mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Indeks Keislaman: Realiti atau provokatif?

KAJIAN mengenai Indeks Keislaman yang dilakukan oleh Profesor Hossein Askari dan Dr. Scheherazde S Rehman dari George Washington University baru-baru ini, mengejutkan ramai pihak khususnya negara-negara Islam. Berdasarkan kajian itu, pengkaji telah meletakkan Ireland di tangga teratas Indeks Keislaman diikuti Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New Zealand, Singapura, Finland, Norway dan Belgium. Sekilas pandang, ia menunjukkan bahawa negara sekular Eropah yang tidak begitu mempedulikan perkembangan dan kemajuan Islam, layak berada di tangga teratas Indeks Keislaman tersebut.



Apakah agenda besar tersembunyi di sebalik kajian ini? Penulis ingin mengupas aspek ketidakrasionalan Indeks Keislaman ini kerana dapatan kajiannya seolah-olah menghina negara yang majoriti penduduknya Islam termasuk Malaysia.

Beberapa persoalan besar timbul iaitu adakah Islam mendapat tempat lebih baik di negara Eropah berbanding di negara Islam sendiri? Adakah negara Eropah menjadikan Islam sebagai paksi pembangunan dan cara hidup mereka? Persoalan terbesar adakah negara Eropah mempunyai standard keislaman yang lebih baik daripada Arab Saudi yang menempatkan Kota Suci Mekah dan Madinah?

Saya berpandangan terdapat kesilapan yang dilakukan oleh penyelidik sehingga mengakibatkan keputusan Indeks Keislaman itu cenderung memihak kepada negara Barat, sekali gus mengaibkan negara Islam sedunia khususnya yang begitu komited dalam membangunkan Islam selama ini.

Justeru, penulis akan membicarakan mengenai kekhilafan oleh penyelidik Amerika Syarikat (AS) itu agar hakikat sebenar Indeks Keislaman dapat dirungkai dalam perspektif dan falsafah penyelidikan berkaitan Indeks Keislaman yang betul.

Kajian merumuskan bahawa negara haram Israel berada di tangga ke-27 senarai negara yang melaksanakan nilai yang terdapat dalam al-Quran, berbanding negara yang ramai penduduk Islam. Ini secara langsung memberikan tamparan hebat kepada negara Islam khususnya yang berjiran dengan Israel. Interpretasi hasil kajian ini telah memberikan kemenangan moral terbesar kepada Israel dan para sekutunya bahawa Israel adalah negara baik, bersih dan suci berbanding negara Islam yang menjadi jiran mereka.

Sekali gus keputusan kajian ini menyokong persepsi Barat bahawa Israel bukanlah negara ganas dan tindakan Israel merampas tanah Palestin adalah suatu amalan yang betul sepertimana dalam al-Quran.

Jadi, bagaimanakah dapatan kajian sebegini dapat meyakinkan masyarakat sedunia tentang Indeks Keislaman? Hakikatnya, dapatan kajian sebegini sudah tentu menjadi 'duri dalam daging' kepada umat Islam kerana masyarakat umum akan beranggapan bahawa tindakan Israel menindas rakyat Palestin, betul mengikut lunas Islam.

Kesilapan ketara yang berlaku ialah pengkaji tidak dapat membezakan takrifan di antara nilai universal dengan nilai Islam seperti digariskan oleh al-Quran. Dari segi falsafah, nilai universal merujuk kepada nilai sejagat seperti keharmonian masyarakat, kemajuan sosioekonomi dan kecekapan pengurusan yang bukan sahaja terdapat dalam ajaran Islam malahan juga dalam ajaran agama lain seperti Kristian, Hindu, Buddha termasuk Yahudi. Dengan menganggap nilai universal sebagai nilai Islam sepertimana dalam kajian ini sudah tentu menimbulkan bias yang begitu ketara.

Hakikatnya, ukuran keislaman seharusnya berpaksikan kepada prinsip dan teras utama al-Quran, walhal aspek ini tidak disentuh dalam nilai universal tadi. Misalnya, nilai teras dalam al-Quran secara khususnya merujuk kepada mentauhidkan Allah SWT, berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, berpuasa, amalan-amalan sunat dan sebagainya.

Persoalannya adakah rakyat Israel melaksanakan teras utama al-Quran ini? Adakah bukan Islam di Eropah mengamalkan nilai-nilai al-Quran? Apa yang jelas di Israel, institusi masjid dan simbol-simbol berkaitan Islam tidak mendapat tempat malahan mereka sedaya-upaya menghapus nilai Islam dari tanah Palestin yang mereka rampas. Jika begitu, lebih Islamikkah Israel sedangkan setiap hari mereka melakukan pengkhianatan dan kekejaman terhadap bangsa Palestin?

Hasil kajian profesor berbangsa Iran itu menunjukkan tidak ada satu pun negara majoriti penganut Islam berada di kedudukan 25 teratas senarai Indeks Keislaman walaupun terdapat negara yang majoriti penduduknya begitu komited membangunkan Islam.

Jadi apakah kepincangan dalam kajian ini? Penulis berpandangan wujud persoalan dari aspek reliablity (kebolehpercayaan) bagi item pengukuran yang digunakan. Penulis yakin item pengukuran yang digunakan untuk menilai Indeks Keislaman tidak valid (sah) kerana tidak menggambarkan dengan jelas tentang apa yang hendak diukur.

Sepintas lalu, Indeks Keislaman tersebut diasaskan oleh empat item pengukuran iaitu pencapaian ekonomi masyarakat, pentadbiran, hak asasi manusia dan politik serta hubungan antarabangsa sesebuah negara. Keempat-empat item ini sebenarnya kurang Islamik sifatnya dan langsung tidak menyentuh secara khusus kepada Islam. Untuk itu, keempat-empat item tersebut bukanlah item pengukuran yang boleh menggambarkan kesempurnaan dalam Islam kerana ianya tidak reliable dan tidak valid untuk digunakan dalam kajian Indeks Keislaman ini.

Bagi item pengukuran pertama iaitu pencapaian ekonomi masyarakat, ia seharusnya merujuk kepada pencapaian ekonomi berasaskan Islam, bukannya merujuk semata-mata kepada pencapaian ekonomi yang tidak bersifat Islamik seperti dicapai oleh negara Eropah. Justeru, penyelidik berkenaan telah gagal memberikan definisi sempurna bagi item pencapaian ekonomi masyarakat kerana pengkaji mengambil secara terus pencapaian ekonomi semasa negara berkenaan.

Tidak masuk akal jika pencapaian ekonomi masyarakat untuk Indeks Keislaman dirujuk kepada sumber yang bercampur-baur di antara halal dengan tidak halal seperti perjudian, pelacuran, riba dan sebagainya. Ini kerana, di Barat mahupun Eropah, sumber-sumber seperti ini juga dikira sebagai pendapatan hasil dalam negara. Jadi, adakah ini yang mencerminkan Indeks Keislaman tulen?

Jika diteliti pencapaian ekonomi masyarakat Barat, ternyata ia dijana oleh sistem ekonomi bukan Islamik iaitu bersumberkan sistem ekonomi kapitalis dan sosialis yang jelas bertentangan dengan norma Islam. Jadi, adakah wajar pencapaian ekonomi masyarakat yang menerima pakai sistem riba, merelakan percampuran sumber ekonomi halal-haram, spekulasi dan mengasingkan kepentingan syarikat dengan masyarakat (seperti dalam sistem ekonomi kapitalis) ini digunakan sebagai kayu ukur untuk mengangkat standard negara berkenaan ke tahap yang lebih Islamik?

Pengkaji melakukan kesilapan dalam mendefinisikan item pencapaian ekonomi masyarakat dengan hanya melihat kepada kesan dan bukannya punca pencapaian.

Penulis sukar menerima pakai ukuran pencapaian ekonomi masyarakat yang digunakan dalam kajian ini kerana jelas tidak Islamik. Pengkaji melakukan kecuaian (ralat) kerana gagal merungkai aspek elemen dan dimensi yang mencerminkan pencapaian ekonomi masyarakat yang sebenarnya.

Bagi item pengukuran kedua iaitu pentadbiran, ia seharusnya merujuk kepada pentadbiran berpaksikan nilai-nilai Islam. Di Eropah, kecemerlangan pentadbiran yang mereka kecapi adalah rentetan pencapaian ekonomi yang tidak Islamik. Wujud persoalan sejauhmanakah Islamiknya pentadbiran di Eropah lantaran rata-ratanya negara Kristian.

Kecemerlangan pentadbiran berteraskan Islam yang seharusnya menjadi item pengukuran bagi kajian ini ialah merujuk kepada dua peringkat iaitu peringkat mikro dan peringkat makro. Peringkat mikro misalnya, kecemerlangan pentadbiran berkaitan ehwal Islam seperti pengurusan masjid dan kebajikan ehwal Islam perlu digunakan sebagai asas dalam kajian. Manakala peringkat makro merujuk kepada pengurusan tahap negara seperti kecemerlangan institusi zakat dan baitulmal, perundangan Islam, perniagaan Islam dan sebagainya. Namun demikian, pengkaji langsung tidak melihat perkara itu dalam kajian ini.

Bagi item pengukuran ketiga iaitu hak asasi manusia dan politik. Aspek ini menunjukkan penyelidik gagal mentafsirkan apakah maksud hak asasi manusia yang berlandaskan Islam. Hakikatnya, negara Eropah dan Barat seringkali menjuarai isu berkaitan hak asasi manusia seolah-olah mereka adalah terbaik dalam aspek ini. Namun apakah kedudukan hak asasi masyarakat Islam dibela sepenuhnya di negara Eropah?

Penulis berpandangan penyelidik sengaja menggunakan konsep hak asasi acuan Barat sebagai salah satu pengukuran kepada Indeks Keislaman, sekali gus menaikkan ranking negara Barat. Penyelidik perlu sedar bahawa terdapat hak asasi yang dibawa oleh Barat bertentangan dengan hak asasi Islam misalnya hak asasi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Adakah item pengukuran sebegini layak digunakan untuk menilai kesempurnaan amalan Islam di Barat? Jika Indeks Keislaman yang sebegini rupa didokong oleh pengkaji, maka sudah tentu ia akan merosakkan nilai dan kemuliaan Islam itu sendiri sekali gus mencemar norma sebenar Indeks Keislaman.

Bagi aspek politik pula, item ini seharusnya berdiri sendiri kerana ia mempunyai implikasi yang berbeza. Di Barat, parti politik yang berpaksikan Islam tidak dibenarkan kerana didakwa mendokong kumpulan pengganas antarabangsa. Sedangkan persepsi yang prejudis seperti ini tidak sepatutnya wujud dalam konteks demokrasi.

Kemungkinan pengkaji sudah lupa mengenai tragedi perhambaan di AS, yang melibatkan orang kulit putih dan kulit hitam. Kemungkinan pengkaji juga gagal mengingati peristiwa pembersihan etnik di Bosnia, larangan memakai hijab di sekolah di Perancis serta larangan simbol agama di Belanda. Adakah 'tragedi' sebegini mencerminkan keadaan sebenar ranking keislaman negara Eropah?

Akhir sekali, item pengukuran keempat iaitu hubungan antarabangsa sesebuah negara. Item ini awal-awal lagi telah menidakkan keupayaan negara Islam dalam konteks hubungan antarabangsa khususnya dengan negara haram Israel.

Malaysia misalnya tidak menjalin sebarang hubungan dengan Israel dan sudah tentu item pengukuran sebegini tidak menyumbang apa-apa mata kepada negara kita, sebaliknya ia menyumbang mata yang cukup besar kepada negara Eropah dan Barat. Sepatutnya, penyelidik menggunakan item pengukuran baru iaitu hubungan antarabangsa dengan negara Islam kerana indeks yang hendak diukur ialah Indeks Keislaman.

Di sebalik pendedahan dapatan kajian tersebut, yang paling menyedihkan tidak ada satupun negara Arab termasuk dalam senarai 50 teratas Indeks Keislaman, walaupun Islam telah bertapak dan berkembang subur di Tanah Arab sebelum disebarkan ke negara-negara lain.

Aspek sejarah ini langsung tidak diberi pertimbangan seolah-olah pengkaji telah membentuk doktrin baru bahawa negara bukan Islam mengamalkan ajaran Islam yang lebih baik dari negara tempat asalnya Islam dilahirkan. Arab Saudi yang menempatkan kota suci Mekah dan Madinah langsung tidak dipandang oleh pengkaji sekali gus menunjukkan bahawa pengkaji bersifat bias dalam kajian ini.

Timbul kesangsian mengapa haji dan umrah tidak dimasukkan sebagai pengukuran kepada Indeks Keislaman, walhal ibadah ini antara aspek keislaman paling penting kepada seluruh umat Islam sedunia.

Di kalangan negara Islam hanya Malaysia dan Kuwait tersenarai dalam 50 teratas iaitu masing-masing di tangga ke-33 dan 42. Adakah ini benar-benar adil jika dibanding dengan kedudukan AS di tangga ke-15 dan Perancis ke-17 walhal umat Islam di negara tersebut didiskriminasi dengan jelas sama ada melalui persepsi masyarakat mahupun undang-undang. Di Perancis, wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab. Adakah ini nilai keislaman yang baik? Jadi, di manakah rasionalnya ranking negara-negara terbaik Indeks Keislaman jika dibandingkan dengan realiti semasa?

Pengkaji juga menyatakan pencapaian negara Islam amat buruk kerana ada yang menggunakan agama sebagai alat untuk berkuasa. Dalam hal ini, pengkaji secara sengaja memasukkan aspek emosi, mungkin berkaitan pengalaman lampau negara beliau. Tindakan sebegini sekali gus menimbulkan kesan kepada proses dan interpretasi kajian ini kerana melibatkan unsur personal. Seharusnya kajian ini bersifat bebas kerana ia boleh merosakkan dapatan kajian.

Dalam kes menggunakan Islam sebagai alat untuk berkuasa, pengkaji hanya merujuk kepada Islam di sesetengah negara Arab dan berkemungkinan negara beliau sendiri. Di Malaysia, Islam agama rasmi negara dan kedudukannya diakui dalam Perlembagaan Persekutuan. Malaysia juga pelopor banyak perkara berkaitan Islam seperti institusi pengurusan zakat dan Baitulmal, bon dan dana Islam, pembangunan sukuk, pensijilan halal, sistem perbankan Islam, pajak gadai Islam, pengurusan jemaah haji yang terbaik di dunia dan institusi wakaf. Malahan, masyarakat bukan Islam juga bebas mengamalkan agama mereka.

Agak ganjil sekiranya pengkaji tidak melihat dengan lebih dekat pencapaian Malaysia, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan tiga kali ganda lebih rendah daripada Singapura.

Oleh itu, penulis melihat kajian ini sebagai cara untuk merendah-rendahkan martabat dan kedaulatan negara Islam. Pengukuran Indeks Keislaman yang cacat dan mudah dipertikaikan telah diguna dalam kajian ini, sekali gus menunjukkan bahawa pengkaji sengaja 'mengarahkan' hasil kajian agar memihak kepada negara Barat dan Eropah. Pengkaji tidak melihat dengan lebih jelas realiti Islam di negara bukan Arab terutamanya Malaysia, sekali gus hanya meletakkan ranking Malaysia sewenang-wenangnya.

Cuba bayangkan kalau Indeks Kekristianan dibentuk dan negara Islam mencatat 10 kedudukan terbaik, apakah agaknya pandangan masyarakat Eropah dan Barat? Tepuk dada, tanyalah iman.

DR. ABDUL MANAF BOHARI pengarang@utusan.com.my ialah Penganalisis Geospatial Pengurusan Kolej Perniagaan UUM Utusan/Rencana/20140623

Tags: islam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments