mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kemelut 'anak emak'

MARIA mengeluh kesal. Setiap kali dia merancang, pasti tidak menjadi. Lebih malang apabila setiap cadangannya ditolak Kamil. Alasannya, ibu perlu lebih diutamakan. Ah! Hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, sikap Kamil tidak pernah berubah. Kalau di awal perkahwinan Maria cuba memahaminya. Maklumlah, Kamil satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Sudah tentu manjanya sedikit lebih daripada tiga adik-beradik perempuan lain. Bukan itu sahaja, dia adalah orang harapan dalam keluarganya.

Kerana itu tidak hairanlah, tatkala Kamil membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya, ibunya terlalu payah untuk melepaskannya. Seolah-olah anak lelakinya itu akan meninggalkannya buat selama-lamanya. Justeru, sebaik lafaz akad diucapkan, bukan Maria sahaja yang menitiskan air mata, tetapi ibunya yang agak terlebihan. Tanpa menghiraukan orang ramai, Kamil dipeluk sepuas-puasnya. Sehinggalah Kamil memujuknya, barulah si ibu merungkaikan pelukannya itu.

Di awal perkahwinan, Kamil dipaksa oleh ibunya untuk tetap tinggal sebumbung dengannya. Namun Maria enggan. Kamil terpaksa akur dengan kehendak isteri yang baru dinikahi. Bagi Maria, tidak tinggal sebumbung bukan bermakna Kamil akan melupakannya. Apatah lagi bagi Maria, sebaik bergelar isterinya yang sah, maka bermulalah kehidupan baharu yang perlu mereka tempoh bersama baik senang mahupun senang. Inilah masanya untuk mereka berdikari dan membuat keputusan bersama dalam menentukan arah tuju rumah tangga yang dibina.

Hakikatnya bukan mudah bagi Maria yang berkahwin dengan anak kesayangan ibu mertuanya. Banyak cabaran yang terpaksa dihadapi. Lebih-lebih lagi apabila ibu mertuanya sering masuk campur dalam setiap keputusan yang telah mereka rencanakan bersama. Kamil pula sentiasa mengalah dengan kehendak si ibu. Bukannya sekali dua Kamil melukakan hati Maria. Banyak kali! Namun Maria terus bersabar dengan harapan Kamil akan lebih memahami situasi yang Maria hadapi itu.

Kini tempoh perkahwinan mereka masuk tahun kelima. Kamil tetap begitu. Tidak berubah. Hatta sudah ada anak seorang pun, Kamil masih menurut kehendak ibu dalam membuat sesuatu keputusan. Apa yang dibincangkan, dirancang dan diputuskan secara bersama, sering kali akhirnya tidak menjadi. Ini semua gara-gara ibu mertua yang pasti menghalang serta tidak bersetuju dengan keputusan yang telah diambil oleh Maria dan Kamil.

Malang bagi Maria, Kamil sanggup membelakangkan keputusan yang telah mereka ambil demi mendahulukan kehendak si ibu. Hatta perancangan mereka sekeluarga untuk bercuti ke sebuah pulau peranginan, dibantah keras oleh ibu Kamil. Bermacam-macam alasan diberikan sehingga Kamil terpaksa mengalah. Si ibu tersenyum puas apabila Kamil taat dengan perintahnya.

Maria? Perasaannya tidak pernah dipedulikan. Kamil pernah memberitahu Maria, ibu adalah satu-satunya insan yang tiada galang gantinya. Justeru, selagi nyawa ada di badan, turutlah kehendak ibu. Maria tidak pernah menafikan hal tersebut. Namun ada kalanya, Kamil harus tegas dengan setiap keputusan yang diambil. Keluarga juga bagi Maria perlu diberi keutamaan, apa lagi dalam soal menjaga hak seorang isteri.

Maria pernah terfikir untuk menuntut cerai daripada Kamil. Berkahwin dengan ‘anak emak’, membuatkan segala perancangannya berkubur. Ini termasuk ketika merancang membeli rumah turut tidak mendapat ‘restu’ si ibu mertua. Sekalipun bayaran deposit RM1,000 telah pun dibuat, Kamil sanggup meleburkan wang tersebut demi menurut kehendak si ibu yang tidak berkenan dengan pilihan mereka. Begitu juga tatkala membeli kereta, si ibu yang menentukan kereta apa yang perlu dibeli oleh Kamil dan menantunya.

Bukan itu sahaja, tatkala Maria melahirkan anak sulungnya, perancangan membuat kenduri akikah telah pun dibuat. Tanpa berbincang dengan Maria terlebih dahulu, ibu Kamil telah menetapkan segala-galanya, maka berjalanlah kenduri akikah tersebut di rumah ibu mertuanya dalam keadaan Maria makan hati dengan sikap si ibu mertua juga suami yang terlalu ‘menurut perintah’.

Maria buntu. Sampai bila Kamil akan berubah menjadi suami atau ketua keluarga yang boleh membuat keputusan sendiri. Malah apakah wajar, Maria mengambil keputusan untuk berpisah sahaja dengan Kamil, sekalipun perpisahan itu kelak akan mendatangkan kesan kepada anak mereka berdua, Haikal?   Utusan/Bicara_Agama/20140605

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments