mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Israk Mikraj tingkatkan keimanan

MAHA Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad SAW ) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (Al-Isra’: 1).


Peristiwa ini diperingati pada setiap 27 Rejab tahun hijrah sekalipun ulama berbeza pandangan mengenainya dengan tujuan mengukur keimanan kita sebagai umat Islam. Iaitu untuk beriman kepada perkara-perkara ghaib yang di luar fikiran logik manusia dengan meyakini tanda-tanda kekuasaan Allah.

Di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku ialah Nabi Muhammad dibelah dadanya untuk dibersihkan, melewati tempat-tempat bersejarah seperti Kota Thaibah (Madinah), Bukit Thursina dan Baitul Laham, dipertemu dengan para nabi, dipertonton peristiwa-peristiwa ajaib dan dipertemu dengan Allah, yang akhirnya membawa kepada pensyariatan solat fardhu lima kali sehari semalam.

Hakikatnya hikmah bersejarah peristiwa Israk dan Mikraj ini bukan sekadar mengenai perjalanan ajaib Rasulullah dan peristiwa-peristiwa yang dialami dalam tempoh satu malam akan tetapi juga mengandungi iktibar yang besar kepada umat manusia.

Pertama, sentiasa berpegang teguh kepada kebenaran sekalipun kebenaran itu mungkin tidak difahami atau disenangi oleh orang lain. Kualiti inilah yang dipegang oleh Nabi Muhammad ketika baginda menyampaikan khabar "perjalanan malam" kepada kaumnya. Dikhabarkan bahawa terdapat umat Islam yang murtad setelah mendengar peristiwa yang disampaikan oleh Rasulullah ini.

Prinsip berpegang kepada kebenaran termasuklah dari segi percakapan, perbuatan, pemerhatian, persaudaraan dan ibadah. Berpegang kepada kebenaran bukanlah bermaksud bercerita mengenai aib orang kepada pihak yang tidak sepatutnya, masalah rumah tangga kepada kepada orang luar dan lain-lain yang boleh membawa kepada fitnah.

Justeru, misalnya mendiamkan perihal dosa yang pernah dilakukan terdahulu yang kemudiannya telah bertaubat nasuha bukanlah satu pembohongan. Sebaliknya ia adalah lebih baik didiamkan daripada diceritakan kepada orang yang berkemungkinan mencetuskan fitnah.

Kedua, sebuah persahabatan yang ikhlas sebagaimana yang ditunjukkan oleh Abu Bakar sehingga beliau mendapat gelaran As-Siddiq kerana terus membenarkan kata-kata Nabi Muhammad berkenaan peristiwa Israk Mikraj. Situasi ini mengajar kita bahawa kehidupan di dunia ini tidak semata-mata berpusat kepada diri sendiri dan keluarga. Bahkan kehidupan manusia di dunia ini juga adalah sebagai makhluk sosial dengan menjaga hubungan sesama jiran tetangga dan sahabat handai.

Jambatan persaudaraan dan persahabatan ini tidaklah bermakna segala-gala perkara harus dikongsi bersama seperti kisah rumah tangga masing-masing, pemilikan aset seperti wang tunai dan hartanah kerana ia bukan prasyarat dalam ukhuwah.

Sebaliknya silaturrahim dijaga atas dasar perjuangan agama, permuafakatan, saling membantu, berkasih sayang dan merentasi umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Justeru, seandainya kita memilih untuk sentiasa bermusuhan dengan masyarakat, maka sesungguhnya kita telah membina kehidupan dalam kerugian.

Ketiga, sentiasa menginsafi hakikat adanya balasan terhadap setiap perbuatan baik dan perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh umat manusia. Sekalipun tidak diterima di dunia, pasti ada bahagiannya di akhirat kelak. Dengan menyedari hakikat ini mudah-mudahan kita akan sentiasa berbuat baik tanpa mengharapkan balasan dan pengiktirafan manusia kerana Allah pasti akan membalasnya sekalipun bukan di dunia.

Begitu juga perbuatan yang tidak baik dilakukan oleh manusia seperti langgar lari, mencuri, mengumpat dan seumpamanya. Kita mungkin mampu menyembunyikan daripada manusia tetapi tidak mungkin kita boleh menyorokkannya daripada pengetahuan Allah. Justeru umat manusia diseru agar sentiasa bertaubat tanpa menangguh hingga penghujung usia.

Keempat adalah untuk menghargai setiap waktu yang kita ada semasa hayat di dunia. Sebagaimana Nabi Muhammad diperlihatkan dalam peristiwa Israk Mikraj akan seorang wanita tua yang bongkok sebagai simbolik hayat bagi dunia yang kita diami ini sebelum berlakunya kiamat pada bila-bila masa. Begitu juga dengan hayat kita sebagai manusia yang boleh dipanggil pulang oleh Allah pada bila-bila yang dikehendaki-Nya.

Justeru waktu yang kita ada di dunia ini hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik, yang membahagiakan diri kita dan orang lain, yang menguntungkan dan membuahkan kejayaan serta sentiasa membawa kita kepada mengingati Allah.

Permusuhan hendaklah dielakkan lebih-lebih lagi melibatkan perkara-perkara kecil dan remeh. Hal demikian kerana permusuhan akan mengambil sebahagian daripada hayat kita untuk melakukan perkara yang sia-sia yakni membenci seseorang.

Memperingati peristiwa Israk Mikraj pada setiap tahun hijrah seharusnya dapat mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah. Hal demikian dengan memperakui adanya perkara-perkara ghaib yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar mahupun boleh diterima logik akal akan tetapi menjadi petunjuk kepada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Sebagai umat Islam yakinlah bahawa tiada yang mustahil kepada Allah dan sebagai hamba-Nya hendaklah kita menghargai kehidupan yang kita miliki hari ini.

Pandangan IKIM ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).   Artikel Penuh: Utusan/Rencana/20140519

Tags: israk, mikraj
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments