mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

E.T tetap jadi rahsia Allah

KONFLIK antara para saintis mengenai kehidupan di luar planet Bumi tidak pernah ada penghujungnya. Setiap kali penemuan tersebut diumumkan, walaupun bersama bukti secara saintifik, tetap ada hujah yang menolak penemuan tersebut.

Walaupun dakwaan yang dibuat itu boleh diterima secara logik tetapi apabila diselidik secara mendalam, banyak kemungkinan lain yang tidak dirungkaikan oleh para saintis yang menemukannya itu.

Antaranya adalah pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud dalam saluran Discovery Channel pada Ogos 2011 lalu.

Kenyataan Hawking itu mengundang reaksi berbeza dengan sebahagian saintis menyangkal pandangan itu secara terbuka dan ada juga yang bukan hanya berdiri teguh di belakangnya, bahkan memberikan ramalan hampir serupa.

Samalah dengan usaha Agensi Pentadbiran dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat (AS) yang mewujudkan program dipanggil SETI (Search for Extra-Terrestrial Intelligence) pada 1959 untuk berkomunikasi dengan E.T.


























Prof. Mohd Alauddin Mohd Ali

Kehampaan terhadap projek itu tidak menghentikan usaha NASA tersebut apabila pada 1971, mereka telah sanggup membelanjakan USD10 billion untuk Project Cyclops dan kali ini mereka menggunakan 1,500 piring satelit untuk tujuan sama.

Ternyata projek mencari E.T itu terus menemui kehampaan dan tidak hairanlah, bagi bekas Pengarah Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Mohd. Alauddin Mohd. Ali yang menyifatkan isu tentang kehidupan di luar bumi itu sehingga kini hanya dakwaan sahaja.

“Sepanjang pengalaman saya dalam bidang sains angkasa itu, walaupun ada yang datang dengan bukti secara saintifik tetapi majoriti saintis dalam bidang itu masih belum dapat menerimanya secara muktamad.

“Cuma populariti E.T dalam kalangan masyarakat umum, termasuklah umat Islam meningkat kerana dipandu oleh khayalan kreatif yang dicipta oleh filem atau drama dan bukannya oleh kajian ilmiah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, UKM, Bangi, baru-baru ini.

Planet Marikh

Tidak dinafikan, bidang astronomi menyatakan memang banyak planet macam bumi tetapi yang paling dekat adalah jaraknya 12 tahun cahaya dan satu tahun cahaya lebih kurang 32 juta saat dan jarak satu saat adalah 300,000 kilometer (km).

Sejajar dengan itu, para saintis Islam menyatakan bahawa kalau ada kemungkinan wujudnya hidupan di planet itu, jaraknya sangat jauh dan mungkin tidak sempat daripada segi tempoh julat kehidupan manusia untuk ke sana atau E.T itu untuk sampai ke bumi.

“Malah, planet Marikh yang disebut-sebut sebagai sesuai untuk kehidupan manusia bukan hanya berada dalam lingkungan jarak yang cukup jauh dari bumi, tetapi, pelancaran ekspedisi penjelajahan ke planet itu hanya dapat dilakukan apabila kedudukannya hampir dengan bumi," kata Mohd. Alauddin yang juga adalah profesor di Jabatan Kejuruteraan Elektrik Elektronik dan Sistem UKM.

Bagaimanapun, jelasnya lagi kesungguhan para saintis itu adalah berasaskan kepada keinginan mereka untuk mencari dan mengenal pasti planet lain yang sesuai untuk manusia hidup, selain bumi.

Dalam keghairahan itu, tambah Mohd. Alauddin, wujudnya teori kemungkinan wujud hidupan di planet lain, termasuklah ketibaan mereka ke bumi adalah berdasarkan penemuan artifak dan binaan bangunan yang luar biasa.

“Walaupun setakat ini, penemuan tentang hidupan di luar bumi terus menjadi perdebatan tetapi usaha tersebut perlu diteruskan kerana ia sejajar dengan seruan Allah SWT supaya manusia mengkaji kejadian di langit dan di bumi," katanya.

Begitulah juga dengan firman Allah SWT dalam surah as-Syura ayat ke-29 yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada kedua-duanya daripada makhluk-makhluk yang melata dan Ia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila dikehendaki-Nya (melakukannya).

Ayat ini adalah umum mengenai makhluk Allah SWT yang bertebaran di langit dan bumi. Daripada segi bahasa, kalimah Daabbah (makhluk yang melata) diambil daripada kata akar yang bererti berjalan dengan sangat halus. Secara pastinya, perkataan Daabbah tidak digunakan dalam erti malaikat.

Mohd. Alauddin berkata, walaupun maksud perkataan Daabbah itu masih boleh diperdebatkan, tetapi sepatutnya umat Islam perlu menjadi ketua dalam mengkaji dan memikirkan apa yang ada di antara langit dan bumi.

“Kita kena ingat bagaimana generasi Ulu Albab zaman kegemilangan Islam dahulu yang berusaha membina ketamadunan Islam sehingga menjadi ikutan umat agama lain pada masa itu," katanya. HASHNAN ABDULLAH/GAMBAR: MD.SHAHJEHAN MAAMIN. Utusan/Bicara_Agama/20140612

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments