mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Aliran ahli sunnah asas perpaduan

APAKAH rahsia rakyat berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan damai di Malaysia? Jawapannya kerana kaum Melayu beragama Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini berpegang kepada ali­ran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Ketika membuat pendedahan itu semasa merasmikan Wacana Pencerahan Tasawwur ASWJ, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aliran itu yang telah sebati dengan masyarakat Islam di Malaysia merupakan faktor utama yang mendidik orang Melayu supaya mengamalkan nilai-nilai wasatiyyah atau kesederhanaan.

Katanya, nilai-nilai kesederhanaan telah dapat mengelakkan umat Islam daripada melakukan tindakan yang melampau dalam hubungan antara kaum dan agama.

"Secara tidak langsung, ajaran ASWJ yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia merupakan asas penting yang membawa kepada keamanan, kestabilan dan kehar­monian di negara kita.

"Oleh yang demikian, sudah pastilah ajaran ASWJ perlu terus diperkukuhkan dan diperkasakan di Malaysia," katanya pada wacana dua hari anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang berakhir Rabu lalu.

Sejajar dengan saranan Muhyiddin itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan dan ilmuwan Islam saling bekerjasama bagi mengekang fahaman asing seperti Syiah, Islam liberal, pluralisme agama dan sekula­risme yang dilihat boleh melemahkan aliran ASWJ di negara ini.

"Ini termasuk juga aliran Salafi-Wahabi yang dibawa oleh Muhammad Abdul Wahab serta fahaman akidah yang dibawa oleh Ibnu Taymiyyah, Ibnu Qayyim, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha.

"Fahaman terbabit jelas sekali berten­ta­ngan dengan ASWJ yang berpegang kepada ajaran Imam Abu Hasan al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dari segi akidah; Imam Syafie dari segi fikah manakala aspek akhlak dan kerohanian pula berpandukan kepada pendekatan yang dibawa Imam al-Ghazali," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mem­ben­tangkan kertas kerja bertajuk ‘Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi untuk Memperkasakannya’.

Menurutnya lagi, Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula memberi definisi ASWJ sebagai golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW menerusi para sahabat, tabii dan tabi tabiin serta setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak.

"Antara ciri-ciri umum aliran ASWJ yang digariskan oleh Jakim ialah sikap mengutamakan perpaduan, persaudaraan Islam dan perdamaian; berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin serta tidak taksub hingga mengkafirkan atau menyesatkan sesama Islam," katanya.

Jelas beliau, penolakan terhadap faha­man asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana mereka sen­diri tidak mahu dikaitkan dengan identiti ASWJ.

"Tetapi wujud polemik yang boleh mewujudkan perpecahan antara Salafi-Wahabi dan ASWJ kerana sistem rujukan sumber hukum yang sama, malahan masing-masing dengan tegar mendakwa merekalah kelompok ASWJ yang murni," jelas Mohamad Zaidi.

Aliran Salafi-Wahabi adalah bersifat radikal berbanding ASWJ yang sederhana, malahan pengikutnya dikatakan cende­rung kepada tindak tanduk bengis dan suka mengkafirkan umat Islam lain selain diri mereka.

Golongan berkenaan mengkafirkan pe­ngi­­kut jemaah tabligh dan menganggap ahli tasawuf Islam sama seperti Yahudi yang perlu diperangi.

Mereka juga menganggap bidaah amalan seperti bacaan qunut ketika solat Subuh, sambutan maulidur rasul, bacaan yasin berjemaah, mengangkat tangan semasa berdoa, bacaan talkin dan majlis tahlil.

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Pe­ngajian Islam Universiti Kebangsaan Ma­laysia (UKM), Prof. Datuk Zakaria Sta­pa berkata, pegangan terhadap aliran ASWJ te­lah berjaya menyumbang kepada keda­maian dan keharmonian dalam kehi­dupan beragama di Malaysia.

"Dalam lain perkataan, aliran ASWJ sebagaimana yang dipegang, diamal dan dihayati di negara ini telah menjadi paksi perpaduan ummah, sehingga sejarah kita tidak pernah mencatatkan berlakunya pertumpahan darah dan huru-hara atas nama agama.

"Dengan itu, ASWJ merupakan satu aset amat bernilai yang mesti dijaga dan di­pertahan sebaik mungkin walaupun terpaksa melibatkan harga yang amat tinggi demi perpaduan dan kemajuan ummah," katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, akhir-akhir ini aliran ASWJ cuba digugat oleh pihak-pihak tertentu yang muncul dalam satu gelombang, dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan peralatan, bertujuan untuk mengkaburkan identiti ASWJ yang sudah meresap pada asas-asas akidah, fikah, tasawuf dan sistem perundangan di Malaysia.

Katanya, tanpa disedari kurikulum Pe­ngajian Islam di sekolah-sekolah juga sudah diresapi dengan fahaman yang bertentang­an dengan ASWJ.

Beliau berkata, dalam kurikulum ber­kenaan terdapat fahaman Salafi-Wahabi berasaskan ajaran Ibnu Taymiyyah tentang akidah yang membahagikan konsep tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiy­yah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma Wal Sifat.

"Keyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini adalah bertentangan dengan ayat al-Quran dan hadis yang tidak pernah membezakan makna Rabb dengan makna Ilah.

"Terdapat beberapa implikasi yang menakutkan dari perspektif pegangan akidah hasil daripada kenyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini termasuk kecenderungan untuk mengkafirkan sesama Islam.

"Dalam konteks semasa, umat Islam sudah tiada masa untuk berpecah dan berperang sesama sendiri atas sebab apa sekalipun, lebih-lebih lagi atas nama agama, seperti yang sedang terjadi di beberapa negara orang Islam masa kini," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘ASWJ: Satu Kerangka Umum’.

Tambahnya, umat Islam di negara ini tidak wajar membiarkan diri mereka dipe­ngaruhi dengan fahaman-fahaman lain se­­­ba­liknya perlu terus berpegang kepada aliran ASWJ yang telah terbukti berjaya membawa kesejahteraan.

"Pengikut aliran ASWJ meliputi 90 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia masa kini dan hakikat berkenaan menunjukkan ia merupakan golongan arus perdana umat Islam sejak zaman berzaman.

"Dari sudut ini sahaja pun sudah boleh menunjukkan betapa ASWJ merupakan satu aliran atau mazhab yang ortodoks dan autentik mewakili keseluruhan ummah dengan membawa bendera kebenaran dan ketulenan ajaran Islam yang maha suci.

"Ini kerana, menjadi amat sukar diterima akal majoriti, sebegitu besar umat Islam akan bersekongkol memperakui perkara yang sesat dan tidak benar," ujar beliau.

NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140523
Tags: sunnah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments