ialah pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Utusan Bicara Agama 20140501

Tags: mafqud
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments