mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Isu makanan syubhah dan haram: Antara fakta, tohmah dan penyelesaian

Isu Integriti Badan Pemantau

Mengambil contoh isu DNA babi dalam coklat Cadbury baru-baru ini, isu kebocoran maklumat di peringkat pengurusan perlu diberi perhatian yang lebih serius kerana ia boleh mempengaruhi kredibiliti/ integriti pengendali analisis di makmal.

Kerahsiaan sesuatu analisis adalah penting bagi mendapatkan pengesahan tepat dan keputusan mengenainya perlu keluar dari sumber rasmi kerajaan dan bukannya dari portal laman sosial atau penyebaran melalui media elektronik individu tertentu.

Perkara ini adalah wajar untuk mengelakkan timbul isu-isu lain kerana ia melibatkan pihak-pihak berkepentingan sama ada pengguna, industri dan kerajaan. Sebagai contoh, sekiranya maklumat yang disebarkan tidak tepat, pihak industri dan konsumer mungkin boleh menyaman sesama sendiri kerana tiada pihak yang memikul tanggungjawab isu yang dibangkitkan.

Isu Kesepakatan dalam Menangani Permasalahan Halal

Perlu ada gerak kerja yang teratur dan koordinasi antara agensi-agensi terlibat dalam menangani permasalahan halal dengan cepat. Sebagai contoh, analisis penentuan halal mungkin dijalankan lebih daripada sebuah makmal berakreditasi, maka perlu ada satu pelan tindakan khusus sekiranya ada di antara makmal berkenaan menemukan keputusan positif pada sesuatu sampel yang diuji. Pihak terlibat perlu memikirkan apakah tindakan selanjutnya yang perlu dijalankan? Perlukah pengesahan dijalankan sekali lagi oleh makmal lain? Kepada siapa perkara ini perlu dibawa?

Bidang kuasa dan sistem sedia ada belum menjamin kecekapan sepenuhnya. Proses pemantauan, penguatkuasaan boleh diperkemas. Amalan semasa ialah urusan ini ditangani oleh banyak agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia dan Jabatan Agama Negeri.

Kewajaran kerajaan memikirkan perlunya memberikan kuasa mutlak Akta KPDNKK 2011 kepada Jakim agar mempunyai bidang kuasa melaksanakan urusan proses penguatkuasaan audit dan pemantauan yang sepenuhnya.

Meneliti laman sosial di Internet, kita lihat masyarakat menuding jari kepada Jakim dari segi kredibiliti logo Halal sekiranya sesuatu isu itu berbangkit. Kita perlu memikirkan adakah Jakim diberi mandat dan sokongan kerajaan sepenuhnya dari segi jumlah bilangan staf terlatih atau penguat kuasa serta adakah sesuatu akta yang memberi mandat penuh untuk mereka ambil tindakan mahkamah kepada pesalah?

Satu contoh yang wajar difikirkan ialah untuk jaminan pengurusan kualiti, kita mengguna pakai MS 9001:2008, untuk analisis sampel di makmal kita menguna pakai ISO 17025. Ini piawaian khusus untuk memenuhi tuntutan kualiti pengurusan secara konvensional. Ada juga piawaian patuh syariah MS 1500:2009, tetapi untuk analisis di makmal (ISO 17025) yang patuhi keperluan syariah, tiada klausa untuk syubhah, yang sedia ada hanyalah klausa sampel yang ada (positif) DNA babi, iaitu haram, atau tiada (negatif) DNA babi, iaitu halal. Untuk industri halal, sepatutnya wujud sistem piawaian yang patuhi tuntutan syariah dalam menangani isu kontaminasi atau pencemaran secara tidak sengaja, serta kaedah menangani sampel haram dan syubhah.

Isu Pemantauan Berterusan oleh Pihak Berwajib (Pengimportan barang makanan dari luar)

Untuk memastikan sesuatu produk itu halal, pengeluar makanan Malaysia akan memastikan keseluruhan ramuannya halal dan seterusnya akan diaudit dan diberikan logo Halal Malaysia oleh Jakim. Namun begitu, masalah timbul sekiranya produk dari jenama sama diimport dari luar negara yang tiada sijil halal Malaysia dengan anggapan ia juga adalah halal. Perkara seperti ini boleh mengelirukan pengguna. Disarankan supaya pemantauan juga dijalankan ke atas pengimport makanan luar walaupun makanan yang dihasilkan oleh pengimport berkenaan di Malaysia berstatus halal.

Sewajarnya ada pelan tindakan krisis dalam penarikan produk "product recall", dan prosedur 'Standard Operational Procedures', untuk kenal pasti, isu kontaminasi secara tidak sengaja, kontaminasi akibat lalai, cuai, pengotor atau cemaran dengan niat sengaja mengaut keuntungan, atau menipu dan yang paling malang adalah unsur sabotaj untuk menjatuhkan sesuatu industri akibat saingan perniagaan.

Di dalam pengkelasan aditif makanan, aditif secara sengaja ialah aditif yang dibenarkan kerajaan untuk digunakan kerana manfaatnya. Aditif secara tidak langsung seperti kontaminasi adalah bahan tidak diingini yang secara tidak sengaja masuk dalam makanan, manakala 'adulterant' ialah perbuatan sengaja mencampurkan bahan yang murah, beracun, tidak bermanfaat, najis, haram dengan niat mengaut keuntungan.

Maklumat tepat perlulah disampaikan kepada masyarakat

Difahami secara umumnya, isu halal adalah sesuatu yang sensitif kepada masyarakat Islam. Oleh itu maklumat yang disalurkan perlulah tepat dan disahkan sumbernya. Pendidikan kepenggunaan amat penting untuk mendidik pengguna supaya prihatin dengan isu-isu halal sebagai contoh penggunaan bahan aditif makanan yang halal selaku alternatif aditif syubhah atau haram (seperti alkohol, gelatin, enzim haiwan tidak disembelih, kolagen babi dan sebagainya), pengawet dan lain-lain dalam produk makanan.

Pendekatan secara bersistematik dan komunikasi telus

Adakah Jakim dan Jabatan Agama Negeri telah melaksanakan sistem komunikasi secara telus untuk masyarakat yang terdiri dari pengguna, pengeluar industri makanan serta badan bukan kerajaan? Adakah sistem komunikasi atas talian, mesyuarat berkala di antara agensi kerajaan melalui jabatan pemantau, penguat kuasa, audit dan jawatankuasa panel Halal syarikat dilaksanakan menepati masa dan piagam pelanggan? Persatuan pengguna menuntut maklumat dan penjelasan yang telus agar kepercayaan masyarakat tidak goyang.

Jangan terjerat dengan spekulasi dan percaya tanpa asas kukuh, maklumat dari Internet yang tidak dikeluarkan organisasi kerajaan bertanggungjawab secara rasmi. Masyarakat bukan Islam sedang memerhatikan sentimen umat Islam Malaysia kini. Apakah reaksi melenting, menuduh dan emosional melampau, tanpa fakta kukuh, budaya amalan harian umat Islam Malaysia? Reaksi tangani isu halal, seandainya tidak dikemudikan dengan betul, Malaysia akan hilang kredibiliti dan gahnya selaku juara halal dunia.   Prof. Madya Dr. Alina Abdul Rahim ialah Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal, (IHRAM) Universiti Sains Islam Malaysia.   Utusan/Rencana/20140617

Tags: integriti, makanan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments