mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Poligami lahirkan keluarga mithali?

KEHIDUPAN berkeluarga yang aman damai adalah impian setiap daripada kita. Tidak yang berkahwin mengharapkan mahligai yang dibina berakhir dengan perceraian. Untuk menjadi keluarga contoh, tentunya keluarga itu mempunyai ciri-ciri mawadah dan rahmah serta masyarakat keliling memandang mereka dengan rasa hormat dan penuh kasih sayang.

Bukan mudah menjadikan keluarga kita keluarga mithali, namun semua orang mesti berniat agar pernikahan yang dimeterai itu akan melahirkan keluarga mithali.

Kita selalu mengambil kisah keluarga Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik. Kita ketahui dalam kehidupan berumah tangga, isteri-isteri Nabi SAW juga cemburu mencemburui di antara satu sama lain kerana itulah fitrah wanita, Namun kerana baginda seorang yang adil, maka Rasulullah SAW tidak memberi ruang kepada mereka untuk bergaduh.

Adil dalam pengamalan poligami ialah adil dalam penggiliran. Itu bermakna jika ada empat isteri maka satu hari untuk setiap seorang isteri dan hari kelima kembali giliran kepada isteri pertama. Semasa baginda sakit, isteri yang menerima giliran memanggil orang untuk menghantar Rasulullah ke rumah isteri yang selepasnya, kerana dia tidak mahu baginda menjadi suami yang tidak adil serta tidak mahu menjadi isteri yang mengambil hak isteri lain. Harmoninya rumah tangga baginda.

Di dunia Islam hari ini, umumnya dan Malaysia khasnya, keharmonian rumah tangga mula tercalar apabila suami menyatakan niat untuk berpoligami. Baharu luahan sahaja, sudah dibantah. Ini menyebabkan ramai suami mencari jalan pintas dengan berkahwin secara senyap-senyap di negara jiran atau melalui sindiket.

Saya perlu jelaskan kepada semua bahawa di Malaysia, jika seorang lelaki Islam telah berkahwin dan dia berhasrat untuk berkahwin lagi, maka menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang ada di negara ini, suami tersebut perlu membuat permohonan untuk berpoligami kepada mahkamah syariah.

Memanggil isteri

Mahkamah akan memanggil isteri atau isteri-isteri yang sedia ada untuk ditanya pandangan mereka. Mahkamah juga akan memanggil bakal isteri dan walinya. Kebiasaannya, kebanyakan isteri yang dipanggil membantah permohonan atau menolaknya atas alasan suami tidak berkemampuan daripada segi kewangan dan fizikal.

Dalam kebanyakan kes memang suami tidak mampu terutama daripada segi kewangan. Tetapi nafsu mengatasi segalanya. Hasrat berpoligami tetap ingin diteruskan dan jika berlaku keterlanjuran atau maksiat, isteri akan dipersalahkan. Hal ini menyebabkan isteri dalam situasi serba salah.

Secara fitrahnya, tiada isteri mahu atau suka dimadukan. Namun itu bukanlah perkara sebenar isteri enggan memberi persetujuan. Perkara utama yang merunsingkan isteri ialah isu nafkah. Sebelum berkahwin baharu pun, kewangan rumah tangga dibantu isteri atau dipikul bulat-bulat oleh isteri, inikan pula jika beristeri lagi. Maka sudah tentulah isteri pertama dan anak-anak terabai. Ini adalah cerita benar dan satu realiti.

Jadi daripada sebuah rumah tangga yang dibina hasil cinta bersama dan hidup aman damai walaupun isteri terpaksa berkorban dengan bekerja dan tidak mengambil pembantu rumah, akhirnya menjadi sebuah neraka dunia. Isteri merasa dia dipergunakan. Ada atau tidak ada suami tiada bezanya, kerana yang mengeluarkan perbelanjaan rumah adalah si isteri.

Maka tidak hairanlah, apabila suami hendak berpoligami, isteri mula mengungkit cerita lama. Ia kerana hatinya sudah terluka, badannya penat, tambah pula suami tidak lagi menghargainya. Dalam kepedihan dan sakit hati itu, maka banyaklah kata-kata tidak manis dikeluarkan.

Anak-anak pula menjadi mangsa utama kerana mereka akan terperangkap, tidak tahu siapa yang salah, siapa yang benar. Mereka tidak pasti kepada siapa mereka patut terus bergantung, sedangkan kedua-dua ibu bapa mereka asyik bercakaran semata-mata kerana hal poligami. Maka akan hilanglah segala kebahagiaan rumah tangga, rasa kasih sayang, hormat menghormati dan kebertanggungjawaban dalam keluarga tersebut. Ini adalah salah satu keluarga yang berisiko tinggi.

Calon menantu

Di pihak isteri kedua pula, bagaimanakah dapat dibina sebuah keluarga mithali sedangkan status perkahwinan anda sangat kontroversi dan meragukan. Kebiasaannya, jika isteri atau isteri-isteri yang sedia ada tidak bersetuju, makan pasangan tiada pilihan lain, selain bernikah di negara jiran. Selain itu, keluarga bakal isteri juga tidak merestui pernikahan tersebut kerana calon menantu adalah suami orang.

Ia satu stigma dan di Malaysia, perkahwinan kedua biasanya dibina dengan merobohkan sebuah keluarga bahagia yang telah terbina. Bakal isteri kedua perlu tahu bahawa kebahagiaan yang ingin dinikmati daripada perkahwinannya adalah atas titisan air mata kesedihan seorang wanita yang dipanggil isteri pertama. Ia juga merobek hati anak-anak yang merasa mereka tidak lagi “berayah" kerana ayah akan melebihkan masa dengan anak-anaknya yang lain.

Memahami situasi dan emosi ini amat penting kerana ia berkait dengan konsep keluarga mithali. Bagi seorang suami, bagaimanakah mungkin boleh ia membina sebuah keluarga mithali apabila keluarganya menjadi porak peranda? Tiada poligami yang dilaksanakan tanpa dengan senyuman isteri kerana fitrah wanita, hatinya telah dirobek dan dilukai apabila suami mengambil wanita lain sebagai isteri. Isteri merasa kecil hati, selalu syak wasangka dan merasakan dirinya tidak dihargai.   Utusan/Bicara_Agama/20140604

Tags: poligami
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments