mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Al-Quran sebagai benteng tipu daya iblis

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis, dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.” (Surah Al-Baqarah, ayat 34)

Allah SWT mengingatkan satu detik sejarah sewaktu iblis enggan mematuhi perintah-Nya supaya sujud kepada Nabi Adam bersama dengan para malaikat yang lain. Tindakan iblis ini hasil daripada kesombongan yang dimilikinya.

Bagi malaikat pula mereka tiada keberatan untuk sujud kepada Nabi Adam AS kerana ia adalah perintah daripada Allah SWT.

Mengakui kelebihan Nabi Adam

Kebanyakan ulama tafsir menyatakan sujud malaikat kepada Adam ialah meletakkan dahi di atas muka bumi sebagai tanda merendah diri dan mengakui kelebihan Nabi Adam.

Syeikh Muhammad Mutawalli as-Sya’rawi ketika memberi komentar pada ayat di atas menyebut bahawa sujud malaikat kepada Adam bukan mereka menyembah Adam tetapi adalah manifestasi kepada kepatuhan malaikat terhadap perintah Allah SWT.

Beliau memberi contoh apabila seseorang itu menunaikan ibadat haji antara perkara yang dilakukan ialah mencium hajarul aswad di Kaabah dan juga melontar batu di Mina.

Dua-duanya batu tetapi satunya dicium dan satu lagi dilontar, inilah ertinya ibadat dan kepatuhan kepada Allah SWT serta mengikut manhaj-Nya.

Perintah sujud malaikat kepada Adam adalah setinggi-tinggi penghormatan yang dikurniakan kepada insan walaupun penciptaan manusia ini terdedah kepada melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi.

Rahsia makrifat, iradat Namun, pada masa yang sama manusia dikurniakan dengan rahsia yang mengangkat kedudukan mereka yang boleh mengatasi malaikat iaitu rahsia makrifat dan rahsia iradat yang mana mereka bebas memilih jalan yang disukai.

Di sini terjadilah satu medan pertarungan yang abadi iaitu pertarungan di antara iblis dengan khalifah Allah SWT di muka bumi, pertarungan abadi di dalam hati nurani manusia di mana kemenangan kebaikan adalah bergantung kepada sejauh mana manusia itu berpegang teguh dengan iradat dan perjanjiannya dengan Allah SWT.

Syed Qutb berkata ayat di atas juga membayangkan bahawa iblis bukan dari kalangan malaikat tetap sekadar berada dalam majlis malaikat.

Sekiranya iblis dari jenis malaikat tentulah mereka tidak melanggar perintah Allah SWT kerana sifat utama malaikat ialah ketaatan yang mutlak kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Walaupun kita tidak mengetahui hakikat malaikat yang tergolong di alam ghaib tetapi al-Quran menerangkan bahawa malaikat terdiri daripada beberapa kelompok. Setiap kelompok ini mempunyai tugas yang tersendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Padahal sesungguhnya, ada malaikatmalaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.)” (Surah Al-Infitar, ayat 10-12)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 18)

Ada malaikat yang bertugas mencatat segala amalan yang dilakukan oleh manusia, ada yang menjaga manusia agar terhindar daripada kejahatan syaitan dan ada yang melaksanakan ketentuan yang ditentukan oleh Allah SWT.

Syeikh Mustafa al-Maraghy menyebut di dalam tafsirnya, dari perspektif agama, ilham kebenaran dan kebaikan sememangnya disandarkan kepada malaikat. Manakala perasaan waswas pula dikaitkan dengan syaitan.

Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya syaitan itu mempunyai lummah dengan anak Adam, begitu juga dengan malaikat. Sesungguhnya lummah syaitan berupa janji jahat dan mendustai kebenaran, sedangkan lummah malaikat pula ialah janji kebaikan dan mengaku kebenaran.

Sesiapa yang memperoleh lummah malaikat hendaklah dia mengetahui ia datang daripada Allah SWT dan hendaklah memuji-Nya. Sesiapa yang memperoleh lummah syaitan hendaklah dia berlindung dengan Allah SWT daripada gangguan itu. Kemudian Baginda SAW membaca ayat yang bermaksud, syaitan menjanjikan kefakiran untuk kamu dan menyuruh kamu berbuat perkara keji.” (Riwayat Tarmizi) Kita sememangnya menyedari mengenai kewujudan konflik di dalam diri apabila kita hendak membuat sesuatu yang berunsur kebenaran, kebaikan, kebatilan dan keburukan.

Pada saat itu, kita terasa ada dialog antara dua pihak. Satu pihak akan berkata lakukanlah dan satu pihak lagi menyatakan jangan lakukan dan akhirnya kemenangan akan berpihak kepada salah satu daripada mereka.

Justeru, setiap daripada kita wajib memahami ajaran al-Quran yang memberi pedoman kepada kita untuk membina kehidupan berlandaskan prinsip kebenaran dan pada masa yang sama dapat menghindarkan diri daripada tipu daya syaitan.

Berita Harian Agama 2014/05/30 - 07:40:04 AM Ahmad Shukri Yusoff
Tags: al-quran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments