mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sepakat bangunkan kurikulum pendidikan Kemboja

SEORANG ulama besar, Imam As-Syafie berkata: “Sesiapa yang mahu berjaya di dunia hendaklah berilmu,sesiapa yang mahu berjaya di akhirat hendaklah berilmu dan sesiapa yang mahu kedua-duanya hendaklah ia berilmu."

Demikian besar dan pentingnya peranan ilmu dalam kita melayari kehidupan yang sementara di muka bumi ini. Tanpa ilmu, kita pasti akan ketinggalan dan menjadi golongan yang sentiasa ditindas oleh orang lain.

Atas kesedaran itu, Persidangan Antarabangsa Pembangunan Pendidikan dan Ekonomi Islam (ICEED) di Phnom Penh, Kemboja akhir April lalu menggesa agar dirangka kurikulum pendidikan Islam untuk membangunkan umat Islam, terutamanya masyarakat Cham.

Itu adalah antara resolusi penting yang dipersetujui oleh kira-kira 230 peserta tempatan dan 47 delegasi antarabangsa serta 12 pembentang kertas kerja dalam persidangan dua hari yang julung kali diadakan di negara tersebut.

METERAI MoU... Pengarah Eksekutif Dana Kesatuan Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam,
Sheikh Ibrahim Abdullah Alkhuzaiyim (duduk, kiri) dan Mohamad Farid Hosen menandatangani
memorandum persefahaman pembinaan Kompleks Kolej Islam Kemboja bernilai RM9.5 juta dalam
Persidangan Antarabangsa Pembangunan Ekonomi dan Pendidikan Islam di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.

Para peserta terdiri daripada imam, bilal, guru-guru agama dan wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Kemboja.

Penguasaan ilmu pengetahuan dilihat amat penting bagi masyarakat Muslim Kemboja, yang mana adalah golongan minoriti di negara yang mempunyai populasi 14 juta orang dan menganut agama Buddha. Penduduk Islam hanya sekitar 600,000 atau empat peratus sahaja.

Selain kecil daripada segi kuantiti, umat Islam Kemboja juga lemah daripada segi pendidikan, ekonomi dan kesatuan. Menurut statistik Bank Dunia pada 2013, 11.1 juta rakyat Kemboja adalah miskin dan berpendapatan kurang daripada AS$2.30 (RM7.50) sehari.

Dengan kata lain, umat Islam perlu bangkit dan berusaha membetulkan keadaan. Sebabnya, Islam amat menggalakkan umatnya berharta kerana dengan harta mudahlah kita menunaikan rukun Islam seperti zakat dan juga haji.

Sejarah hitam

Biarpun, dunia maklum tentang sejarah hitam yang menimpa masyarakat Kemboja termasuk umat Islam di zaman Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar yang menyaksikan 90,000 umat Islam telah terbunuh dalam tempoh lima tahun (1975-1979). Umat Islam Kemboja diharamkan daripada menegakkan syiar Islam seperti berpakaian bercirikan Islam, menunaikan solat dan sebagainya.

Penggunaan Bahasa Cham juga diharamkan. Masyarakat Cham telah dipecah-pecahkan dan dihantar ke pelbagai tempat yang berjauhan antara satu sama lain melalui pemindahan secara paksa. Sesiapa yang ingkar telah dibunuh dengan kejam.

Memang bukan mudah untuk bangkit selepas apa yang berlaku. Namun, kita perlu meneruskan kelangsungan hidup terutama dalam memastikan esok lebih baik daripada semalam dan lusa lebih baik daripada hari ini.

Ternyata persidangan antarabangsa selama dua hari yang turut dihadiri oleh wakil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Bank Pembangunan Dunia (IDB) membuahkan hasil. Paling tidak pun sebagai faktor penggerak kepada usaha mewujudkan pelbagai rangkaian kerjasama di kalangan negara Islam.

Pengarah Komuniti dan Muslim Minoriti OIC, Talal A. Daous semasa membuat rumusan pada akhir persidangan menjelaskan, bilangan yang kecil dan masalah bahasa yang diguna pakai dalam sistem persekolahan negara itu tidak seharusnya menjadi penghalang kemajuan umat Islam.

Beliau yang beribu pejabat di Jeddah berkata, umat Islam perlu melihat isu penggunaan bahasa Khmer di sekolah-sekolah kebangsaan bukan sebagai ancaman, sebaliknya sebagai peluang untuk menguasai pelbagai bahasa.

“Islam tidak pernah menghalang umatnya mempelajari lebih daripada satu bahasa selain daripada bahasa ibundanya. Malah Islam menggalakkan umatnya sentiasa menambah dan meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Untuk itu, jika kerajaan Kemboja menetapkan semua sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Khmer dalam sistem pendidikannya, maka umat Islam perlu bersedia mempelajari bahasa tersebut selain terus menggunakan bahasa Cham dalam kehidupan seharian.

“Demikian juga kami masyarakat Arab. Kami juga perlu mempelajari bahasa Inggeris kerana ia digunakan secara meluas di seluruh dunia hari ini," katanya dengan nada penuh semangat.

Larangan

Isu tentang larangan penggunaan bahasa Cham di sekolah-sekolah kebangsaan dibangkitkan oleh Hem Mary, salah seorang pembentang kertas kerja yang mewakili NGO, Kampuchean Action for Primary Education (KAPE).

Dalam kertas kerja bertajuk ‘Pendidikan Asas Kanak-kanak Cham: Satu Penilaian’, beliau menggariskan empat larangan dalam sistem pendidikan kebangsaan negara itu iaitu penggunaan dan tunjuk ajar dalam bahasa Cham dilarang sepenuhnya; pengajaran tentang Islam juga dilarang; kurikulumnya menumpukan kepada budaya Khmer dan Buddha dan ketiadaan kuota untuk guru-guru Champa di sekolah-sekolah tersebut.

Kata Hem lagi, kajiannya juga mendapati hanya 16 peratus di kalangan guru yang boleh bertutur bahasa Cham, memahami sebahagian bahasa Cham (16 peratus), tahu sedikit tentang bahasa Cham (10 peratus) dan majoriti iaitu 58 peratus langsung tidak tahu bahasa Cham.

“Keadaan ini menyebabkan ramai kanak-kanak Champa yang menghadiri sekolah kebangsaan dan sekolah agama tetapi gagal memahami dan menguasai ilmu disebabkan kekurangan dan ketiadaan guru yang boleh berbahasa Cham.

“Natijahnya, daerah-daerah yang didiami oleh majoriti penduduk Cham mempunyai tahap penguasaan pendidikan yang jauh lebih rendah berbanding daerah lain," jelasnya.

Sebagai langkah mengatasi masalah itu, Hem mencadangkan agar beberapa pendekatan dilaksanakan terutama menghubungkan atau mengintegrasikan antara sekolah kebangsaan dan sekolah agama dalam hal seperti sistem insentif dan peluang penajaan negeri untuk pembangunan pelajar).

Katanya, kurikulum institusi perguruan juga dicadangkan diperluaskan kepada aspek kelancaran berbahasa dan pendidikan pelbagai budaya serta mewujudkan kuota bagi penambahan guru-guru berbangsa Champa dalam pengambilan kemasukan ke institusi perguruan.

“Saya juga mencadangkan supaya kegiatan kokurikulum menggunakan bahasa Cham diwujudkan di sekolah-sekolah kebangsaan," tambahnya.

Kurikulum syok sendiri

Satu lagi kebimbangan adalah ‘kurikulum syok sendiri’ yang ada di sekolah-sekolah agama Kemboja. Ini bermaksud, kurikulum sesebuah sekolah atau maahad itu ditentukan oleh guru atau pembiaya sekolah tersebut. Jika ia dibiaya oleh dermawan Libya, sistem pendidikan negara itulah yang diterima pakai.

Ini sudah tentu menyukarkan para pelajarnya untuk menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi termasuk di negara sendiri. Sebabnya, sistem yang ada tidak diintegrasi dengan pendidikan Kemboja. Bagi yang bijak pula, bukan semua mampu membiayai pengajian di luar negara. Tambahan pula, tidak ramai yang bersedia berjauhan dengan keluarga untuk mendapat pendidikan yang lebih tinggi di rantau orang.

Seorang lagi pembentang kertas kerja dari Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), Datuk Dr. Jamil Osman pula yakin Malaysia boleh membantu dalam dalam merangka kurikulum persekolahan di Kemboja.

Apa yang penting, katanya, kurikulum tersebut mestilah dirangka mengikut acuan tempatan tetapi memberi laluan dan peluang kepada para pelajarnya menyambung pengajian di negara jiran terutama Malaysia yang mempunyai banyak universiti untuk pengajian Islam atau bidang-bidang lain.

Beliau juga menyarankan ditubuhkan kolej atau universiti Islam yang dibangunkan melalui dana wakaf yang menawarkan sistem pengajian integrasi antara pendidikan Islam dan disiplin yang lain persis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Masyarakat Muslim Kemboja juga boleh mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan fakulti atau Jabatan Pengajian Islam di universiti-universiti tempatan.

“Selain itu, kurikulum dalam bidang pengajian iaitu Islam dan konvensional perlu diberi penekanan untuk melahirkan insan yang sempurna. Subjek keusahawanan juga perlu diwujudkan," jelas bekas Rektor Kolej Universiti Insaniah, Kedah ini.

Sementara itu, Mohamad Farid dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada semua pembentang kertas kerja, para peserta dan juga para penaja yang merealisasikan majlis tersebut diadakan di Phnom Penh.

Penaja utama persidangan adalah Dana Kesatuan Islam, Persatuan Kerjasama Islam manakala penaja bersama adalah Persatuan Kebajikan Pegawai Ugama (PKPU) Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Taqwa MAIWP, Rahman Brothers dan Warisan Travel & Tours.

Mohd. Radzi Mohd. Zin Utusan/Bicara_Agama/20140515
Tags: ilmu, kurikulum
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments