mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Belia berilmu, beriman tidak mudah goyah

Generasi muda cemerlang pandai harga masa dengan aktiviti berfaedah

Hari Belia Negara disambut untuk menghargai jasa dan sumbangan belia serta mengangkat potensi yang ada pada belia negara. Hari Belia bukan sekadar menjadi hari untuk berhimpun, tetapi yang paling penting adalah menyedari dan menginsafi peranan belia untuk membangunkan agama serta negara.


Ulama kontemporari terkenal, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menggambarkan belia sebagai golongan pemimpin masa hadapan.

Katanya, apabila hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Jika golongan muda hari ini daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.

Had umur belia berbeza

Mengikut Dasar Pembangunan Belia dan Akta Pertubuhan Belia serta Pembangunan Belia Malaysia, belia ditakrifkan dalam kalangan yang berumur tidak kurang 15 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Namun, umur beliau negara anggota Komanwel berbeza.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula menggunakan lingkungan umur antara 15 hingga 25 tahun sebagai belia, manakala Commonwealth Youth Programme (CYP) pula menganggap kumpulan umur 18 hingga 35 tahun sebagai belia.
Walau apapun tafsiran umur diberikan, persoalannya ialah bagaimana untuk membina belia yang cemerlang selaras syariat Islam supaya umur yang berharga ini dapat dimanfaatkan sewajarnya untuk agama, bangsa dan negara.

Apabila berbicara soal umur, maka kita akan bercakap soal masa dan waktu. Masa disifatkan bergerak dan tidak boleh diundur walau dengan apa cara sekalipun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-A’sr, ayat 1-3)

Allah SWT mulakan surah ini dengan menunjukkan kepentingan menghargai masa. Masa tidak mengenal siapa termasuk rasul yang paling disayangi atau Iblis paling terkutuk. Maka, beruntunglah bagi mereka yang menghargai masa dan rugilah bagi mereka yang mensia-siakan masa.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila engkau berada pada waktu petang, jangan tunggu tibanya pagi dan apabila berada pada waktu pagi, jangan tunggu tibanya petang. Ambillah peluang pada masa sihat sebelum ketika sakit dan peluang ketika hidup bersedia ketika mati.” (Riwayat Bukhari)

Belia cemerlang pandai manfaat masa

Belia yang cemerlang dan beriman adalah yang memanfaatkan masa dengan betul. Mengisi masanya dengan menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman serta takwa. Oleh itu, mereka tidak mudah goyah oleh anasir serta gejala yang merosakkan jiwa, akidah dan akhlak.

Belia yang ideal harus menghargai masa muda, segala potensi, tenaga muda untuk membangunkan minda serta berusaha sedaya upaya mencari ilmu sebanyak mungkin. Masa muda inilah harus di isi dengan perkara berfaedah di samping mengasah bakat daya kepimpinan.

Contohnya, seorang mahasiswa harus mengoptimumkan masa di menara gading dengan menceduk ilmu dari alim ulama dan pensyarah, terbabit aktiviti berpersatuan untuk membina kemahiran insaniah seperti berkomunikasi dan bersosial.

Pelajar sekolah pula perlu berazam bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Keputusan cemerlang akan membolehkan pelajar menyambung pelajar di universiti sebagai jambatan untuk menjadi orang yang berilmu serta berakhlak.

Oleh itu, usia muda yang sedang dinikmati belia harus dihargai sebaik mungkin dengan mengamalkan suruhan agama. Dunia Islam merindui belia pada era kegemilangan Islam seperti Usama Bin Zaid yang menjadi panglima perang untuk menentang kerajaan Rom di Syam pada usia 18 tahun.

Begitu juga semasa perkembangan Islam di Makkah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Ibni Abi Talib, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi sahabat Nabi menjadi pelopor kepada kebangkitan berjihad dalam menegakkan ajaran Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu -orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa saja yang mereka lakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-104)

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Berita Harian Agama 2014/05/23 - 03:46:56 AM  Mohd Hariri Mohamad Daud
Tags: belia, ilmu, iman
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments