mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bagaimana meramaikan akauntan Islam

MENJELANG sambutan Hari Guru, kita akan terkenang jasa guru-guru kita yang telah mendidik kita sebaik mungkin.


Tiada wang ringgit yang mampu membayar segala jasa mereka. Mereka tidak pernah sesekali mengharapkan balasan sebagaimana yang ditunjukkan oleh guru-guru saya tatkala bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Seremban, hampir 20 tahun lalu.

Itu kisah yang saya alami. Kini, saya sendiri diamanahkan sebagai ahli akademik dan guru untuk mengajar anak bangsa.

Meskipun tugas sebagai pensyarah melibatkan aspek-aspek lain seperti perlu menjalankan penyelidikan, penyeliaan, perun­dingan dan penerbitan, namun pensyarah juga merupakan tenaga pengajar kepada anak-anak bangsa.

Mengajar anak-anak bangsa untuk berdikari dan mampu membantu negara dalam apa jua lapangan. Ditakdirkan oleh Allah SWT, saya menjadi ahli akademik dalam bidang perakaunan dan pengauditan di Universiti Utara Malaysia.

Dalam bidang ini, perkara pokok yang amat ditekankan tidak lain tidak bukan berkaitan amalan beretika dan berintegriti sepanjang masa.

Memetik kata-kata seorang akauntan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kini menjadi ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam;

“Akauntan tidak boleh sesekali memisahkan dirinya daripada etika dan integriti."

Sememangnya, beliau yang saya kenali sebagai seorang akauntan yang beretika tinggi dan berintegriti mantap.

Tambahan pula, beliau berpegang teguh dengan ajaran Islam. Asasnya, akauntan wajib beretika dan berintegriti sepanjang masa.

Maklumlah, akauntan ialah pihak yang paling dekat dengan kewangan syarikat dan organisasi. Bahkan, peranan akauntan semakin meluas dalam membuat keputusan pengurusan tertinggi syarikat. Sudah ramai akauntan yang bergelar CEO syarikat di Malaysia termasuk syarikat senaraian awam.

Ini menggambarkan betapa pentingnya akauntan dalam sesebuah organisasi.

Contoh lain baru-baru ini, terdapat laporan akhbar yang menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan 20 orang pelajar terbaik perakaunan di seluruh negara untuk berkhidmat dengan SPRM.

Kenapa pelajar perakaunan amat diperlukan? Salah satu kelebihannya adalah mereka diajar mengenai pengauditan dan ilmu ini boleh digunakan untuk memperkuatkan pasukan siasatan SPRM.

Bahkan, jika seseorang yang berlatarbelakangkan bidang perakaunan dan mema­suki cabang pengauditan sebagai juruaudit luar mahupun juruaudit dalam, secara tidak langsung mereka dilatih dan mengalami situasi-situasi penyiasatan.

Misalnya, seorang bekas pelajar saya yang berjawatan timbalan ketua audit dalaman sebuah syarikat terkemuka di Malaysia pernah menyatakan betapa ilmu perakaunan dan pengauditan amat membantunya dalam kerja-kerja penyiasatan.

Meskipun betapa pentingnya profesion perakaunan dan pengauditan dalam dunia korporat, namun, jelas kelihatan akauntan bumiputera Islam sukar mendapat tempat dalam menduduki kerusi tertinggi sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat bukan bumiputera.

Adakah ini bermakna bumiputera Islam tidak layak menjadi CFO dalam syarikat-syarikat berkenaan?

Begitu juga, berapa ramaikah CEO Islam berketurunan Melayu yang berlatarbelakangkan bidang perakaunan dan pengauditan menerajui syarikat keempunyaan bukan Islam?

Tidakkah kita lupa bahawa bekas CEO Petronas yang amat disegani dalam dunia korporat berlatarbelakangkan bidang perakaunan dan pengauditan? Khidmat beliau amat ditagih oleh negara jiran. Ini menunjukkan kewibawaan akauntan bumiputera Islam yang setaraf atau lebih baik berban­ding bukan bumiputera.

Tetapi, ia masih belum cukup untuk membolehkan akauntan bumiputera Islam menduduki kerusi tertinggi dalam syarikat bukan bumiputera.

Perkara ini perlu diubah segera jika kita mahu menjadikan masyarakat kita lebih adil dan saksama. Lagipun ilitizam untuk mencorakkan syarikat dengan menjadikan kepelbagaian kaum sebagai teras kekuatan tidak akan tercapai sekiranya sesuatu profesion yang amat penting seperti CFO dikuasai oleh satu kaum sahaja.

Perkara inilah yang sewajarnya diperbaiki segera dan bukannya laungan dan desakan untuk mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang amat songsang dengan budaya timur dan ajaran agama Islam. Kalau go­longan LGBT diktiraf, maka semakin rosaklah masyarakat Malaysia. Lebih banyak tuntutan yang pelik-pelik akan dibuat pada masa akan datang.

Jadi, pihak berkuasa dan kerajaan jangan sesekali tunduk dengan desakan golongan LGBT. Sedangkan tuntutan yang lebih utama untuk merealisasikan kesaksamaan dan keadilan dalam masyarakat majmuk tidak pernah langsung dipedulikan oleh golongan yang kononnya berjuang sebagai aktivis hak asasi manusia.

Tidakkah meramaikan CEO dan CFO Islam dalam dunia korporat bukan bumiputera adalah berkali-kali ganda lebih utama dan memberi kesan cukup positif serta adil dan saksama dalam masyarakat maj­muk berbanding tuntutan untuk mengiktiraf LGBT?

Sebab itulah saya melihat betapa pen­tingnya kita meramaikan akauntan profesional dan juga `akauntan’ dalam kalangan masyarakat Islam.

`Akauntan’ yang bukan profesional ini adalah mereka yang meskipun tidak memiliki segulung ijazah atau kelayakan profesional bidang perakaunan tetapi cukup mahir dalam `menjaga’ dan mengurus kewangan.

Lebih-lebih lagi untuk berjaya dalam dunia perniagaan, tidak boleh tidak, usahawan perlu mahir dalam mengurus kewangan. Itu belum disebut lagi kemahiran mengurus kewangan peribadi dalam ka­langan umat Islam Malaysia.

Dengan situasi peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi, kemahiran ini perlu dipelajari dan diamalkan dengan baik.

Akauntan dan akauntan Islam juga mampu memberi nafas baharu dalam mengurus kekayaan umat Islam. Dengan adanya gabungan elemen etika dan integriti serta mahir dalam mengurus dan menjaga kewangan, mereka ini akan menjadi pemain utama dalam memacu kekayaan umat Islam Malaysia. Rohami Shafie   ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia Utusan Rencana 20140507

Tags: akauntan, islam
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments