mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Antara cita-cita dengan makna kehidupan

Banyak orang bertanya, mengapa banyak orang negatif di sekeliling kita? Sebab itu, bagi orang yang mengamalkan konsep pemikiran 'reset minda,' dia mengamalkan konsep 'hidup dari dalam ke luar' (kekuatan hati dan keimanan yang ada dalam diri kita akan dibawa ke luar, di mana-mana pun kita berada dan dengan siapa pun kita berhadapan).

Maksudnya, kita yang mempengaruhi suasana, bukan membiarkan suasana mempengaruhi kita. Biarpun kita di kelilingi oleh orang dan suasana yang negatif, sikap kita tidak berubah (kita tetap menjadi diri kita). Iaitu setiap kali dunia berpusing, kita juga akan berubah kedudukan kita. Biarkan dunia berpusing mengubah kedudukan kita, tetapi sikap yakni dunia dalaman kita tidak akan berubah. Kita akan terus bersikap positif, biarpun di sekeliling kita adalah orang yang negatif.

Tanyalah diri kita sendiri, adakah kita berfikir dan membuat sesuatu perkara itu, dengan niat untuk Allah lihat atau untuk manusia lihat? Sebab itu kalau kita katakan, saya hendak anak saya mendapat 8A. Namun begitu seandainya 8A yang anak kita peroleh dalam peperiksaannya itu nanti untuk tujuan kebanggaan kita, kita akan 'penat,' kerana mengejar matlamat duniawi.

Sebaliknya kalau kita bermatlamat anak kita mendapat 8A, supaya anak kita mendapat bidang yang baik dalam pengajiannya, dan seterusnya nanti memperoleh pekerjaan yang baik, dan akhirnya nanti anak kita dapat menolong orang, maka matlamat yang dikejarnya bermakna. Semuanya bergantung kepada niat. Jika niat kita bukan untuk berbangga-bangga sesama manusia tetapi untuk membantu sesama manusia dan mendapat keredaan Allah dengan hanya bergantung harap sepenuhnya kepada Allah, segala yang kita cita-citakan itu akan menjadi sangat bermakna dalam hidup kita.

Sebab itu, kalau dalam hidup kita ini, kita sibuk fokus mengejar 'cita-cita,' kita akan penat. Tetapi, kalau kita mengejar 'makna kehidupan' daripada 'cita-cita' yang terhasil itu nanti, hidup kita akan terinspirasi. Sebab 'makna kehidupan' ini, kita dapat capai pada setiap saat, apabila kita dapat merasakan 'makna kehidupan' dalam setiap aktiviti. Tetapi, 'cita-cita' tanpa 'makna kehidupan', menjadikan hidup kita kosong, kerana 'cita-cita' tidak pernah bernoktah. Kita tidak pernah puas dengan 'cita-cita' kita, lepas tercapai satu, kita mahukan satu lagi, 'cita-cita' yang lebih tinggi yang belum kita gapai.

Oleh sebab itu, kita ubah daripada sikap mencapai 'cita-cita' kepada mencari 'makna.' Satu lagi tip untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan hidup ialah, 'Be a good giver, not a good getter' atau 'sentiasa menjadi pemberi, bukan sentiasa menjadi penerima.' Cuba tengok orang yang good getter yakni 'asyik menerima' hidupnya tertekan, kerana semua yang dilakukan atas dasar hendak mengejar matlamat duniawi.

Mengejar 'matlamat' itu penat, kerana 'matlamat' dalam kehidupan selalunya tidak pernah mencapai tahap kepuasan. Tetapi, kalau kita mengejar 'makna kehidupan,' kita mengejar sesuatu yang di dalam, yakni yang melibatkan hati, perasaan dan emosi, kita akan merasai kepuasannya. Iaitu kepuasan apabila kita sentiasa mengucapkan rasa kesyukuran. Walaupun kita tidak dapat apa-apa yang kita sasarkan, kita berusaha tanpa berputus asa. Allah melihat usaha kita, bukan melihat hasil daripada usaha kita.

Cuba kita lihat orang yang stres atau tertekan? Sebenarnya orang yang ego sahaja yang akan stres. Orang yang berminda kecil; masalah yang kecil menjadi besar baginya. Orang yang bersikap begini ialah orang yang dalam kelompok 'orang sebelah kiri.' 'Orang sebelah kanan' ialah orang yang berminda besar, fikirannya tidak sempit, masalah tidak dilihat sebagai masalah, sebesar mana pun masalah dihadapinya dengan tenang.

Adakah orang yang suka memberi akan stres? Orang yang bermurah hati, adakah dia stres? Orang yang lemah lembut sikapnya, stres atau tidak? Orang yang penyayang adakah stres? Orang yang sentiasa menerima manusia seadanya, stres atau tidak? Orang yang suka bekerjasama adakah dia stres? Orang yang tidak pernah marah, stres atau tidak? Apabila kita stres, audit diri kita. Adakah kita sedang menjalani kehidupan dalam 'kesedaran keegoan' yang tinggi?

Jika benar kita memiliki sikap 'kesedaran keegoan' yang tinggi, ubah sikap kita; pindah kepada sikap 'kesedaran ketuhanan' yang tinggi, iaitu bersikap lemah-lembut, suka memberi, bermurah hati dan penyayang. Lihat hikmah di sebalik semua yang berlaku di sekeliling kita, dan lihat kebaikan orang. Sebenarnya jika kita mengubah dunia dalaman kita, fikiran dan emosi dunia luaran kita; iaitu kesihatan, kesenangan, dan kewangan kita semuanya berubah. Itulah tip atau formulanya, ubah dunia dalaman diri isteri saudara dahulu, daripada bersikap negatif kepada sikap positif.

Tiga perkara yang kita mesti lakukan. Pertama, apa yang kita cakap kepada diri sendiri. Kedua, jaga pemakanan kita. Tenaga kita bergantung kepada makanan dan minuman kita selain faktor lain di sekeliling kita, seperti pergaulan, radio, surat khabar, bahan bacaan yang mempengaruhi hidup kita. Ketiga, tanya apakah manfaat yang saya boleh berikan kepada orang di sekeliling kita?

Sesiapa yang buat tiga perkara ini secara konsisten atau istiqamah, akan sentiasa berkeyakinan diri kerana ke mana-mana pun kita pergi, akan disenangi dan disayangi orang dan mendapat reda Allah. Kalau kita dekat dengan Allah, Allah dekat dengan kita, dan inilah sebenarnya rahsia untuk hidup berjaya dan terhindar daripada perasaan kecewa serta berputus asa biarpun kita ditakdirkan tidak berjaya.

Sifat yang paling Allah tidak suka ialah orang yang berputus asa dengan Allah. Siapa yang tidak kenal Allah akan cepat berputus asa. Jangan sekali-kali kita berputus asa, selagi nyawa tidak sampai ke kerongkong, masih boleh bertaubat dan memperbaiki diri.

Apa-apa yang berlaku di luar hidup kita, tidak sedikit pun akan menjejaskan hidup kita. Jadilah diri sendiri dan bina keyakinan diri dengan mendekatkan diri kepada Allah, dan percaya kepada qadak dan qadar Allah. Percaya bahawa tiga perkara yang tidak boleh diubah takdir ketentuan Allah ialah kelahiran, jodoh pertemuan dan kematian kita.

"Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak."   Dr. Muhaya Mohamad Utusan/Rencana/20140622

Tags: kehidupan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments