mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fahami roh syariat

PADA tahun 20 Hijrah, Khalifah Umar bin al-Khattab mengutus Abu Musa Al-Asy’ari untuk membuka Tustar. Pada masa itu, negeri ini yang sekarang ini berada di kawasan Iran itu dikuasai oleh kerajaan Parsi. Dengan izin Allah SWT, pasukan Islam yang diketuai oleh Abu Musa berjaya mengalahkan pasukan Parsi dan menundukkan negeri tersebut.

Abu Musa mengutus seseorang untuk menyampaikan khabar gembira ini kepada Khalifah Umar di Madinah. Khalifah menyambut beliau dengan gembira dan memintanya menceritakan semua kejadian yang berlaku.

Antara peristiwa yang diceritakan ialah berkaitan dengan seorang Muslim yang murtad.

Umar bertanya: "Bagaimana kalian memperlakukan orang tersebut?"

Orang itu menjawab: "Kami segera membunuhnya."

Di luar sangkaan, Umar tidak memuji tindakan tegas dalam menegakkan hukum ini. Beliau malah menyalahkan mereka dan berkata: "Mengapa kamu tidak menahannya selama tiga hari terlebih dahulu, memberinya roti tiap-tiap hari dan memujuknya untuk bertaubat?! Siapa tahu ia akan bertaubat dan kembali kepada Allah SWT."

Umar lalu berkata: "Ya Allah, aku tidak hadir dalam kejadian itu. Aku tidak memerintahkan dan tidak reda dengannya apabila mendengar berita ini."

Kisah ini diriwayatkan secara ringkas oleh Imam Malik bin Anas di kitab Muwatta.

Hukum Islam

Islam diturunkan sebagai rahmat bagi manusia. Penetapan hukum dalam Islam bermatlamat untuk menyelamatkan umat manusia daripada kebinasaan di dunia dan kesengsaraan di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: Tidaklah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya: 107)

Pandangan yang melihat hukum Islam sekadar alat untuk menghukum pesalah ialah satu pandangan yang salah. Sebab bukan sebegitu matlamat utama hukum-hakam tersebut diletakkan.

Dalam kes murtad ini, Umar bin al-Khattab menginginkan agar penegakan hukum dilakukan hanya sebagai langkah terakhir.

Beliau mencadangkan untuk dilakukan perbincangan terlebih dahulu. Orang tersebut turut diberikan makanan dan layanan yang baik. Berikan ia masa untuk memikirkan kembali pilihannya.

Apabila semua ini dilakukan, diharapkan hati orang itu kembali tertawan dengan keindahan Islam dan keluhuran adab kaum Muslimin. Selanjutnya, ia bersedia untuk meluruskan sikap dan pemikirannya agar terselamat daripada azab Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Islam menginginkan setiap komponen umat saling membantu dalam kebaikan. Penyimpangan sedapat mungkin ditangani dengan bijak sehingga selari dengan matlamat syarak yang menginginkan keselamatan bagi seluruh umat manusia.

Jika setiap umat Islam memahami roh syariat ini, imej hukum Islam insya-Allah menjadi lebih indah di mata dunia. Wallahu a’lam. Utusan/Bicara_Agama/20140520

Tags: syariah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments