mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berzakat walaupun tidak layak

ADAKAH seseorang yang tidak mempunyai syarat wajib zakat yang sempurna atas dirinya, masih boleh mengeluarkan zakat? Apakah hukumnya jika dia masih mahu memberikan zakat, sedangkan dia tidak mampu? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:  Terima kasih kerana mengajukan persoalan ini. Mudah-mudahan jawapan yang disajikan ini mampu memberikan kejelasan kepada ramai orang Islam yang mungkin merasa kurang faham mengenai keadaan wajib zakat dan hukumnya jika diri mereka mengeluarkan zakat dalam keadaan diri masih di luar batas wajib zakat.

Baiklah, di dalam Islam telah ditetapkan bahawa apabila seseorang itu sudah mempunyai syarat wajib zakat yang cukup atas dirinya, maka pada saat itulah kewajipannya datang. Samalah halnya dengan kewajipan solat, puasa dan haji. Selagi tidak cukup sempurna syarat wajibnya, maka tidaklah berdosa jika tidak bersolat, berpuasa dan berhaji. Demikian jugalah zakat.

Kenapakah Islam meletakkan semua syarat wajib tersebut? Hal ini tidak lain, kerana Islam adalah agama samawi (langit) yang diturunkan oleh Allah SWT bukalah bersifat menekan manusia. Sebaliknya, Islam adalah agama yang sangat mudah untuk diamalkan. Walaupun kondisi hukum itu asalnya wajib malah fardu, tetapi jika seseorang itu tidak mempunyai ‘kelayakan’ yang cukup, maka tidak diberati ke atasnya malah tidak berdosa jika ditinggalkan.

Islam tidak sama dengan lain-lain anutan yang merupakan agama bikinan manusia. Bayangkan, dalam kepercayaan lain, untuk menunaikan ketaatan sudah pun memerlukan biaya yang sangat tinggi. Perlu menyediakan sembahan tertentu, perlukan perantaraan dan sebagainya. Ia memberatkan penganutnya, berbanding Islam yang sangat ringan dalam menunjukkan ketaatan kepada Allah SWT.

Adapun lima syarat asas zakat itu ialah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul dan ditambah tiga lagi syarat jika mahu menunaikan zakat perniagaan, iaitu memang barangan itu telah diniatkan untuk diniagakan, halal barangannya dan transaksinya juga patuh syariah. Hal ini telah pun dibicarakan dalam siri-siri Bicara Zakat yang lalu.

Dalam pada itu, suka dinyatakan bahawa di samping persyaratan harta itu melebihi nisab zakat, harta itu juga mestilah melebihi daripada keperluan diri dan keluarganya. Jika ia sudah melebihi keperluan, maka baharulah ia wajib dikeluarkan zakatnya.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 219 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepada kamu (Muhammad), apakah yang wajib mereka nafkahkan (zakatkan)? (Maka) katakanlah, apa yang berlebih daripada keperluan.

Adapun keperluan asasi di sini, hendaklah ia berdasarkan ketetapan syarak, bukannya atas kemahuan diri sendiri atau ketetapan sendiri. Misalnya, jika makanan, maka yang dikatakan asasi itu ialah makan dua kali sehari. Maka, jika makan sudah sampai 14 kali sehari, itu bukan lagi asasi namanya. Jika rumah, maka rumah itu mampu melindungi diri dan keluarganya daripada bahaya, maka jika sampai sebuah rumah banglo 14 bilik, itu bukan lagi keperluan namanya. Maka, keperluan itu dikira berdasarkan keperluan, yang jika ia tidak dipenuhi akan memudaratkan diri dan keluarga sendiri.

Fuqaha menjelaskan lagi, bahawa syarat berlebih daripada keperluan ini menunjukkan orang-orang Islam yang kedudukan harta mereka hanya cukup-cukup untuk keperluan diri sendiri dan orang-orang yang berada dalam lingkungan wajib nafkahnya (seperti anak, isteri dan ibu bapa), maka orang berkenaan hendaklah terlebih dahulu memastikan diri dan tanggungan nafkah wajibnya mendapat hak mereka daripada hartanya.

Maka, tidaklah orang berkenaan diperbolehkan mengeluarkan zakatnya, kerana jika dia melakukan sedemikian, ia akan menzalimi diri dan orang-orang yang secara hakiki menjadi kewajipannya untuk dinafkahi. Namun timbul persoalan lain, iaitu apa kala dia tetap mahu mengeluarkan zakatnya dalam kondisi diri dan tanggungannya juga masih belum terpenuhi keperluannya, maka apakah hukumnya?

Maka, di sini jika dengan zakat yang dikeluarkan itu menyebabkan tanggungnnya menderita (misalnya tidak dapat makanan yang cukup), maka hakikatnya dia sudah pun menzalimi diri dan orang-orang yang sewajarnya menerima santunannya. Dan jika kerana dia menunaikan zakat sehingga mereka dizalimi, maka apakah statusnya? Bukankah orang yang zalim itu berdosa?

Di dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Wahai hamba-hamba-Ku! Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan, dan Aku jadikan ia haram di kalangan kamu, jangan kamu zalim menzalimi. (riwayat Muslim)

Oleh itu, janganlah melakukan sesuatu yang menjadikan diri terjatuh ke dalam kezaliman kerana ia tidak berbaloi untuk ditanggung di akhirat. Apakah wajar dan tidak zalim namanya, kerana zakat yang dikeluarkan itu adalah untuk orang lain, sehingga orang yang tidak ada kaitan darah dengannya mendapat makanan yang cukup, walhal anak dan isteri malah ibu bapanya sendiri yang kelaparan. Bukankah itu namanya satu kezaliman? Utusan/Bicara_Agama/20140613

Tags: zakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments