mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Iktibar Tanah Suci: Layanan istimewa warga tua, OKU

Mendapat tempat untuk mengerjakan haji atau umrah semuanya bergantung atas jemputan Allah. Ada orang duit sudah melimpah ruah tetapi masih belum berpeluang ke Tanah Suci. Ada juga orang duit tidak mencukupi, tetapi dapat menjejakkan kaki ke sana.

Adakala duit sudah ada, pasti ada saja halangan termasuk giliran yang panjang dan kesihatan tidak mengizinkan. Ada juga mereka yang kesihatan tidak mengizinkan tetapi masih tetap dijemput sebagai tetamu Allah.

Untuk ke Tanah Suci bukanlah seperti melancong ke negara lain yang sebaik mendaftar dan membayar pakejnya, kebarangkalian untuk meneruskan perjalanan adalah 100 peratus, melainkan ada halangan yang tidak dapat dielakkan.

Justeru, janganlah kita berputus asa, walaupun pada senarai giliran menunggu untuk mengerjakan ibadat Rukun Islam kelima itu mungkin memakan masa lagi 40 hingga 50 tahun, apa yang penting adalah sentiasa berdoa dijemput sebagai tetamu-Nya.

Bukan hanya berdoa, kita hendaklah yakin doa dimakbulkan. Dengan izin-Nya, pasti apa yang dimohon pasti dimakbulkan, seperti firman Allah yang bermaksud, “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombong diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina,” (Surah al-Mu’min, ayat 60).

Begitu juga golongan orang kurang upaya (OKU) atau mereka yang lemah fizikal akibat sakit seperti orang tua, pasti ramai yang menganggap sukar bagi mereka untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah kerana kedua-dua ibadat itu memang tidak dinafikan memerlukan kekuatan fizikal.

Untuk saie saja hampir tiga kilometer, ini tidak termasuk berjalan kaki untuk ke tempat melontar Jamrah di Mina yang lazimnya kedudukan khemah rakyat Malaysia sejauh kira-kira tiga kilometer sehala.

Begitu juga penginapan di Makkah yang jauh sehingga ada kala yang tidak bernasib baik sejauh satu kilometer kerana pembinaan pembesaran Masjidilharam serta pembinaan hotel baharu.

Realitinya, apabila berada di Tanah Suci kita dapat melihat jutaan jemaah bukan hanya terdiri daripada orang muda dan golongan pertengahan yang sihat fizikal tetapi warga tua yang uzur dan OKU. Lebih menakjubkan golongan ini dapat mengerjakan ibadat dengan sempurna dan dipermudahkan Allah.

Pengalaman mengerjakan ibadat haji dan umrah bersama suami yang OKU, benar-benar membuka mata betapa Allah benar-benar memberikan kemudahan serta kelebihan kepada tetamu istimewa ini.

Apa tidaknya, ketika saat jemaah lain terpaksa bersesak-sesak untuk mengerjakan tawaf di bahagian bawah, golongan OKU diberi kelebihan menggunakan mataf (kawasan dikhaskan bagi kerusi roda) yang dikawal ketat oleh pengawal Masjidilharam pada saat waktu puncak musim haji.

Bukan itu saja, ramai yang menawarkan bantuan untuk membantu menolak kerusi roda tatkala memanjat bukit Safa dan Marwah.

Kadang-kala apabila tawaf dalam masjid pula, walaupun dalam keadaan bersesak, pasti laluan di hadapan seolah-olah kosong dan mudah saja untuk menolak kerusi roda suami.

Pernah suatu hari, kami ditawarkan menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Madinah berbanding bas bersama jemaah lain. Disebabkan harga yang terlalu tinggi dan wang tidak mencukupi, penulis terpaksa menolak tawaran itu walaupun suami berkali-kali memberitahu beliau mahu menaiki kenderaan itu.

Nasib menyebelahi kami, sehari sebelum bertolak pihak pengurusan memberitahu ada hamba Allah menaja untuk membawa mereka yang sakit dan OKU menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Madinah yang hanya mengambil masa tiga jam berbanding lapan jam menaiki bas.

Di Madinah pula untuk memasuki kawasan Raudah umpama ke medan perang kerana terpaksa bersesak-sesak dengan ribuan jemaah tidak kira di tempat wanita mahupun lelaki.

Sekali lagi, laluan mudah bagi suami yang berkerusi roda apabila tidak perlu berbaris dan berebut kerana pengawal kawasan Raudah itu membenarkan saya dan sahabat yang menolak kerusinya bersolat di tepinya sedangkan jemaah lain terpaksa berbaris panjang untuk masuk ke kawasan itu.

Berita Harian Agama 2014/06/14 - 00:24:00 AM Mona Ahmad
Tags: tanah suci
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments