mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Amal sikap tolong menolong jaga alam sekitar

Memberi perhatian serta menjaga alam sekitar boleh dianggap sebagai usaha untuk bekerjasama dalam melakukan kebaikan. Jika alam dijaga dengan baik, manfaatnya bukan saja kepada satu-satu individu tetapi turut membabitkan seluruh makhluk di dunia ini.

Kerjasama ke arah kebaikan seharusnya difahami sebagai asas dalam meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2014 yang bertemakan ‘Raise the voice, not the sea level’. Sambutan ini menuntut kita bekerjasama melakukan tindakan untuk memastikan alam serta sumbernya terpelihara.

Pada masa sama, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia ini juga memberi peluang masyarakat awam melakukan sesuatu yang positif terhadap alam sekitar. Jadi, inilah masanya kita mengambil peluang untuk merancang serta melakukan sesuatu yang baik berkaitan alam ini.

Contoh kegiatan yang mungkin boleh dilakukan ialah menanam pokok di kawasan rumah atau kejiranan, membawa ahli keluarga menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi, membersihkan kawasan pantai atau paling kurang menyatakan pendirian terhadap alam di laman sosial kegemaran masing-masing.

Masyarakat adalah sasaran utama kempen penjagaan alam sekitar di seluruh dunia. Setiap lapisan masyarakat, bermula daripada peringkat paling rendah iaitu anak-anak kecil sehinggalah kepada ketua masyarakat, perlu digerakkan untuk memahami permasalahan alam sekitar serta usaha pemuliharaan.

Malah, pengetahuan masyarakat setempat terhadap permasalahan alam sekitar yang mereka hadapi turut berguna dalam usaha pemuliharaan itu. Oleh itu, mana-mana usaha pemuliharaan alam sekitar yang mengetepikan pembabitan komuniti setempat pasti akan menemui kegagalan.

Di Malaysia, usaha mewujudkan satu kelompok ejen perubahan alam sekitar dikenali sebagai Rakan Alam Sekitar amat baik. Ini membuktikan kerjasama pihak berkuasa dan masyarakat menangani permasalahan alam sekitar amat penting.

Rakan Alam Sekitar bukan saja menyumbang tenaga juga idea serta ilmu pengetahuan untuk bersama menjaga alam sekitar. Oleh itu, lebih ramai Rakan Alam Sekitar perlu digerakkan dan masyarakat sewajarnya tidak melepaskan peluang menjadi sebahagian daripada Rakan Alam Sekitar ini.

Kerjasama masyarakat diharapkan membuahkan hasil yang baik dalam memastikan alam sekitar terpelihara. Walaupun kerjasama ini semakin baik, namun dalam konteks Malaysia, pembabitan masyarakat dalam pemuliharaan alam sekitar sebenarnya belum boleh dibanggakan.

Walaupun sudah hampir 30 tahun usaha meningkatkan kesedaran alam sekitar dijalankan, namun kesedaran, apatah lagi pembabitan masyarakat dalam usaha pemuliharaan alam sekitar masih terlalu rendah.

Dalam banyak keadaan, kita terlalu bergantung kepada pihak berkuasa atau pertubuhan tertentu untuk melaksanakan program penjagaan alam sekitar. Apakah dalam keadaan ini, ahli masyarakat tiada daya untuk melaksanakan usaha pemuliharaan alam ini?

Jika dilihat dalam tong kitar semula yang khusus untuk bahan tertentu, kita akan terkejut kerana semua jenis sampah ada dalam tong itu. Beginilah sikap masyarakat yang bukan saja tidak membantu malah menyalahgunakan tong kitar semula dengan menjadikan ia tempat pembuangan pelbagai jenis sampah.

Oleh itu, kerjasama dalam hal kebaikan seperti pemuliharaan alam sekitar perlu digerakkan dengan lebih baik dan tersusun. Pembabitan ahli masyarakat dalam program pemuliharaan alam sekitar hendaklah ditingkatkan dan pada masa sama penyebaran maklumat juga dilakukan secara agresif.

Manfaatkan laman sosial untuk berkongsi maklumat berkaitan alam sekitar. Jika kita bersatu dalam hal ini, maka sesungguhnya kita benar-benar bekerjasama dalam hal kebaikan. Malah, jika kita istiqamah, pasti akan ada hasil yang membanggakan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolongan-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Maidah, ayat 2) Berita Harian Agama 2014/06/06 - 04:12:37 AM  Azrina Sobian
Tags: alam sekitar, tolong
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments