mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bijak mengurus tekanan, elak gangguan mental

DALAM kehidupan, tekanan adalah satu perkara lumrah. Ia sebahagian daripada kehidupan itu sendiri. Amat sukar mencari sebuah kehidupan yang bebas daripada tekanan. Pendek kata, dunia atau persekitaran yang tiada tekanan adalah memang mustahil untuk ditemui.


Apa yang ada, saban hari tekanan menjadi lebih membebankan. Semakin kompleks kehidupan manusia, semakin tinggi tahap tekanannya. Semakin dewasa seseorang itu, semakin banyak rintangan dan tugasan serta ujian yang akan ditempuhi.

Ini tidak pula bermakna kanak-kanak tidak menghadapi tekanan. Mereka juga turut menghadapinya bersesuaian dengan tahap pemikiran dan umur. Namun yang pasti, golongan dewasa lebih banyak tekanan berbanding kanak-kanak.

Dalam al-Quran, diterangkan bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan dugaan dan ujian yang sudah pasti akan memberikan tekanan kepada umat manu­sia.

Tekanan atau stres adalah reaksi tubuh badan (fizikal), pemikiran dan emosi serta tingkah laku yang berlaku akibat sebarang perubahan persekitaran yang mendesak seseorang individu itu melakukan proses penyesuaian. Proses penyesuaian itu akhirnya menjadikan individu terbabit­ berupaya mengadaptasi, sesuai dengan fitrah dan tuntutan tekanan itu. Proses penyesuaian ini penting kerana ia yang akan menentukan ke mana hala tuju seseorang individu itu apabila berhadapan dengan tekanan.

Terdapat pelbagai perbezaan ketara di kalangan individu ketika melakukan proses penyesuaian terhadap tekanan yang dihadapi. Ada yang mampu dan berjaya menghada­pinya dan ada juga tewas sehingga akhirnya mengundang pelbagai kejadian dan gejala gangguan mental serta fizikal lain­.

Mengapa adanya tekanan dalam kehidupan? Kehidupan datang dengan tugasan dan tanggungjawab. Semua manusia perlu menjalankan tugasan dan tanggungjawab tersebut demi untuk meneruskan kehidupan.

Untuk hidup, manusia perlu bernafas, makan minum, mencari rezeki dan sebagainya. Semua tugasan dan aktiviti itu perlu dilakukan dengan baik serta mengikut lunas peraturannya. Dalam keadaan ini pun, terdapat dua faktor yang menyumbang atau mencetuskan tekanan. Pertama, untuk menjalankan tugasan dan aktiviti tersebut. Kedua­, bagi memastikan tugasan itu terlaksana dan mencapai matlamat pelaksanaannya­.

Tekanan akan menjadi lebih ketara dan membebankan apabila tugasan tidak dapat dilaksanakan atau pelaksana­annya tidak mengikut aturan atau gagal mencapai objektifnya­.

Kajian menunjukkan bebanan kerja yang melampau, ganjaran tidak setimpal, melakukan pelbagai jenis pekerjaan dalam satu masa, kerenah birokrasi, pengangguran, bekerja di luar bidang dan kemampuan serta perhubungan yang negatif sesama pekerja adalah faktor yang mencetuskan stres.

Bukan itu sahaja, perjalanan ke tempat kerja dengan kesesakan jalan raya turut meningkatkan risiko tekanan. Bebanan kewangan, pening­katan kos sara hidup tanpa kawalan dan masalah hutang turut memburukkan tekanan yang sedia dialami. Masalah peribadi dan gangguan personaliti, penyakit serta berhadapan tindakan perundangan juga mampu mencetuskan stres.

Tekanan yang berlaku boleh memberi kesan positif ataupun negatif. Jika tekanan mendorong seseorang untuk berjaya atau membantunya menyiapkan tugasan dan aktiviti secara sempurna, itu amatlah baik. Namun jika tekanan berpanjangan dan membebankan, maka ia akan memberi kesan tidak baik kepada kehidupan dan kese­jahteraan seseorang individu. Tekanan akan memberi kesan buruk kepada sesiapa sahaja yang gagal mengendalikannya secara berhemah. Akhirnya, ia akan menjejaskan kehidupan individu itu.

Pada tahap tertentu, tekanan akan mengganggu fikiran, membebankan emosi lalu menyebabkan ketidakstabilan. Bebanan emosi, walaupun tidak mendatangkan kecelaruan, tetap memberi rasa ketidakselesaan, yang akhirnya akan meningkatkan risiko kerisauan dan kebimbangan, sebelum bertukar menjadi satu kecelaruan yang amat tidak terkawal, lalu menjejaskan fungsi seseorang individu untuk melakukan aktiviti rutin kehidupannya.

Pada tahap serius seperti ini, ia telah memasuki fasa gangguan mental. Rawatan serta ubatan adalah pilihan yang tidak boleh diabaikan. Bagi kebanyakan kes berkaitan gangguan mental dan emosi serta kecelaruan personaliti, tidak ada satu sebab atau punca yang kukuh namun setiap satunya ada hubung kait yang nyata dengan tekanan.

Di samping itu, faktor genetik dan keturunan, persekitaran, pemakanan serta penya­lahgunaan bahan terlarang turut menyumbang kepada gejala sakit mental.

Apakah tindakan yang perlu dilakukan jika mengalami tekanan mental dan emosi?

Pada pandangan Islam, kehidupan dan segala macam tekanan yang berlaku adalah ujian untuk menyaring siapakah di kalang­an umat ini yang baik dan sabar, yang tidak merungut, berputus asa atau tewas apabila diuji. Kita tidak perlu menyesal atau mera­na sepanjang hidup walaupun ditimpa ujian bertalu-talu. Ambil tindakan proaktif bagi menghadapi ujian dan tekanan.

Sememangnya kita telah ditakdirkan untuk hidup dengan ujian dan ia sukar untuk diubah, tetapi kita masih boleh menikmati kehidupan yang bahagia sebagaimana yang kita inginkan jika kita berusaha. Pokok pangkalnya berbalik kepada tindakan positif kita ketika berhadapan dengan semua ujian yang melanda.

Utusan/Rencana/20140512
Tags: mental, stress, tekanan
Subscribe

  • Bukan sekadar sebut, tetapi perlu hayati

    KALIMAH ‘laa ilaaha illallah’ atau maknanya, “Tiada tuhan selain Allah SWT” memang kerap kita dengar atau ucapkan.Kalimah…

  • Erti kalimah Syahadah & tuntutannya

    SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang tidak menjadikan sesiapa sebagai anak-Nya dan juga tidak mempunyai sekutu dalam penciptaan-Nya. Sesungguhnya rukun…

  • Lambang keutuhan Perlembagaan

    KUALA LUMPUR 22 Jan. - Keputusan Mahkamah Persekutuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments