mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tadabbur al-Quran: Tuntutan yang diabaikan

REJAB yang telah pun berada di penghujungnya mengobarkan semangat untuk menanti dan mendoakan agar diberi peluang bertemu dengan penghulu segala bulan, Ramadan. Kemuncak kelebihan bulan kesembilan dalam takwim Islam itu adalah penurunan al-Quran yang disebut oleh Allah SWT sebagai nur yang menerangi segala-galanya dan petunjuk bagi golongan bertaqwa dan manusia umumnya.


Kehidupan di dunia yang sarat dengan ujian sememangnya memerlukan petunjuk yang benar. Dengan demikian, al-Quran merupakan sebesar-besar kurniaan Allah yang harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Kecintaan terhadap al-Quran terzahir dalam kehidupan umat Islam umumnya di segenap pelosok dunia. Penekanan diberikan terhadap pengajian al-Quran pada pelbagai peringkat; dari serendah-rendah sehinggalah setinggi-tingginya. Dengan yang demikian institusi dan pusat pengajian al-Quran, termasuk di universiti bercambah dengan pesatnya.

Demikian juga dengan pelajar-pelajarnya yang akhirnya melahirkan sedemikian ramai huffaz dan tokoh-tokoh terbilang dalam ilmu-ilmu al-Quran. Di negara ini secara khususnya pula majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa saban tahun diadakan. Justeru, muncul pembaca-pembaca al-Quran yang handal membaca dan melagukan bacaan dengan penuh tertib lagi indah. Perkembangan baik ini sewajarnya diberikan penghargaan.

Namun hakikatnya, kita dituntut supaya mengorak langkah lebih jauh, iaitu menerokai rahsia dan memanfaatkan pengajaran penting yang terkandung di dalamnya. Hal ini penting dilakukan kerana al-Quran antaranya mengandungi petunjuk bagi memahami dan menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan. Selain, itu, al-Quran juga mengandungi gagasan penting untuk memperbaiki kelemahan atau kesilapan, mencapai kemajuan, dan membina peradaban.

Nilai besar tidak terbanding yang ada pada al-Quran ini diingatkan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali r.h. Menurut beliau, al-Quran bukan semata-mata bunyi dan huruf. Kebesaran kitab suci al-Quran menjangkaui apa yang terzahir daripada bunyi dan huruf dan melangkaui alam saujana yang pelbagai serta langit yang berlapis-lapis.

Pada asasnya, kefahaman terhadap isi kandungan al-Quran diterjemahkan dalam bentuk pelbagai disiplin ilmu seperti tauhid, fiqh, dan tasawuf oleh ‘ulama' terdahulu. Sebagai contoh ayat-ayat berkaitan akidah dihuraikan oleh ulama dengan terperinci dalam kitab-kitab tulisan mereka dalam bidang tauhid dan usuluddin. Demikian pula, ayat-ayat berkaitan ibadah dijelaskan dengan mendalam oleh ulama fiqh dan usul al-fiqh dalam kitab-kitab mereka. Sementara ayat-ayat berkaitan kerohanian dihuraikan ulama tasawuf.

Dengan kata-kata lain, ulama salaf dan khalaf telah pun membina jambatan yang baik dan utuh bagi kita untuk sampai kepada al-Quran. Maka, amatlah tidak wajar untuk kita meninggalkan tradisi yang diasaskan oleh ulama berkenaan.

Ulama atau ilmuwan dalam bidang-bidang ilmu lain seperti perubatan, sains serta teknologi turut melaksanakan perkara yang sama. Ayat-ayat al-Quran berhubung dengan alam ciptaan dan manusia misalnya diterokai serta diteliti bagi menghasilkan karya-karya penting. Turut dihasilkan ialah pelbagai bentuk peralatan untuk memudahkan ibadat dan urusan kehidupan secara umumnya.

Betapa ilmuwan-ilmuwan berkenaan telah membuktikan dinamiknya keimanan yang ada dalam diri sehingga mengupayakan mereka untuk mencapai kemajuan dan kegemilangan. Kegemilangan iaitu dalam bentuk pembinaan peradaban tidaklah pula menjadi cita-cita mereka, namun ia dicapai hasil daripada keteguhan iman dan ketinggian akhlak mereka. Disebabkan asas yang teguh inilah maka peradaban atau tamadun Islam berbeza sama sekali dengan tamadun-tamadun dunia lain.

Sebagai contoh, al-Jazari yang menghasilkan jam gajahnya yang masyhur memperoleh dorongan daripada ayat al-Quran yang menyentuh tentang kepentingan masa (Surah al-Asr 103 : 1-3). Masa diketahui umum amat berkaitan dengan ibadah yang dilaksanakan umat Islam seperti solat, puasa, haji, dan sebagainya. Al-Jazari meninggalkan karya agungnya, The Book of Knowledge of Indigenous Mechanical Devices sebagai warisan keilmuan untuk dunia, khususnya bidang kejuruteraan. Demikian juga dengan ilmuwan dalam bidang perubatan seperti Ibn Sina dan al-Zahrawi.

Ayat-ayat al-Quran berkaitan sudah pasti mendorong mereka memberikan sumbangan besar dalam dunia perubatan dan penjagaan kesihatan. Ibn Sina yang menjadi rujukan dunia Islam dan Barat, berjaya mewariskan karya besarnya, “Al-Qanun fi al-Tibb" (Canon of Medicine). Karya ini kekal menjadi rujukan utama dunia barat, misalnya oleh Universiti Brussel sehingga tahun 1909. Al-Zahrawi pula menghasilkan karya yang menghimpunkan sejumlah 200 ilustrasi peralatan pembedahan.

Apa yang perlu dilaksanakan oleh kita pada hari ini ialah berusaha mempelajari, membaca, dan memahami ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab yang ditulis oleh ulama sanjungan kita itu. Pada hakikatnya, usaha seumpama ini samalah kedudukannya dengan usaha mengkaji al-Quran. Bagi golongan berilmu, mereka memikul tanggungjawab lebih besar, iaitu menggali tradisi yang dibina oleh ulama terdahulu dan menterjemahkannya dalam bentuk baharu.

Hal ini misalnya dalam usaha mendepani cabaran pemikiran semasa yang menggugat akidah umat Islam seperti sekularisme dan liberalisme. Asas yang disediakan oleh ulama silam dalam kitab-kitab karangan mereka dapat dimanfaatkan dan diterjemahkan dalam bentuk atau dimensi baharu, sesuai dengan keperluan dan cabaran masa kini.

Harus diingat bahawa jika sekalipun kita tidak dapat melaksanakan sepenuhnya usaha keras yang digembleng generasi Islam terdahulu, maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya. Hal ini bertepatan dengan kaedah dalam agama kita yang berbunyi: “Apa yang tidak mampu dilakukan sepenuhnya, janganlah ditinggalkan kesemuanya."

Pandangan IKIM  ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)   Utusan/Rencana/20140526

Tags: al-quran, tadabbur
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments