mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fahami konsep halal sebenar

SUSULAN pengesahan tiada asid deoksiribonukliek (DNA) babi pada dua sampel coklat berjenama Cadbury yang dihebahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui media massa sedikit seba­nyak melegakan umat Islam di negara ini.

Ini berikutan isu coklat yang dicemari dengan DNA babi yang heboh diperkatakan sudah dianggap selesai dan disahkan halal oleh Jakim.

Sungguhpun begitu, umat Islam diseru lebih berhatihati pada masa depan de­ngan hanya memilih dan membeli produk yang diyakini halal serta mendapat pengesahan halal oleh Jakim. Malah kekeliruan dan ketidakpastian terhadap sesuatu produk sepatutnya dirujuk kepada Bahagian Halal, Jakim terlebih dahulu bagi mendapat kepastian bukannya dengan menyebarkan berita palsu yang semakin mengelirukan.



Premis yang tidak mempunyai kelayakan logo halal akan diarahkan menanggalkan logo halal dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan pihak berkaitan lain.

Ini kerana persoalan berkaitan makanan halal termasuk isu agama adalah sensitif dan tidak boleh dipermainkan. Malah umat Islam perlu membuat penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya sebelum memakan sesuatu produk dan bukan sekadar untuk kenyang begitu sahaja. Apa yang lebih penting untuk dipertimbangkan adakah ia halal di sisi syarak hingga seseorang terlepas daripada pertanggungjawaban pada hari kemudian.

Sehubungan itu, pihak berwajib juga diminta agar lebih bertegas dalam me­nguatkuasakan perundangan berkaitan aspek halal di Malaysia khususnya bagi menunaikan tanggungjawab pemerintah terhadap rakyatnya.

Penulis turut menyokong kenyataan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan yang mahu agar pihak kerajaan segera menguatkuasakan akta halal yang tertangguh sejak sekian lama. Hal ini penting untuk mengelak daripada rakyat khususnya umat Islam daripada terus ditipu oleh pengusaha yang tidak menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Perkara ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Ketiga 2006-2010, oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menyatakan skop industri halal di Malaysia sangat luas sehingga merangkumi makanan, produk bukan makanan termasuk farmaseutikal, produk kesihatan, peralatan perubatan, kosmetik dan produk dandanan diri dan perkhidmatan termasuklah segala aktiviti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran, media cetak dan elektronik serta perjalanan dan pelancongan.

Justeru, masyarakat Islam diseru memahami betapa skop halal dalam Islam sangat luas dan merangkumi pelbagai cabang kehidupan manusia. Pemahaman umat Islam dalam soal halal dan haram tidak patut disempitkan kepada produk makanan sahaja, malah hendaklah diperluaskan kepada pelbagai perkara yang diperintahkan oleh syariat.

Dalam hal ini juga tiada gunanya me­nyalahkan pengeluar yang hanya bermotifkan perniagaan dan meraih keuntungan jika umat Islam sebagai pengguna akhir tidak prihatin tentang apa yang disuapkan ke dalam mulut mereka. Malah sebahagian besar daripada pengeluar produk makanan di negara kita terdiri daripada kalangan bukan Muslim yang tidak mengerti soal halal dan haram apatah lagi mengambil berat tentang hukum hakam tersebut. Berkemungkinan terdapat sesetengah pengeluar yang sengaja meletakkan logo halal palsu demi melariskan produk keluaran mereka.

Bagi mengurangkan kebimba­ngan terhadap status halal sesuatu produk penulis mencadangkan supaya masyarakat Islam yang berkemahiran dan berkemampuan berusaha untuk menceburi bidang pengeluaran produk halal khususnya yang berasaskan makanan bagi memenuhi permintaan masa kini. Malah jika diteliti ia merupakan tuntutan fardu kifayah yang tidak boleh dikesampingkan jika tidak pasti semua akan terpalit dengan dosa.

Kalangan peniaga makanan milik orang Islam turut diseru agar lebih prihatin dan bertanggungjawab dengan hanya memilih barangan halal dalam penyediaan makanan di premis mereka. Usah terlalu ghairah berniaga dan inginkan keuntu­ngan berlipat kali ganda lalu aspek halal dan kebersihan dipertaruhkan. Malah boleh jadi peniaga terlibat mendapat saham dosa akibat tidak menghiraukan hukum halal dan haram dan menipu pe­langgan yang menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap mereka.

Kesedaran tentang pentingnya menggunakan barangan halal hendaklah diperluaskan juga kepada produkproduk kesihatan seperti ubatubatan dan vitamin, produk kebersihan diri seperti sabun mandi, sabun membasuh pakaian, syampu dan lainlain yang kemungkinan dicemari dengan lemak haiwan yang diragui.

Selain itu, bagi kaum wanita yang gemar mengenakan mekap dan produk kecantikan diri, mereka juga sepatutnya lebih berhatihati. Ini kerana dikhuatiri terdapat produk yang menggunakan bahanbahan yang diragui kesuciannya. Usah hanya ingin kelihatan cantik tetapi memudaratkan kesihatan diri sendiri. Sedangkan kecantikan sebenar diukur berdasarkan nilai akhlak dan peribadi yang luhur sesuai dengan nilai akhlak Islam yang murni.

Penglibatan umat Islam dalam sektor kewangan, perbankan dan insurans yang tidak mematuhi piawaian syariah juga adalah dilarang. Ini kerana amalan kewa­ngan yang bersandarkan kepada riba adalah haram dan perlu dijauhi. Malah de­ngan meluasnya perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam di Malaysia umat Islam diseru beralih dengan hanya menyokong perkhidmatan yang dihalalkan.

Selain itu segala bidang pekerjaan seperti pelacuran, menjadi GRO di kelabkelab malam, bekerja di rumah urut termasuklah pekerjaan bersangkut paut dengan aktiviti penjualan arak adalah haram. Ini kerana selain mendapat kutukan Tuhan, hasil yang diperoleh daripada pekerjaan seperti itu tiada keberkatannya apatah lagi jika digunakan menyara kehidupan sekeluarga. Sebaliknya pilihlah pekerjaan mulia walaupun kemungkinan pendapatannya tidak seberapa tetapi hati tenang dan tenteram kerana sentiasa di bawah lembayung rahmatNya.

Sedarlah betapa setiap Muslimin tertakluk kepada hukumhakam dan segala peraturan agama. Oleh itu penggunaan barangan halal dan penglibatan dalam pekerjaan yang dibenarkan oleh syariat hendaklah dititik beratkan. Jika tidak selamanya individu Muslim menanggung dosa akibat kesilapan dan keterlanjuran diri sendiri.

Mohd. Ali Muhamad Don ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, (ACIS) UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor Utusan/Rencana/20140606

Tags: halal, jakim
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments