mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Israk Mikraj ubati kesedihan Rasulullah

Peristiwa Israk Mikraj perlu diingati seluruh umat Islam kerana ia membuktikan kebesaran Allah SWT dan kebenaran ajaran Islam. Kurniaan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW itu sebagai mengubat kesedihan Baginda atas kehilangan insan tersayang, iaitu isterinya Saidatina Khadijah.

Sebagai insan yang menjadi penyokong utama perjuangan menyebarkan Islam di Makkah, Baginda memandikan, mengkafankan dan mengendong jenazah isteri tercinta dari rumah sejauh 1.5 kilometer ke tanah perkuburan untuk pengebumian.


Bercakap pada Forum Perdana Israk Mikraj anjuran Badan Khairat The News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, penceramah Zulkarnain Hamzah berkata, besarnya kasih sayang Nabi Muhammad SAW kepada Siti Khatijah sehingga bercucuran air mata Baginda.

Israk Mikraj dirakam dalam al-Quran

Bagaimanapun katanya, di sebalik kesedihan dirasai Nabi Muhammad SAW, peristiwa Israk Mikraj perlu diingati kerana hikmah daripada perjalanan yang dirakamkan dalam al-Quran itu untuk meningkatkan keimanan kepada kekuasaan Allah SWT.

“Peristiwa berlaku dalam satu malam itu sudah pasti sukar untuk diterima tambahan Nabi Muhammad SAW ketika itu tidak mempunyai kerajaan, jadi tiada siapa yang percaya kata-katanya. Berbeza di Madinah, Baginda adalah ketua negara, jadi kata-kata Baginda diterima dengan mudah.

“Tetapi kerana sahabat seperti Saidina Abu Bakar dan yang lain mengesahkan dan membenarkan apa yang diberitakan oleh Nabi Muhammad SAW, masyarakat ketika itu tidak menolak kebenaran peristiwa itu,” katanya.

Katanya, peristiwa Israk dan Mikraj yang turut diceritakan dalam kitab lain iaitu Taurat, Zabur dan Injil sudah diubah dan ia menyimpang daripada ajaran asalnya dengan tujuan merosakkan keyakinan terhadap Islam.

Justeru, umat Islam perlu menghayati ajaran al-Quran serta memahami sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW termasuk peristiwa besar membabitkan Baginda dalam menyebarkan syariat Islam kepada seluruh ummah.

Sementara itu, ahli panel yang juga penceramah bebas, Mohd Fauzi Mustaffa, mengingatkan umat Islam supaya menghayati kefarduan solat serta rukun Islam lain yang dijelaskan secara tidak langsung melalui pengalaman dilalui Nabi Muhammad SAW apabila Baginda dimikrajkan menemui Allah SWT.

Pada perjalanan itu, Baginda diperlihatkan kehidupan manusia di neraka, ada yang menghentak kepala ke batu berulang kali, menjerit melolong kesakitan apabila kepalanya pecah dan bercantum semula kemudian mengulangi perbuatan sama hingga hari kiamat.

Gambaran tidak bayar zakat

“Ketika itu Baginda bertanya kepada Jibrail kenapa terjadi begitu, jawab Jibrail golongan berkenaan adalah mereka yang mengabaikan solat. Melihat manusia berlari di padang dengan hanya ditutupi secebis kain di kemaluannya dan diajukan soalan kepada Jibrail, jawapannya adalah mereka yang tidak membayar zakat,” katanya.

Beliau berkata, gambaran itu mengingatkan umat Islam mengenai tanggungjawab melaksanakan perintah Allah SWT seperti menunaikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat serta mengerjakan haji apabila sudah mempunyai kemampuan.

Mohd Fauzi berkata, tidak ada alasan untuk umat Islam mengelak daripada menunaikan zakat yang diwajibkan terhadap mereka kerana jumlah yang perlu dikeluarkan hanya 2.5 peratus dan matlamat diwajibkan zakat adalah demi memelihara kemaslahatan umat Islam seluruhnya.

Katanya, tidak ada umat Islam yang akan mengalami kerugian hanya kerana membayar zakat sebaliknya Allah SWT berjanji akan menambah rezeki mereka yang melaksanakan tanggungjawab membantu golongan yang memerlukan.

“Ada umat Islam hari ini yang kedekut untuk berzakat walaupun mempunyai banyak duit, kaya raya dan rezeki melimpah ruah. Apabila kita berzakat malaikat mendoakan supaya Allah SWT memberi lebih banyak rezeki dan jika tidak berzakat malaikat mendoakan kita diturunkan bala.

“Oleh itu, banyak yang dijelaskan kepada kita daripada perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk Mikraj. Sebagai umat Islam, kita mampu mencapai kejayaan dalam kehidupan apabila kita menunaikan ibadah yang difardukan dengan sempurna,” katanya.

Berita Harian Agama 2014/05/26 - 04:09:29 AM  Seri Intan Othman
Tags: israk, mikraj
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments