mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Contohi kecemerlangan pemimpin Islam dahulu

Kepakaran dalam merintis kemajuan hidup jadi ikutan dunia

Umat Islam banyak meneroka pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi sebelum Eropah yang pada ketika itu masih di zaman ortodoks. Seluruh dunia mendapat manfaat daripada ilmu dan kebijaksanaan orang Islam yang merintis segala kepakaran dalam memanfaatkan kehidupan insan.


Teori kemanusiaan dan undang-undang yang dirangka bersumberkan al-Quran dan hadis tersebar melangkaui benua sehingga menjadi ikutan manusia seantero alam. Hari ini, tiada sebab umat Islam tidak melakukan perkara sama, apatah lagi mereka telah mendapat panduan generasi lebih awal.


Tambahan pula orang yang beriman dan beramal soleh telah dijanjikan kekuasaan oleh Allah SWT untuk mentadbir bumi serta seluruh isinya. Janji Allah SWT memberikan keyakinan kepada umat Islam untuk mengulangi kegemilangan Islam dulu dengan meluaskan wilayah pemerintahan Islam di seluruh dunia.

Pemimpin Islam perlu terap nilai mulia

Setiap pemimpin dunia Islam perlu menerapkan sifat mulia untuk diamalkan setiap umat Islam. Contoh, sifat adil dan amanah sangat menonjol dalam kepemimpinan Nabi Soleh sehingga dijadikan model kepemimpinan pemimpin berikutnya.

Kesungguhannya mengamalkan kedua sifat itu mendapat pujian dan sanjungan Allah SWT sehingga Nabi Soleh dan pengikutnya diselamatkan oleh Allah SWT daripada kehinaan. Pujian serta sanjungan diperoleh Nabi Soleh tidak mustahil akan dapat dirasai pemimpin dan yang akan datang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah telah berjanji kepada orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa Dia benar-benar akan memberikan kekuasaan daripada mereka di muka bumi. Seperti mana yang telah Dia berikan kepada orang sebelum mereka (khalifah terdahulu). Dia juga (berjanji) akan benar menguatkan untuk mereka agama mereka, yang diredai. Serta (berjanji) akan benar-benar menukar ketakutan mereka dengan kedamaian. Mereka (adalah orang yang sentiasa) menyembah-Ku, tidak menyekutukan Aku dengan apa-apa juga. Dan sesiapa saja yang masih ingkar setelah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 55)

Pemimpin Islam harus mengambil peluang di atas keretakan kuasa sekular untuk menguasai dunia dengan ekonomi dan kuasa monopoli seperti pernah dilakukan pemimpin Islam dulu.

Kuasa Barat hari ini yang gagal bersatu di bawah satu pemerintahan dan berperang sesama sendiri menunjukkan kelemahan yang akhirnya tidak langsung membawa kecemerlangan kepada sesuatu bangsa.

Perpecahan ideologi tidak beri manfaat

Hakikat ini sepatutnya menjadi iktibar kepada umat Islam seluruhnya, bahawa perpecahan kerana ideologi hanya memberi kepuasan hati, bukan manfaat kepada duniawi. Islam menyediakan garis panduan untuk melahirkan umat Islam yang memiliki jati diri.

Malah, sudah terbukti sumbangan umat Islam seperti Al-Khawarizmi, ahli astronomi serta orang pertama menentukan ukuran dan bentuk bulatan bumi. Ibnu Sina pula pakar perubatan yang mahir dan penulis buku ‘Al-Qanun fit-Tib’ yang menjadi bahan rujukan universiti seluruh dunia selama 600 tahun.

Dari segi pembangunan fizikal, bangunan didirikan umat Islam, sistem jalan raya, saliran air dan sebagainya amat mengagumkan dan membuktikan kemajuan pesat telah bermula sejak lama dulu, bahkan tiada kemajuan setanding dengannya ketika itu.

Perintis kepakaran

Ini menunjukkan umat Islam mampu menjadi perintis kepakaran sesuatu bidang serta menjadi pemangkin kepada kemajuan yang masih bertunjangkan syariat.

Selain itu, akhlak dan moral yang tinggi menyebabkan tidak banyak kes jenayah pada zaman kegemilangan Islam. Perundangan Islam yang bersifat mendidik dan mencegah mampu mentarbiah umat Islam menjauhi kemungkaran serta kezaliman.

Sifat takwa dan kekuatan akidah adalah jawapan kepada pembinaan sahsiah yang luar biasa sepatutnya harus dilakukan oleh generasi masa kini.

Umat Islam haruslah menjadi orang yang terkehadapan, sentiasa memberi daripada menerima, memimpin daripada dipimpin, membantu daripada dibantu dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain bukan sebaliknya.

Janji Allah SWT untuk memberikan kekuasaan di bumi kepada orang yang beriman dan beramal soleh adalah benar seperti diberikan kepada khalifah terdahulu. Cuma, rakyat yang dipimpin mereka yang benar-benar menyembah Allah SWT menjadikan pemimpin tidak sukar menjalankan tanggungjawab.

✍ Nik Salida Suhaila ialah pensyarah Al-Masa’il Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian Agama 2014/05/22 - 04:08:59 AM
Tags: pimpinan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments