mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bersatu hati, bersepakat cabaran sebenar umat Islam

CABARAN terbesar umat Islam masa kini adalah untuk bersatu hati dan bersepakat menghadapi realiti musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan mereka, tegas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sewaktu merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-56.


Tambahnya lagi, permusuhan dalam masyarakat perlu dihindari dan mereka yang masih lena dibuai kelekaan fatamorgana duniawi perlu dibangkitkan. Selagi kesatuan ummah tidak mampu dicapai selagi itulah kejayaan yang dijanjikan Allah SWT akan tertangguh.

Ada dua jenis musuh yang menjadi cabaran kepada umat Islam sekian lama. Satu ialah musuh tradisi dari Barat yang ingin melanjutkan Dendam Salibiyyah ke atas umat Islam melalui penjajahan pemikiran, budaya dan cara hidup.

Kedua, musuh dalam kalangan umat Islam sendiri yang melakukan penyimpangan akidah, cenderung mengambil pendekatan ekstrem dan gopoh dalam menyantuni Islam dan kelompok yang menggunakan pendekatan politik yang memecahbelahkan umat.

Meneliti sejarah lampau, Barat terhutang ilmu kepada tamadun Islam yang menyebabkan pencerahan terjadi. Ilmuan Barat menterjemahkan karya-karya besar Islam dalam bidang sains dan teknologi dan cuba melenyapkan maklumat mengenai sumber-sumber itu dan mendakwa mereka adalah perintis kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi.

Akibatnya Barat menjadi kuasa penakluk dengan fokus penaklukan terhadap negara-negara umat Islam. Penjajahan yang berlaku ratusan tahun menyebabkan penentangan terjadi dan akhirnya kemerdekaan diperolehi.

Faktor globalisasi dan pasca modenisme hari ini menjadi alat faham liberal berkembang dan takrif hak asasi manusia disempitkan dalam acuan Barat semata-mata tanpa mengambil kira faktor agama dan etika.

Ianya bercanggah dengan Islam dan menjadi ancaman kepada Islam kerana menerusi media baru pengaruh de-Islamisasi berkembang dan faham menolak agama terjadi.

Walaupun Islam tidak menolak faktor manfaat berbanding mengenai ilmu sains dan teknologi yang datang dari Barat dan Timur tetapi umat Islam harus mempunyai upaya menyaring yang tinggi supaya manfaat berbanding itu tidak bercanggah dengan kepentingan Islam.

Musuh dalaman di kalangan umat Islam sendiri ialah mereka yang menyimpang dari akidah, mendukung ajaran sesat dan kumpulan yang percaya bahawa pendekatan revolusi dan anarki adalah jawapan mewujudkan negara Islam.

Malah terdapat aliran fahaman politik Islam yang cuba mengambil pendekatan gopoh dan ekstrem dengan label-label kafir, taghut, hisbus syaitan terhadap musuh politik sesama umat sehingga perpecahan terjadi.

Akibat dari perpecahan ini, wujud jurang di Malaysia antara kekuatan umat dan pengaruh pihak ketiga yang ingin menguasai Malaysia. Penjajahan dalam bentuk baru boleh terjadi lagi sekiranya di kalangan warga umat terus berbalah.

Apa yang berlaku kini, di Iraq iaitu pembunuhan sesama Islam, pembunuhan dan pengusiran di kalangan warga umat di Syria, pertentangan yang sedang terjadi di Mesir dan krisis yang berlaku di Libya dan Tunisia, menyebabkan pihak ketiga mendapat faedah dan mengambil ke­sem­patan dalam perimbangan kuasa.

Peringatan Yang di-Pertuan Agong itu bukan saja menyentuh mengenai keadaan umat Islam di Malaysia bahkan di dunia.

Umat Islam perlu mencari jalan keluar yang strategik dan berhemah supaya ti­dak terjebak dalam percaturan yang menyebabkan kelemahan di kalangan umat Islam terjadi.

Allah menurunkan al-Quran sebagai sumber pedoman dan Rasul sebagai sumber ikutan. Islam tidak hanya suatu sistem kepercayaan tetapi pernah bangkit sebagai suatu sumber tamadun dan umat Islam perlu reflektif kepadanya.

Allah kurniakan lebih 1.6 bilion umat Islam di dunia ini. Sayang jumlah yang begitu ramai tidak terlatih dalam sistem pendidikan yang berkualiti. Ianya menyebabkan pembangunan modal insan bermasalah.

Allah kurniakan juga di bumi dan perut bumi negara-negara orang Islam dengan kekayaan sumber. Sayangnya umat Islam tidak mampu menerokanya dengan optimum supaya faedahnya dinikmati oleh umat Islam sendiri. Inilah yang sepatutnya menjadi fokus kebangkitan umat Islam kini. JENDELA TOK KI   Utusan/Rencana/20140624

Tags: bersatu, islam, sepakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments