mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Adakan piawai patuh syariah

Isu status halal coklat Cadbury benar-benar mencetuskan polemik besar dalam kalangan rakyat sepanjang dua minggu ini. Walaupun keputusan ujian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi makmal Jabatan Kimia terhadap dua coklat berkenaan telah mengesahkan ketiadaan DNA babi berbanding penemuan awal oleh Kementerian Kesihatan, ternyata masih ramai yang sangsi dan ragu.


Sebagai orang awam kita serahkan sahaja kepada pihak Jakim yang bukan sahaja lebih berautoriti dalam penentuan halal haram setiap produk makanan, malah telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai badan yang paling berkesan dan berkeupayaan dalam mengawal selia industri halal negara.

Bahkan jika ditakdirkan termakan makanan haram lantaran diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekalipun, tidak ada istilah kena samak mahupun tukar darah sebagaimana gesaan segelintir. Ini kerana prinsip Islam jelas menggugurkan tanggungjawab seseorang yang tersilap mahupun melakukan sesuatu diluar kemahuannya sebagaimana firman Allah SWT:

"Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al-Ahzab:5).

Ini ditegaskan juga oleh Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah SWT melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka". (Riwayat Ibn Majah).

Apa yang mustahak kini, umat Islam mestillah kekal rasional dan tidak berhujah mahupun berdebat melampaui batas. Janganlah dek kerana beremosi kita terjerumus pula dalam perlakuan songsang seperti tohmah dan fitnah yang lebih besar dosanya daripada sekadar termakan makanan haram.

Namun di sebalik polemik coklat haram yang melanda kini, ternyata sensitiviti umat Islam kepada aspek halal haram dalam pemakanan adalah suatu yang tidak boleh dipandang enteng. Lihat sahaja isu-isu pematuhan syariah yang tercetus bukan sahaja melibatkan aspek halal haram pemakanan tetapi kini masyarakat mula mempertikaikan keabsahan status pelaburan ASB/ASN, pelaburan emas bahkan produk perbankan Islam yang ditanggap tidak berapa Islamik. Ini menzahirkan hakikat bahawa masyarakat kini bertambah prihatin berkenaan halal haram dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Mekanisme

Persoalannya, apakah kepentingan rakyat dalam mendapatkan produk dan perkhidmatan yang benar-benar memenuhi prinsip syarak benar-benar terjamin? Apakah kerajaan sudah mempunyai dasar atau mekanisme yang bersifat komprehensif dalam memastikan aspek pematuhan syariah di setiap sektor benar-benar terpelihara?

Ternyata rakyat sering kali tertipu dengan label-label agama yang diguna pakai dalam upaya melariskan produk mahupun perkhidmatan yang ditawarkan. Label ‘patuh syariah’ atau ‘shariah-compliant’ semacam menjadi satu strategi pemasaran ampuh bagi mempengaruhi pengguna masa kini.

Malah penggunaan label ‘patuh syariah’ secara berleluasa tanpa kawalan mengakibatkan ramai pelanggan sudah tertipu bahkan kerugian wang hanya kerana terdorong untuk melanggani dan berurus niaga dengan produk dan perkhidmatan yang kononnya menyelamatkan mereka daripada api neraka.

Hakikatnya hari ini hanya ada dua industri yang dikawal selia aspek pematuhan syariahnya. Pertama ialah industi produk makanan halal yang dikawal selia dan ditadbir oleh Jakim. Kedua ialah industri kewangan Islam yang dikawal selia oleh pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Walaupun setakat ini kita belum mempunyai satu Akta Halal secara spesifik, urusan berkaitan makanan halal dirangkum dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 serta Perintah-Perintah Perihal Dagangan yang digubal menurut seksyen 28, seperti Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Perintah berkenaan juga menamakan Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebagai ejen pensijilan halal di Malaysia yang diiktiraf di bawah APD 2011 di samping memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai badan penguat kuasa.

Begitu juga dalam industri kewangan Islam, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2012 turut meletakkan kedudukan syariah pada tahap tertinggi dengan memberi kuasa kepada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti mengawasi dan mengawal selia aspek pematuhan syariah institusi-institusi kewangan Islam di bawah seliaan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Malah di bawah Seksyen 28 (5) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, mana-mana pihak yang didapati melanggar aspek pematuhan syariah boleh dikenakan hukuman keras sehingga boleh dipenjarakan tidak lebih lapan tahun atau denda tidak melebihi RM25 juta atau kedua-duanya sekali.

Walaupun tampak aspek pematuhan syariah begitu diperhalusi dan diperketatkan dalam hal ehwal makanan halal dan indusri kewangan Islam yang dikawal selia Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti, namun banyak lagi kelompongan dalam pelbagai sektor lain.

Umpamanya bagi sektor atau institusi kewangan yang tidak berada di bawah seliaan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti, tiada sebarang akta perundangan yang mengawal urus niaga berlabel ‘patuh syariah’.

Natijahnya sudah banyak kejadian penipuan atas label agama seperti dalam kes pelaburan emas Geneva, FOREX, Ar-Rahnu, jualan langsung bahkan urus niaga peminjaman menerusi ah long-ah long yang kononnya patuh syariah. Begitu juga dengan koperasi-koperasi yang tampak begitu galak menawarkan produk pembiayaan ‘patuh syariah’ kepada ahli-ahlinya.

Namun ketiadaan undang-undang khusus yang mengawal selia aktiviti dan urus niaga berlabelkan ‘patuh syariah’ seperti inilah yang mendorong pihak-pihak tidak bertanggungjawab menggunakan agama bagi menipu pengguna yang rata-rata mudah terpengaruh dengan jaminan syurga atas penawaran perkhidmatan yang kononnya memenuhi prinsip syariah.

Justeru sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih bersifat holistik dalam mengawal selia aspek pematuhan syariah di negara ini. Yang dimaksudkan penulis sebagai pendekatan holitisk ialah keperluan mewujudkan satu 'Piawai Patuh Syariah' bersifat menyeluruh dan komprehensif melibatkan semua industri dan urus niaga.

Piawai Patuh Syariah ini amat penting bagi mewujudkan keseragaman dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan atas label agama. Ini juga dapat mengurangkan kekeliruan dalam kalangan rakyat yang bagaikan mudah dipermainkan bahkan rasa tertipu apabila pelbagai versi halal atau ‘patuh syariah’ yang keluar bagaikan tanpa kawalan.

Bagi tujuan penyelarasan mungkin ada keperluan juga untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya yang diletakkan terus dibawah Majlis Raja-Raja memandangkan dari segi Perlembagaan aspek pematuhan syariah termasuk dalam hal ehwal agama merupakan bidang kuasa di bawah negeri.

Suruhanjaya ini juga boleh menyelaras semua agensi di peringkat persekutan dan negeri-negeri dalam aspek pematuhan syariah termasuklah indusri halal yang ketika ini dikawal selia Jakim mahupun industri perkhidmatan kewangan Islam dibawah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Bahkan badan ini juga boleh memperkenalkan audit syariah bagi melakukan proses semakan dan audit yang memfokuskan kepada pematuhan syariah secara berkala dan menyeluruh. Audit syariah ini juga akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap aspek pematuhan syariah.

Umumnya rakyat hari ini makin berkesedaran tinggi akan aspek pematuhan syariah yang tidak hanya terhad pada makanan yang halal. Fenomena penawaran barangan dan perkhidmatan berlabelkan ‘patuh syariah’ tanpa kawalan juga membuktikan kecenderungan industri meraih keuntungan di atas kenaifan umat.

Dengan adanya Piawai Patuh Syariah di samping satu badan penyelarasan induk di peringkat persekutuan diharapkan mampu menangani pelbagai penyimpangan dan penyelewengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang memanfaatkan kejahilan umat bagi meraih keuntungan berlipat ganda sehingga mampu memudaratkan rakyat dan negara.

* Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan/Rencana/20140608

Tags: syariah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments