mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hudud bukan sekadar memartabatkan syariah tetapi memperkasa ummah

SELEPAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan di Parlimen kesediaan Kerajaan Pusat untuk membantu Pas melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan polemik dalam kalangan pelbagai pihak terjadi.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat penegasan umum di Kedah baru-baru ini bahawa Kerajaan Pusat dan UMNO tidak menolak hudud, sebaliknya menerimanya. Khabarnya Lujnah politik Pas dan Jawatankuasa Tertingginya juga menerimanya dengan baik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu lawatan rasminya ke Kelantan turut sempat menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya. Ini adalah petanda baik bagi hubungan UMNO-Pas dan tentunya isu hudud menjadi agenda pertemuan.

Muhyiddin sewaktu di Kelantan mencadangkan sebuah jawatankuasa teknikal khas mengenai hudud ditubuhkan membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan dan Pas Kelantan bagi membolehkan undang-undang Islam khususnya jenayah syariah dibincangkan secara terperinci.

Kata beliau, menerusi perbincangan yang dibuat dalam bentuk lebih sistematik, hudud dapat dikaji dengan teliti sekali gus membantu semua pihak melihat situasi sebenar sebelum membawa usul mengenainya di Parlimen.

Jawatankuasa teknikal harus terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri Kelantan, wakil Persekutuan, tokoh-tokoh agama dan pakar di peringkat antara bangsa.

Ia adalah sesuatu yang munasabah kerana isu hudud bagi sesetengah pihak dalam masyarakat yang majmuk menjadi isu sensitif. Menghasilkan enakmen yang sifatnya substantif boleh dilakukan tetapi aspek "procedural" memerlukan penelitian yang sehabis baik kerana pelaksanaannya nanti menyentuh mengenai aspek keadilan.

Isu hudud yang membekam sekian lama dan meretakkan hubungan sesama Islam harus ditangani dengan jiwa besar. Jangan wujud kegopohan dan ketergesaan hingga menyebabkan maqasid hukum terjejas.

Kerjasama semua pihak terhadap jenayah syariah harus dijadikan jambatan ukhuwah tanpa sangka buruk dan membolehkan jiwa muzakarah berkembang.

Pendekatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, terhadap Kerajaan Pusat adalah sesuatu yang bijaksana.

Banyak titik temu yang boleh dihasilkan apabila ini berlaku. Perbezaan fahaman politik tidak harus dijadikan asas untuk permusuhan terus berlaku. Kesannya adalah besar terhadap generasi hari depan.

Politiking yang berlebihan boleh menyebabkan rasa kebencian dan dendam kesumat terjadi. Harus ada prioriti atau keutamaan terhadap isu-isu yang berbangkit didekati dengan sangka baik yang tinggi dan berjiwa besar untuk menyelesaikan kemelut yang ada.

Jangan fikirkan apa yang kita dapat daripada usaha baik ini. Fikirkan kepentingan umat dan buatlah keputusan dengan bijaksana supaya yang dikejar dapat yang dikendong tidak berciciran. Ia menuntut ketabahan dan jiwa besar supaya generasi umat masa depan menjadikan usaha kita sebagai contoh ikutan.

Telah sekian lama banyak tenaga dibazirkan dan umat Islam hilang fokus tentang apa sebenarnya yang ingin dicari dalam hala tuju perjuangan masing-masing. Jiwa wahdah perlu lahir supaya perubahan terjadi dan masyarakat memahami.

Bagi penulis persefahaman mengenai isu hudud tidak sifatnya politikal sahaja. Tetapi lihatlah ia sebagai jambatan menyatukan fikrah ke arah pelaksanaan syariah yang lebih terarah.

Pelaksanaan syariah tidak hanya bergantung kepada jenayah syariah semata-mata tetapi ia menyentuh kemampuan menghasilkan model Islami yang berasaskan syariah dalam enakmen yang lain yang menyangkut perkembangan muamalah, tijarah, industri halal, menyantuni golongan masa kini dan memerlukan perhatian supaya Malaysia mampu menghasilkan model dan alternatif yang terbaik berasaskan acuan Islami.

Penulis yakin Malaysia boleh melakukan ini kerana kecenderungan kepada pendidikan agama yang lebih komprehensif semakin tinggi.

Kalau ini dijadikan agenda bersama dalam kalangan warga umat bakal lahir generasi penerus yang tidak saja memiliki tasawwur dan fikrah yang betul tetapi dalam masa sama menyumbang kepada pembangunan umat. Umat Islam sedang menunggu ia berlaku. JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20140502

Tags: hudud, ummah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments