mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pahala sangat banyak

BEBERAPA hari lagi kita akan memasuki bulan suci Ramadan. Salah satu kesalahan yang biasa dilakukan sebahagian umat Islam pada bulan Ramadan ialah kembali tidur selepas bersahur. Mungkin kerana terlalu penat dan mengantuk akibat aktiviti pada malam hari.

Apapun alasannya, kebiasaan ini sangat merugikan. Tidur kembali selepas sahur akan membuat kita terlepas pahala yang sangat banyak. Salah satunya ialah menghadiri solat Subuh berjemaah di masjid ataupun di surau.

Suatu hari Umar bin al-Khattab tidak melihat Sulaiman bin Abi Hathmah dalam barisan solat Subuh. Pagi harinya, apabila Umar pergi ke pasar, beliau berjumpa dengan ibu Sulaiman yang bernama Syifa. Umar bertanya kepadanya: “Mengapa aku tidak melihat Sulaiman pada solat Subuh hari ini?"

Syifa menjawab: “Ia melakukan solat tahajud sepanjang malam. Jadi, apabila hampir masuk waktu Subuh, beliau tertidur."

Umar berkata: “Menghadiri solat Subuh berjemaah lebih aku sukai berbanding melakukan solat sunat sepanjang malam." (Muwatta)

Keprihatinan Umar

Kisah ini memperlihatkan keprihatinan Khalifah Umar kepada rakyatnya. Beliau bukan hanya memperhatikan kebajikan makan dan minum mereka, bahkan turut menginginkan kebaikan dalam perkara akhirat mereka.

Tidak luput daripada perhatian beliau ialah para pemuda dan belia. Sulaiman bin Abi Hathmah seorang belia di Madinah pada masa itu. Apabila beliau tidak hadir dalam solat berjemaah, Umar berkeinginan untuk mengambil tahu perkara yang berkaitan dengannya.

Ucapan Khalifah Umar menggambarkan kepentingan solat Subuh berjemaah. Solat ini memang sangat besar nilainya di sisi Allah SWT. Pada masa itu, malaikat malam dan malaikat siang yang bertugas mencatat amalan manusia akan berkumpul untuk menyaksikan pelaksanaan solat ini.

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya solat fajar disaksikan (oleh para malaikat). (al-Isra’: 78)

Aktiviti ibadah yang kita lakukan pada malam hari tidak dapat menjadi alasan untuk meninggalkan Subuh berjemaah. Apalagi aktiviti bukan ibadah seperti menonton televisyen dan permainan. Pahala solat Subuh berjemaah lebih besar berbanding melakukan ibadah sepanjang malam.

Rasulullah bersabda: Siapa yang melakukan solat Subuh berjemaah, maka ia seolah-olah melakukan solat sepanjang malam. (Muslim)

Justeru, mari teguhkan tekad untuk menghadiri solat Subuh berjemaah dari sekarang. Semoga perkara ini telah menjadi kebiasaan kita apabila masuk bulan suci Ramadan nanti. Wallahu a’lam. Utusan/Bicara_Agama/20140624

Tags: pahala, puasa
Subscribe

  • Khutbah Jumaat Jiwa Merdeka

    Petikan Khutbah Jumaat 27 Ogos 2021M/ 18 Muharam 1443H JAKIM Jiwa Merdeka Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik paling bersejarah bagi negara ini.…

  • Khutbah Jumaat: Membina Kekayaan Jiwa

    Petikan Khutbah Jumaat 08 September 2017M / 17 Zulhijjah 1438H: JAIS Membina Kekayaan Jiwa Harta benda yang bertimbun dan wang ringgit yang…

  • Ilmu bersih jiwa, jadikan umat hebat

    Hari Jumaat adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan berhimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat. Islam…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments