mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Indeks tentukan status negara Islam

PENENTUAN ciri-ciri sebuah negara Islam adalah sesuatu yang rumit sehingga menjadi perbalahan dalam kalangan ahli politik. Dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali apabila berhadapan pelbagai cabaran membangunkan negara Islam berkonsepkan wasatiyyah.

Konsep yang diperkenalkan bukan sahaja tidak diiktiraf saudara seagama daripada Pas yang mendakwa segala langkah selama ini belum mencukupi dan memenuhi tuntutan sebagai sebuah negara Islam tulen, bahkan mendapat tentangan daripada golongan liberal khususnya bukan Islam.

Wasatiyyah yang membawa makna ‘kesederhanaan’ sering diputar belit golongan itu dalam usaha menghalalkan fahaman mereka, antaranya untuk memperlihatkan kebebasan total sebagai ‘kesederhanaan’ manakala cara hidup berlandaskan batasan agama sebagai ‘ekstrem’.

Berpegang kepada hujah hak asasi, golongan liberal memfitnah ajaran Islam sebagai menghalang hak asasi manusia, sekali gus dianggap kolot dan kejam.

‘Perjuangan’ mereka, kesederhanaan seharusnya bermaksud manusia boleh melakukan apa saja termasuk sesuatu yang bertentangan tabii.

Imam Feisal


RAJMAH HASAN rencana@utusan.com.my

Kemuncak ‘perjuangan’ apabila Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) memberi tekanan hebat termasuk mencabar Perlembagaan Persekutuan di pentas antarabangsa.

Selain itu, kempen mereka juga menerusi pertikaian kedudukan Islam dan mempromosi budaya songsang seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bertentangan dengan undang-undang Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Tekanan itu jika tidak ditangani akan memusnahkan usaha kerajaan yang selama ini membangunkan negara Islam berkonsepkan wasatiyyah iaitu pendekatan terbaik mengikut konteks Islam moden yang bukan sahaja diterima baik sejagat, bahkan dianggap kunci yang mampu mengekalkan perpaduan di negara ini.

Sehubungan itu, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah baru-baru ini mengenai penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa adalah menarik untuk diteliti.

Mengulas perkembangan berkaitan, Pengerusi Cordoba Initiative, Imam Feisal Abdul Rauf menekankan pentingnya menjelaskan ciri-ciri sesebuah negara Islam kepada masyarakat bukan Islam agar menangkis persepsi mereka bahawa Islam - agama jumud yang menyekat kemajuan.

Pada masa ini katanya, terdapat banyak usaha menubuhkan negara Islam, namun rata-rata meletakkan keutamaan pelaksanaan hukuman hudud sebagai syarat utamanya.

"Sedangkan sesebuah negara itu adalah negara Islam apabila diperintah pemimpin muslim yang adil selain syariat Islam menjadi acuan dan landasan hukum negara secara utuh," katanya pada ceramah umum Indeks Peraturan Undang-Undang dan Pembangunan Kerajaan Islam di Institut Antarabangsa Kajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia di ibu negara baru-baru ini.

Beliau mengupas kepentingan membangunkan mekanisme kerangka indeks peraturan undang-undang Islam bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam kalangan ahli politik ketika penentuan status sesebuah negara Islam.

Cordoba Initiative iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Amerika Syarikat, bersama 12 tokoh ulama dan cendekiawan bukan Islam dari beberapa negara Islam mengambil inisiatif menyediakan buku panduan kepatuhan berkaitan indeks peraturan undang-undang bagi mengukur komitmen sesebuah negara dalam melaksanakan syariat Islam.

Buku bertajuk The Islamic Rule Of Law Index yang mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan itu menyentuh perbahasan isu penentuan sesebuah negara Islam menggunakan kaedah kualitatif menerusi instrumen pengumpulan data dan analisis kandungan berasaskan perbandingan maqasid syariah bagi menentukan status sebuah negara Islam.

Mengulas dakwaan parti Pas bahawa Malaysia bukan negara Islam selagi hukuman hudud tidak dilaksanakan, beliau tidak menafikan pandangan sesetengah mereka yang mahu ‘menghidupkan’ kegemilangan Islam seperti zaman Rasulullah SAW.

"Selain istilah Negara Islam tidak tercatat secara langsung dalam al-Quran dan al-Sunnah, malah ulama juga bersetuju bahawa jenayah tetap berlaku pada zaman Rasulullah biarpun hukuman hudud dilaksanakan, justeru pertikaian mengenainya tidak harus sampai memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

"Kegemilangan zaman Rasulullah tidak terletak kepada pelaksanaan hukuman hudud semata-mata, sebaliknya perpaduan kaum yang menjadi kunci kepada kekuatan mereka," ujarnya.

Imam Feisal tidak menolak, perbezaan ideologi menjadi faktor utama yang menyumbang kepada perpecahan muslim di kebanyakan negara Islam dan disebabkan itu, masyarakat bukan Islam terutamanya di Barat mengambil kesempatan melakukan propaganda memburukkan imej Islam.

Dalam pada itu, Imam Feisal berharap UMNO dan Pas duduk semeja menyelesaikan perbezaan ideologi dan mencari titik persamaan untuk kepentingan Islam.

"Kedua-dua parti mewakili orang Islam, Melayu dan pengikut Mazhab Syafie, tetapi terdapat satu jurang yang besar. Jangan biarkan faktor ideologi memecahbelahkan anda.

"Jika (buku ini) kita dapat merapatkannya di Malaysia, Mesir, Tunisia dan beberapa negara Islam lain, ia akan menjadi pemulihan penting kerana kita adalah satu umat yang menyembah Tuhan yang sama," katanya.

Berbalik kepada isu pendekatan wasatiyyah di negara ini, beliau berkata, Malaysia berjaya menduduki senarai antara lima negara Islam terbaik apabila meraih ukuran indeks tertinggi dalam hampir keseluruhan enam maqasid yang dinilai antaranya kehidupan, harta benda, intelek, maruah dan sebagainya.

"Apa yang mengagumkan, Malaysia sebagai sebuah negara Islam, mampu membawa kemakmuran kepada seluruh rakyatnya yang berbilang kaum," katanya.

Imam Feisal telah berkhidmat sebagai Imam Masjid al-Farah, yang terletak 12 blok dari Ground Zero di tengah bandar raya New York dari 1983 hingga 2009.

Beliau menubuhkan Cordoba Initiative yang menggunakan agama untuk menambah baik hubungan Islam-Barat dan menyediakan penyelesaian inovatif di dalam kawasan konflik antara masyarakat Islam dan Barat.

Tiga buku tulisan beliau antaranya What’s Right With Islam Is What’s Right with America mengupas tentang Islam dan kedudukannya di dalam masyarakat Barat.   RAJMAH HASAN rencana@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140603

Tags: islam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments