mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hudud dalam sejarah Nusantara

SAYA tertarik untuk menjawab dan menyanggah tulisan Dr. Faisal Tehrani yang dikeluarkan dalam kolum Malaysiakini yang bertajuk "Hudud Marhaen". Dalam tulisannya itu, beliau seolah-olah mendakwa bahawa pengamalan hukuman hudud dalam alam Melayu telah gagal sepenuhnya kerana mengamalkan polisi "hudud marhaen".

Kata-kata beliau bahawa "Dalam tradisi Melayu Sunni, kaum bangsawan itu 'tidak pandai berbuat salah'" ternyata semberono dan akan saya jawab dalam tulisan ini, Insya-Allah.

Sebagai umat Islam, kita mesti yakin bahawa undang-undang Allah adalah undang-undang terbaik. Dalam melaksanakan undang-undang ini, sebagai manusia yang banyak kelemahan, kerajaan-kerajaan Islam yang lampau dan masa kini pasti tidak akan terkecuali dari memiliki kelemahan-kelemahan.

Oleh itu, pelaksanaan hudud yang "sempurna", yang bebas dari kelemahan seratus peratus sememangnya sukar dilaksanakan. Dengan mengecualikan zaman Rasulullah SAW, Khulafa Ar-Rasyidin dan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh, selain mereka, pemimpin dalam kerajaan Islam lain tidak terlepas dari memiliki kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam. Namun, usaha mereka untuk melaksanakannya harus dipuji.



Sebahagian orang ramai melafazkan ikrar setia dengan pelaksanaan hudud selepas mendengar program Ceramah Umum Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di perkarangan Stadium Muhamad V, Kota Bharu, Kelantan, pada 1 Mei lalu. - Gambar hiasan

Saya yakin ramai dalam kalangan pemimpin terdahulu yang berusaha untuk menuju ke arah pelaksanaan hudud yang "sempurna' walaupun mereka pada hakikatnya gagal mencapai piawaian zaman Rasulullah dan Khulafa' Ar-Rasyidin.

Saya mengambil contoh dari sejarah kerajaan Islam Moghul di India. Jika dibandingkan zaman pemerintahan Akbar Khan yang mengabaikan pelaksanaan hukum Islam dan zaman pemerintahan cicitnya iaitu Aurangzeb, yang didakwa oleh sebahagian sejarawan India sebagai "ekstremis", ternyata zaman pemerintahan Aurangzeb lebih baik. Akidah umat Islam di zaman Aurangzeb terpelihara dengan baik dan penyebaran agama Islam berlaku dengan pesat. Tidak seperti di zaman Aurangzeb, telah muncul di zaman Akbar Khan golongan "Din Ilahi" dari kalangan rakyat terutamanya yang berasal beragama Islam. Lebih malang lagi, beliau didakwa menyokong fahaman ini yang jelas keluar dari Islam.

Tidak syak lagi, kemunculan golongan ini kerana keengganan Akbar Khan untuk melaksanakan undang-undang Islam serta memandang sinis terhadapnya. Malah beliau juga tidak terkecuali melakukan kezaliman seperti menghukum ulama yang memfatwakan kesesatan beliau. Walau apa pun kritikan sejarawan terhadap dasar pemerintahan Aurangzeb, beliau telah memerintah kerajaan Moghul dengan jayanya di samping membuktikan jasa-jasanya kepada Islam terutama dalam pengukuhan akidah rakyat, penyebaran Islam dan pembukuan "Fatawa Hindiyyah".

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam beberapa kejadian, ada kerajaan Islam yang melakukan kezaliman dalam melaksanakan undang-undang hudud, antaranya akibat dari ketidakadilan dalam proses perbicaraan dan pengadilan. Namun yang patut disalahkan ialah pemimpin tersebut, bukan undang-undang hudud. Perlu kita ketahui bahawa keadilan itu wajib disertai dalam melaksanakan hudud. Tanpa keadilan sesuatu hukuman hudud itu bukanlah hudud yang sebenar.

Selain itu, jika kita mengkaji sejarah Islam yang panjang tentang kerajaan-kerajaan Islam yang melaksanakan undang-undang Islam ini, kita akan mendapati bahawa lebih banyak yang membawa keadilan dan kejayaan berbanding dengan kezaliman dan kegagalan. Kita lihat sahaja pada sejarah kerajaan Islam Uthmaniyyah. Adakah mereka mengamalkan hudud yang sempurna sebagaimana Rasulullah SAW?

Mereka juga tidak terlepas dari kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam. Namun ketika umat Yahudi dihalau dan diseksa dengan kejam di Andalusia melalui "Dekri Alhambra" pada 1492 oleh kerajaan Kristian Sepanyol pimpinan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand, mereka memilih Istanbul sebagai tempat perlindungan dan tempat mendapatkan keadilan yang mana pada ketika itu berada di bawah pimpinan Sultan Beyazid II dari Uthmaniyyah.

Persoalannya di sini, adakah pemimpin-pemimpin dunia yang mana pada hari ini melaksanakan undang-undang warisan penjajah, telah melaksanakannya dengan sempurna? Masih terdapat banyak kelemahan dan kezaliman yang berlaku dalam negara-negara Islam walaupun mereka tidak mengamalkan undang-undang Islam. Lihat sahaja kekejaman yang dilakukan oleh Basyar Al-Assad sedangkan dia tidak mengamalkan undang-undang Islam.

Prinsip kekebalan raja-raja ini telah pun diamalkan oleh kerajaan-kerajaan monarki di Eropah seperti England, Perancis, Denmark dan sebagainya walaupun mereka tidak mengamalkan hudud.

Malah kerajaan Brunei yang sebelum ini mengamalkan undang-undang peninggalan British juga mengamalkan sistem kekebalan pada institusi Sultan. Tidak dinafikan bahawa kewujudan sistem kekebalan pada pemerintah ini bercanggah dengan Sunnah Rasulullah SAW. Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita mendakwa bahawa pelaksanaan hudud dalam sistem sebegitu akan membawa kegagalan seratus peratus.

Persoalannya mengapa ketidaksempurnaan pada pelaksanaan undang-undang warisan penjajah ini tidak dikritik sehebat ketidaksempurnaan dalam melaksanakan undang-undang Islam?

Hudud di Melaka

Jika kita merujuk kepada sumber Sulalatus Salatin semata-mata, undang-undang Islam mula diterapkan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ketika zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.

Sebelum itu, undang-undang di Melaka berteraskan adat dan agama Hindu yang kuat mengamalkan sistem kasta. Namun, pengamalan Undang-undang Islam termasuk hudud sebenarnya banyak mengubah landskap pentadbiran dan politik di Melaka. Tidak lama selepas Sultan Muzaffar Syah menerapkan undang-undang Islam, Melaka mencapai kegemilangannya terutama di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah.

Jika merujuk lagi sumber Sulalatus Salatin, ketika hudud dilaksanakan di Melaka, rakyat Melaka rata-ratanya orang kaya. Ini sebagaimana yang dicatatkan "Maka Hang Nadim pun pergilah naik kapal Hang Isap; kerana orang Melaka pada masa itu, rata-rata berkapal segala yang bermodal". Kemakmuran dan kekayaan yang melanda kerajaan Melaka ialah kerana kepesatan aktiviti perdagangan di bumi Melaka.

Apabila undang-undang Islam diamalkan, pelabuhan Melaka menjadi pelabuhan yang paling aman di Nusantara sehingga menyebabkan para pedagang asing suka singgah berdagang di sini. Barangkali, inilah keberkatan yang diperolehi oleh rakyat jelata di Melaka hasil dari pengamalan undang-undang Islam.

Para kerabat sultan juga tidak kebal sepenuhnya sebagaimana zaman sebelum undang-undang Islam dilaksanakan. Ini dapat dibuktikan dalam peristiwa pembunuhan Tun Besar oleh Raja Muhammad. Akibat membunuh Tun Besar, Raja Muhammad yang merupakan pewaris takhta kerajaan Melayu Melaka telah dilucutkan takhtanya dan beliau dibuang negeri ke Pahang.

Maka itu, Sultan Alauddin Riayat Syah mewarisi takhta kesultanan Melaka walaupun beliau bukanlah putera sulong. Walaupun hukuman ini tidak setimpal, tetapi sekurang-kurangnya ia mengubah landskap politik di Melaka yang mana sebelum ini kerabat diraja bebas dari hukuman.

Selain itu, di Melaka, sultan-sultan amat menghormati golongan ulama. Sekali pun sultan yang berperibadi negatif seperti Sultan Mahmud Syah, yang amat jelik kisah kemungkarannya untuk diceritakan di sini. Namun sikap beliau yang menghormati para ulama wajar dijadikan contoh.

Siapa yang tahu, barangkali inilah keberkatan dalam melaksanakan undang-undang Islam di Melaka. Sulalatus Salatin menceritakan bahawa beliau sanggup berjalan kaki ke rumah Maulana Yusuf, seorang ulama dan bekas kadi di Melaka semata-mata mahu belajar agama.

Sedangkan pemimpin yang diceritakan bersikap negatif seperti Sultan Mahmud Syah adalah sosok yang menghormati ulama, apatah lagi sultan yang soleh seperti Sultan Ala'uddin Riayat Syah, Sultan Iskandar Muda, Pati Unus dan ramai lagi, sudah pasti mereka lebih memuliakan ulama.

Sultan Iskandar Muda

Di Nusantara, bukan sahaja Melaka yang mengamalkan undang-undang hudud, malah kerajaan-kerajaan Islam lain turut mengamalkan undang-undang hudud seperti Aceh, Buton, Demak, Banten, Cirebon dan banyak lagi. Dalam sejarah Islam di Nusantara, kerajaan Islam di Aceh merupakan kerajaan yang paling agung yang pernah didirikan di rantau ini. Malah sejarah-sejarah tentang kerajaan Aceh lebih konsisten berbanding dengan sejarah Melaka.

Dengan sebab itu, jika kesimpulan yang dilakukan semata-mata merujuk kepada Sulalatus Salatin, ia masih boleh dipersoalkan. Malah catatan-catatan China tentang Melaka seperti Ming Shi dan Ming Shi Lu ternyata banyak berbeza dengan Sulalatus Salatin. Ini jelas sebagaimana yang dicatatkan oleh Liang Liji dalam bukunya yang bertajuk "Hubungan Empayar Melaka - Dinasti Ming Abad ke 15".

Seperti di Melaka, pemerintah dan rakyat Aceh ialah penganut mazhab akidah Ahli Sunnah Wal Jamah dan mazhab Syafie dalam fiqh. Rupa paras, budaya malah bahasa tidak banyak berbeza dengan orang Melaka. Selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, Aceh mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam dan pusat perdagangan di Nusantara.

Malah Aceh adalah ancaman utama bagi Portugis di wilayah ini sehinggakan Aceh berani melancarkan jihad menyerang Potugis di Melaka. Jika kita mengkaji sejarah Aceh, zaman kegemilangan Aceh tercipta di bawah pemerintahan seorang sultan yang soleh iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636). Aceh pada masa itu mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk teknologi. Malah kerajaan Islam Uthmaniyah turut "berkongsi" teknologinya dengan kerajaan Aceh.

Sultan Iskandar Muda melaksanakan hukuman hudud dalam pemerintahannya. Prof Hamka di dalam bukunya bertajuk "Sejarah Umat Islam" turut menukilkan bahawa hukuman bagi kesalahan jenayah di Aceh berdasarkan hukum syarak. Hukuman hudud dilaksanakan oleh beliau termasuk ke atas anak kandungnya sendiri.

Di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda, kerabat diraja dan sultan sendiri tidak dikecualikan dengan hukuman. Walaupun tidak dinafikan, masih terdapat kelemahan dalam melaksanakan undang-undang Islam, tetapi kesungguhan Sultan Iskandar Muda harus dipuji. Sultan Iskandar Muda sendiri telah menjatuhkan hukuman rejam ke atas putera tunggalnya iaitu Meurah Pupok kerana didapati berzina. Akibat dari itu, Aceh kehilangan pewaris takhta kesultanan.

Oleh itu, Sultan Iskandar Muda melantik anak angkatnya yang kemudian menjadi menantunya untuk mewarisi kerajaan Aceh. Sedangkan menantunya itu, iaitu Iskandar Thani adalah orang Pahang, bukan orang Aceh. Kisah pelaksanaan hukum hudud ke atas putera Sultan Iskandar Muda ini dicatatkan oleh ramai sejarawan Aceh termasuk Ketua Majlis Ulama Aceh, Prof. Ali Hasyimi dalam bukunya "Iskandar Muda Meukuta Alam". Malah kisah ini turut tercatat di atas papan tanda di sisi makam Sultan Iskandar Muda.

Hudud Marhaen: Tidak patut "diborong semua"

Kisah tentang Sultan Iskandar Muda ini menjadi contoh bahawa bukan semua Melayu (bangsa Nusantara) Sunni itu mengamalkan polisi 'hudud marhaen" dalam melaksanakan hukuman hudud.

Oleh itu, anggapan Faisal Tehrani seolah-oleh seluruh kerajaan Islam di Nusantara melaksanakan "hudud marhaen" dengan merujuk hanya sejarah Melaka amat meleset sekali. Beliau seharusnya lebih jujur dalam penulisan dengan turut membawa contoh Sultan Iskandar Muda. Selain itu, corak kepimpinan di Melaka semata-mata tidak wajar dijadikan hujah tentang kegagalan perlaksanaan undang-undang hudud.

Adalah lebih baik kita meneladani contoh yang lebih tepat iaitu Rasulullah SAW, Khulafa' Ar-Rasyidin dan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al Ayyubi dan Muhammad Al Fateh.

Mohd. Hasanuddin Mohd. Yusof   ialah Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam Undang-undang Jenayah Islam di UKM. Utusan/Rencana/20140616

Tags: hudud
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments