mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rawatan pergigian semasa Ramadan

UMAT Islam mana yang tidak gembira menyambut Ramadan. Tidak lama lagi, Ramadan muncul lagi, bulan yang menjanjikan pahala yang berlipat-ganda bagi kebaikan yang dilakukan.


Seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim; "Semua amal (soleh yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan pahalanya, satu kebaikan diberi ganjaran 10 sampai 700 kali lipat. Allah SWT berfirman: "Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas) kerana sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya."

Namun, dalam keghairahan ini, kita juga dibelenggu persoalan-persoalan berkaitan kesihatan terutamanya berkaitan pergigian. Bolehkah kita membuat rawatan gigi ketika berpuasa? Batalkah puasa jika kita melakukan rawatan pergigian? Rawatan pergigian apakah yang dibolehkan semasa berpuasa? Apakah hukumnya bersugi semasa berpuasa?

Hal ini sebenarnya telah dijelaskan dalam Islam. Namun, kekeliruan ini acap kali muncul setiap kali Ramadan, mungkin kerana kedudukan bulan yang istimewa di hati umat Islam dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik sepanjang bulan itu, serta praktis berpuasa selama sebulan yang hanya berlaku dalam bulan yang mulia ini.

Tambahan pula, ada perkara yang para ulama berselisih pendapat sama ada ia membatalkan puasa atau sebaliknya.

Dalam rawatan pergigian, umumnya bentuk-bentuk rawatan yang dinyatakan di sini tidak membatalkan puasa:

1. Membuat rawatan pergigian (dental check-up)

2. Membuat rawatan gigi (tampal, cuci, cabut, rawatan akar, membuat gigi palsu)

3. Suntikan ubat kebas dalam mulut untuk cabut gigi

4. Dengan tidak sengaja menelan air liur semasa membuat rawatan gigi

5. Memberus gigi

6. Menggunakan flos untuk membersihkan gigi

7. Berkumuh dengan ubat kumuh selagi tidak ditelan.

Dalam buku Kaedah Perawatan Moden Berhubung Perkara yang Membatalkan Puasa tulisan Dr. Harmy Mohd. Yusoff, Ustaz Syamsul Kamal Abdullah, Dr. Rosediani Muhammad dan Wan Nor Ainon Wan Abdullah turut menjelaskan rawatan perubatan moden lain dan hukum berpuasa.

Fikah perubatan khususnya ketika berpuasa dibincangkan dalam Bab 28 buku ini.

Penerbitan buku ilmiah yang membincangkan soal ini menggambarkan betapa masyarakat kita amat berhati-hati dengan tindakan yang dilakukan ketika Ramadan, yang jelasnya tidak mahu sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mendapat pahala berpuasa.

Ramai yang faham apa yang boleh dan apa yang tidak dalam mengharungi bulan mulia ini, namun, tidak kira di mana jua, masyarakat Islam sangat berhati-hati. Dalam hal ini, ramai juga yang mengambil keputusan untuk mendapat rawatan gigi sebelum atau selepas Ramadan.

Benar itu satu pilihan. Namun kekangannya ialah waktu operasi klinik gigi yang kadangkala tidak mesra pelanggan. Hal ini amat ketara bagi negara-negara yang komuniti Muslim hanyalah golongan minoriti.

Namun, buat pertama kalinya pada 2011 dilaporkan oleh sebuah akhbar Belanda bagaimana seorang doktor pergigian di Hague, membuka kliniknya pada waktu malam bagi memudahkan pesakit Muslim mendapat rawatan gigi.

Dr. Peter Thiel memahami kegusaran tentang rawatan gigi di bulan puasa dan memandangkan Hague dihuni ramai penganut Islam, dia membuka lebih ruang kepada pesakitnya dengan membuka klinik selepas waktu berbuka.

Hague adalah salah satu daripada empat bandar utama di Belanda yang mempunyai penduduk Islam teramai selepas Amsterdam, Rotterdam dan Utrecht. Keseluruhannya, seramai 825,000 umat Islam bertebaran di bumi Belanda itu, menjadikan hampir enam peratus populasi penduduk.

Usaha doktor gigi ini menyentuh hati, malah memanggil kami untuk mengenali beliau lebih rapat dengan membaca lanjut tentang beliau melalui internet.

Namun, laporan akhbar The Hague Online pada 2013 menyatakan Dr. Thiel sedang sakit dan dirawat di luar negara. Dia juga tidak mampu lagi menerajui klinik itu. Sehingga kini, tiada maklumat lanjut mengenai kesihatan beliau.

Apa-apa sekalipun, usaha beliau boleh dilihat sebagai seorang yang mempunyai kesedaran budaya yang tinggi, menghormati budaya masyarakat lain yang unik berbanding dirinya, serta meraikan toleransi pelbagai kaum yang boleh dicontohi masyarakat dunia.

DR. SITI SURIANI OTHMAN dan DR. ASPALILAH ALIAS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dan Pensyarah Pergigian, Fakulti Pergigian USIM. Utusan/Rencana/20140623

Tags: gigi, ramadhan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments