mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tegakkan kebenaran

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-‘Asr: 3)


Sayyid Qutub berkata: “Ayat di atas dengan jelas menentukan jalan yang betul, iaitu seluruh manusia berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman, melakukan amalan yang soleh dan saling berpesan supaya menjunjung agama yang benar dan bersikap sabar. Inilah satu-satunya jalan dan tiada jalan lain, iaitu jalan beriman dan beramal soleh dan menegakkan masyarakat Islam yang bersatu padu menjaga agama yang benar dengan berbekalkan sifat sabar."

Antara dhawabit yang perlu wujud dalam ilmu perlaksanaan pencegahan jenayah syariah ialah:

Ketegasan dalam menegakkan kebenaran

Ini amat penting kerana tanpa ketegasan sudah pasti kebenaran tidak tertegak. Seperkara yang lebih penting sikap pemerintah hendaklah memberi kerjasama yang baik. Ini kerana, pemerintahan yang memelihara kitab Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW, sekali gus melaksanakan semua batasan yang telah digariskan di dalamnya serta beriltizam dengan hukum-hukumnya. Mereka mengimarahkan masjid-masjid bersama rakyat jelata. Bahkan pintu rumah sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran rakyatnya dan memuliakan mereka sebagai tetamu.

Mereka menghormati para ulama dan memuliakan ahli ilmu. Dengan berlapang dada, mereka bersedia mendengar nasihat dan tunjuk ajar, bahkan sedia menerima kritikan dan teguran. Pemerintahan pada masa itu merupakan pemimpin gerakan kebangkitan untuk mempertahankan kesucian dan kehormatan Islam. Prinsip jihad disematkan dalam setiap rakyatnya kerana mereka disirami dengan pesanan agung daripada Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a: “Tidak akan menimpa sesuatu kaum yang meninggalkan jihad kecuali Allah akan mengenakan azab secara menyeluruh." (riwayat al-Tabrani dalam al-Ausath no. 3839)

Hasilnya Islam diperhebatkan di seluruh pelosok dunia bagi memberi “erti hidup" kepada seluruh manusia tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

Sabar ketika melaksanakan tugas

Sudah pasti dalam melaksanakan nahi mungkar terlalu banyak cabaran yang terpaksa dihadapi, sehinggakan nyawa menjadi taruhannya. Justeru, kesabaran ulul azmi perlu dipupuk dengan mengingati kelebihan tuhan. Benarlah firman Allah SWT: Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah. (al-Nahl: 127)

Sayyid Qutub berkata: “Kemudian al-Quran menyampaikan pesanan kepada Rasulullah SAW dan pesanan ini juga merupakan pesanan bagi setiap pendakwah selepas beliau, iaitu janganlah beliau berdukacita apabila melihat orang ramai tidak mahu menerima hidayah, kerana yang menjadi tugasnya hanya menunaikan kewajipannya sedangkan persoalan hidayah dan kesesatan itu adalah di tangan Allah mengikut peraturan-Nya yang telah ditetapkan pada fitrah manusia, pada kesediaan-kesediaan dan bakat-bakat kebolehannya, pada arah-arah tujuannya dan perjuangannya menuju hidayah atau menuju kesesatan.

“Begitu juga, beliau jangan merasa bosan menghadapi tipu daya mereka kerana tugas beliau hanya berdakwah keran-Nya dan Allah akan memeliharanya daripada segala tipu daya dan tindakan jahat, Allah tidak akan membiarkan beliau menjadi mangsa kepada tipu daya para penentangnya, sedangkan beliau berdakwah dengan ikhlas dan tidak mengingini sesuatu faedah untuk kepentingan dirinya di sebalik dakwah itu.

“Beliau mungkin ditimpa penindasan yang menyakitinya untuk menguji kesabarannya dan mungkin lambat menerima kemenangan atau pertolongan Allah untuk menduga keyakinan dan kepercayaannya kepada Allah tetapi akibatnya tetap terjamin dan diketahui umum. DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan/Bicara_Agama/20140613

Tags: kebenaran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments