mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sengketa menantu, mertua

TERLALU berat hati untuknya pulang ke kampung kali ini. Selama ini Lina hanya mendiamkan diri dan memendam rasa. Namun Lina cuba pujuk hati. Keserasian ibu mertua dan menantu ada kala memerlukan masa untuk saling mengenali antara satu sama lain. Lina juga akur, bukan mudah bagi seorang ibu mertua menerima ‘orang luar’ untuk masuk ke dalam keluarganya yang mempunyai budaya dan cara didikan yang cukup berbeza.

Namun perlakuan ibu mertua sejak dia berkahwin dengan Amri, tidak pernah berubah. Ada sahaja yang tidak kena di mata ibu mertuanya. Ada sahaja kesalahan yang dikaitkan dengan dirinya. Seolah-olah kehadirannya dalam keluarga tersebut tidak dialu-alukan. Cukup membuatkan Lina terasa tatkala dia melahirkan anak sulungnya, Muhammad Aqil. Sangkaan Lina, kehadiran Muhammad Akil akan membuatkan perasaan ibu mertua terhadapnya akan berubah. Tapi tidak! Sangkaannya meleset.

Kehadiran Muhammad Akil dalam keluarga tersebut seolah-olah tidak mendatangkan apa-apa makna. Ibu mertuanya hanya sekadar menjenguknya di hospital dan pada hari yang sama pulang semula ke kampung. Amri cuba memujuk Lina agar tidak ambil hati dengan sikap ibunya, selain memberikan pelbagai alasan.

Lina hanya tersenyum. Tidak mahu menambah lagi rasa kecewa Amri kepada sikap ibunya. Kenduri di kampung lebih penting daripada meraikan cucunya! Itulah sikap ibu mertuanya. Berbeza dengan layanan ‘luar biasa’ yang diterima menantu kedua yang melahirkan anak pertama. Di mana ibu mertuanya sanggup menjaga mereka dua beranak.

Malah, sikap benci ibu mertuanya itu jelas dipamerkan setiap kali Lina balik ke kampung untuk menziarahinya. Bahkan pernah terkeluar daripada mulut ibu mertuanya, agar Lina tidak bersusah payah untuk menjenguknya. Katanya, dia masih sihat dan tidak perlu diziarahi. Bahkan katanya lagi, menantu-menantu yang lain sudah cukup untuk menziarahinya.

Lina akur dia tidak ‘sehebat’ menantu-menantu yang lain, berpendapatan tinggi dan kerjaya hebat. Apatah lagi bila balik ke kampung, berkepul duit ungu diberikan kepada ibu mertua. Lantas tersenyum lebarlah si ibu mertua.

Tapi Lina tidak dapat berbuat begitu. Dia tidak bekerja. Sebaliknya hanya mengharapkan duit suami. Justeru, apabila balik ke kampung, Lina hanya mampu memberikan ibu mertuanya dengan buah tangan berupa kuih muih dan jika ada rezeki lebih, menghulur barangan keperluan dapur. Tapi itu masih tidak dapat ‘membahagiakan’ hati si ibu. Lina dapat merasakan, ibunya akan rasa gembira andai dia dapat memberikannya ‘buah tangan’ berupa ‘salam berkaut’. Waktu itu mungkin hati si ibu ‘berbunga-bunga’. Tapi Lina tidak mampu!

Amri cuba memujuknya bahawa suatu hari nanti sikap ibunya akan berubah. Tapi, lima tahun sudah berlalu. Sikap ibu mertua kepadanya masih tidak berubah.

Malam itu Lina nekad. Dia mahu Amri tahu bahawa hatinya sudah cukup terguris dengan penerimaan ibunya terhadap dirinya dan anak-anaknya. Ibu mertuanya sering membeza-bezakan dirinya dengan menantu yang lain. Begitu juga layanan si ibu mertua terhadap anak-anaknya.

Sering kali anaknya melihat neneknya memberikan hadiah kepada sepupu-sepunya tapi tidak pada mereka. Dan anak-anaknya sering bertanya kenapa neneknya berbuat demikian. Apa lagi yang mahu Lina beritahu kepada anak-anaknya? Yang pasti, malam itu Lina mahu Amri tahu, itulah kali terakhir dia akan menjejakkan kakinya ke kampung Amri. Kalau Amri mahu balik menjenguk ibunya, biarlah dia balik seorang. Tidak perlulah Amri bersusah payah pula menjaga perasaan Lina bila ada sahaja perbuatan ibu mertuanya yang tidak disenangi. Namun Lina tidak tahu, apakah itu tindakan bijak yang perlu diambil?   Utusan Bicara Agama 20140507

Tags: menantu, mertua, sengketa
Subscribe

  • Membina Ketenangan dan Keikhlasan

    Cuba fikirkan, mengapakah semasa kita kanak-kanak fikiran kita tenang, tetapi apabila zaman kanak-kanak kita berakhir kita mula tidak tenang.…

  • Ketenangan

    Hari-hari kita melalui hidup ini. Setiap hari yang kita lalui episodnya pasti tidak sama. Semua orang impikan ketenangan dan kebahagiaan, bukan. Ada…

  • Mencapai ketenangan dengan qana'ah

    Keimanan berperanan kawal jiwa daripada menurut hawa nafsu Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bukanlah yang dinamakan kaya itu lantaran…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments