mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Asuhan anak amanah ibu bapa

PENDIDIKAN adalah suatu proses yang dilakukan secara berterusan ke arah kebaikan. Mengasuh anak pula, lebih kepada memelihara dan memberi tunjuk ajar, menjaga dan mendidik dengan baik.

Manusia memerlukan asuhan dan didikan yang baik untuk menjadi khalifah di bumi Allah. Tanpa asuhan dan pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat dan juga rohani, emosi, intelek dan jasmani manusia tidak dapat menyeimbangkan keseluruhan tindakan dalam kehidupan mereka.

Pendidikan memainkan peranan utama untuk melahirkan modal insan yang seimbang dunia dan akhirat. Pendidikan juga menyediakan peluang kepada individu mendapat didikan sempurna sejak dari alam kanak-kanak, remaja sehingga ke pendidikan tinggi dan berpeluang menikmati kemajuan ekonomi.

Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkan dengan tanda aras antarabangsa. Pendidikan kanak-kanak normal atau Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapat perhatian yang seimbang daripada kerajaan.


SEBAHAGIAN kanak-kanak bermain futsal untuk memupuk minat terhadap sukan bola sepak bagi mengelakkan
gejala tidak sihat pada Majlis Perasmian Rukun Tetangga dan SRS Kampung Buloh Poh di Kelantan, pada 1 Jun lalu.

Sayangnya, terdapat segelintir ibu bapa yang cuai dalam pendidikan anak. Ada anak yang meninggal dunia disebabkan kecuaian tersebut dan ada anak yang menjadi mangsa disebabkan kemarahan ibu bapa yang bermasalah dalam rumah tangga.

Anak yang kecil tidak berdaya melawan ibu bapa dan ada yang terdera fizikal dan emosi disebabkan oleh sikap ibu bapa sendiri yang melepaskan kemarahan tanpa sebab kepada anak.

Kes anak terabai Muhammad Firdaus Dullah, 15, remaja OKU yang ditemui dalam keadaan menyayat hati terkurung dalam rumah di Flat Semarak, Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan sewajarnya memberi pengajaran dan perhatian kepada kita supaya tidak mengabaikan asuhan dan didikan anak.

Walaupun anak ini tidak didera tetapi pengabaian remaja itu menyebabkan seluruh negara terkejut, simpati dan rasa terpanggil dengan keadaan yang berlaku.

Anak-anak adalah anugerah dan juga amanah Allah. Didiklah dan jangan abaikan mereka dalam hal makanan dan kesihatan. Perbaikkan budi pekerti mereka ke arah kesopanan, berakhlak mulia dan akhirnya dapat membalas jasa orang tuanya. Anak-anak kecil jangan didera disebabkan kemarahan dan kesalahan yang kecil. Didikan yang baik melalui teguran, nasihat dan bimbingan akan menjadikan anak-anak faham erti kehidupan.

Matlamat pendidikan bertujuan membawa kesejahteraan kepada individu terbabit di dunia dan akhirat.

Nabi SAW bersabda: " Cintailah anak-anak dan sayangilah mereka. Apabila men­janjikan sesuatu kepada mereka tepatilah. Sesungguhnya yang mereka ketahui hanya kamulah yang memberi mereka rezeki." (Riwayat Ath Thahawi).

Begitulah juga anak-anak yang tidak terdidik dengan baik dan sempurna akan menyebabkan mereka mudah terjebak dengan pelbagai penyakit juga gejala sosial yang boleh merosakkan kehidupan mereka.

Pendidikan anak sangat penting sejak dahulu hingga sekarang bagi membentuk kehidupan yang sejahtera seterusnya membentuk tamadun bangsa yang maju pada masa akan datang.

Pendidikan mestilah meliputi didikan akidah, ibadah dan akhlak. Selain itu, pendidikan juga mestilah dapat menjamin kehidupan di dunia bagi menyara keluarga dan membantu pembangunan negara.

Beberapa tokoh pendidik berpandangan sewaktu anak-anak masih kecil dan muda, didik dan ajarlah mereka tentang kebaikan dan kejayaan. Sementara itu ada berpendapat, apabila anda mengharapkan anak anda menjadi baik, biarkanlah mereka mendengar hal-hal yang baik mengenai mereka yang anda ceritakan kepada orang lain. Selanjutnya, jalan terbaik bagi membuat anak-anak menjadi baik adalah membuat mereka bahagia dalam melakukan sesuatu yang berfaedah kepada dirinya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud; "Hak anak pada ayahnya adalah nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila ia sudah cukup umur dan mengajarinya al-Quran." (Riwayat Al-Hakim dan Ad-Dailami).

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud; "Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan rotan mereka apabila enggan mengerjakan solat ketika berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka." (Riwayat Abu Daud).

Begitulah tegasnya pendidikan dalam Islam bagi mendidik anak-anak sejak kecil dengan ibadah. Pendidikan al-Quran kepada anak-anak dapat menjana kecemerlangan hidup. Anak-anak juga dididik mengikut contoh dan teladan Rasulullah SAW.

Didikan berbudi dan berbakti mengikut cara hidup Muslim. Seterusnya anak-anak juga dididik sabar menghadapi ujian Allah. Selain itu, mereka juga dididik tentang makanan yang halal dan yang haram menurut Islam.

Seterusnya, anak-anak mestilah dididik tentang konsep asas akidah Islam, rukun iman, fardu ain dan fardu kifayah, solat dan adab meliputi menjaga adab fitrah sebagai lelaki dan perempuan, adab bergaul, adab berkawan, adab terhadap ibu bapa, adab bergaul dengan keluarga, adab berguru, adab menuntut ilmu dan adab membaca al-Quran. Semua ini mestilah dipraktikkan di rumah dan diperkukuhkan di sekolah.

Saidina Umar Al-Khattab mengatakan, didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau.

Hamka menjelaskan, anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita. Salahlah pendidikan orang tua yang hendak menjadikan anak mereka seperti mereka juga. Selanjutnya, Khursid Akhmad, menghuraikan jatuh bangunnya suatu umat bergantung pada jatuh bangunnya pendidikan kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.

Justeru, konsep dan cara pendidikan itu mestilah mengikut keadaan dan perubahan semasa. Ibu bapa wajar memahami keadaan ini dalam melaksanakan pendidikan ter­hadap anak-anak.

Pengajaran dan pendidikan terhadap anak adalah berbeza. Pengajaran bermaksud mengajar mereka bagi meningkatkan pengetahuan tentang sesuatu perkara. Sementara pendidikan bermaksud mendidik mereka dalam bentuk pendidikan adab, peribadi, tingkah laku, perhatian, kasih sayang dan sebagainya.

Anas bin Malik menceritakan Rasulullah SAW bersabda; "Muliakanlah anak-anakmu dan perbaikkan adab mereka." (Riwayat Ibn Majah).

Justeru, adab yang dimaksudkan dalam hadis tersebut sebagai mengamalkan sesuatu yang dipuji sama ada dalam bentuk ucapan atau perbuatan. Oleh itu, tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak mereka bagi memperbaiki akhlak dan amalan yang terpuji serta berusaha mencegah dan menjauhkan anak-anak daripada amalan yang keji atau mungkar.

Melalui PPPM 2013-2025, bagi melahirkan rakyat yang menghayati nilai murni, kerajaan telah mengukuhkan Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral dengan lebih tumpuan kepada memupuk nilai murni dan agama serta persefahaman yang lebih erat antara murid.

Menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dalam pendidikan anak bukan suatu perkara yang senang. Pendidikan iman, amal dan akhlak mestilah dilakukan seimbang dengan pendidikan ilmu berkaitan dunia sejak kecil secara berterusan hingga dewasa.

Oleh itu, didiklah anak mengikut zamannya iaitu era globalisasi yang penuh dengan cabaran. Untuk itu, ibu bapa mestilah mempunyai persediaan yang secukupnya dalam ilmu pendidikan dan keibubapaan bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Pendidikan dan asuhan yang baik akan melahirkan anak yang baik dilengkapi ilmu, iman dan akhlak.

* DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media, berkelulusan Ph.D Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Utusan/Rencana/20140625

Tags: anak, ibubapa
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments