mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Membentuk sikap cemerlang di kalangan pelajar

APABILA minda menetapkan keputusan untuk melakukan sesuatu perkara, ia akan menjadi kenyataan. Namun, masalah yang selalu timbul adalah pelajar selalu bersifat mengelak, bimbang, berputus asa, dan jarang menetapkan minda untuk melakukan apa yang diingini atau mengenal pasti dengan lebih jelas jalan untuk mencapai impian tersebut.

Persediaan menjelang peperiksaan sangat penting dan harus dititikberatkan oleh pelajar. Pelajar yang telah lama bersedia merupakan pelajar yang beruntung manakala pelajar yang lalai hingga ke saat akhir peperiksaan merupakan pelajar yang berada dalam kerugian.

Banyak perkara yang perlu diberi perhatian ketika melakukan persediaan awal untuk menuju ke dewan peperiksaan. Setiap pelajar adalah calon pelbagai jenis peperiksaan dan kita perlu bersedia sejak awal tahun lagi. Dan sememangnya kita mempunyai banyak masa untuk membuat persiapan. Persediaan ini meliputi persediaan fizikal dan mental.

Sebagai seorang pelajar pengurusan masa amat penting. Jika seseorang itu leka bermakna dia akan ketinggalan dalam pelajarannya dan akibatnya dia akan gagal dalam peperiksaan.

Bagi umat Islam, pentingnya memanfaatkan masa terkandung dalam al-Quran surah al-Asr, Allah SWT berfirman: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan tentang kebenaran dan berpesan-pesan tentang kesabaran."

Dalam pada itu, selaku seorang yang ingin berjaya, pelajar perlu positif dan kreatif dalam berfikir. Otak kita memerlukan senaman yang berterusan dan cara terbaik untuk membuat otak kita bersenam adalah dengan berfikir.

Sebagai contoh membaca buku, adalah proses memulakan hubungan antara minda ke minda dan jiwa ke jiwa. Albert Camus, seorang novelis dan ahli psikologi, membuat andaian bahawa pemikir yang bagus ialah seorang yang mindanya sentiasa melihat diri sendiri. Selain itu, sentiasa memandu diri ke arah yang betul.

Selain itu, sistem pengambilan makanan amat penting untuk kecergasan otak. Sebagai pelajar yang perlu banyak membaca, mengulang kaji pelajaran, melakukan aktiviti kokurikulum dan bersedia menghadapi peperiksaan, perlu memastikan bahawa makanan yang diambil dapat membantu mencergaskan otak sepanjang hari.

Sebagai contoh, protein diperlukan dalam proses pembesaran dan pemeliharaan semua sel termasuk neuron (sel otak).

Setiap pelajar tentu mengidam-idamkan kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan. Pelajar sebeginilah yang dikatakan pelajar yang berwawasan dan bercita-cita tinggi. Mereka mempunyai impian yang besar, matlamat dan hala tuju yang jauh untuk memasuki institusi pengajian tinggi yang terbuka luas. Oleh itu, menjadi kewajipan setiap pelajar berusaha untuk memburu kecemerlangan dalam peperiksaan.

Di sini, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memberi semangat, dorongan , galakan serta nasihat kepada anak-anak bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam diri mereka.

Setelah pelajar selesai menghadapi peperiksaan, apakah yang akan mereka lakukan? Banyak aktiviti yang berfaedah yang boleh mereka lakukan. Antaranya, mengikuti kursus, bengkel kerjaya, seminar mahupun kerja sementara.

Pelajar yang cemerlang tidak akan membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Pada masa ini, terdapat banyak kursus yang menawarkan belajar komputer dan kursus bahasa jangka pendek seperti kelas bahasa Inggeris, Mandarin, dan Jepun. Memenuhi masa dengan kemahiran seperti ini akan membawa keuntungan pada kemudian hari.

Selain itu, pelajar juga boleh menghadiri seminar kerjaya kerana boleh membantu pelajar membuat perancangan kerjaya seperti pemilihan aliran atau pengkhususan bidang pengajian dan pendidikan. Pelajar turut berpeluang mengetahui ciri-ciri sesuatu kerjaya yang diminati. Di samping itu, dengan masa terluang pelajar boleh menimba pengalaman baru dalam dunia pekerjaan.

Salah satu kebaikan merasai pengalaman bekerja sendiri ialah pelajar akan tahu betapa susahnya mencari wang untuk menampung kehidupan. Dengan itu, pelajar akan lebih menghargai wang, masa, dan peluang.

Islam sangat menitik beratkan kecemerlangan dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan oleh manusia. Antara ciri-ciri cemerlang ialah apabila sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan dengan berkualiti seperti tekun, niat perlu ikhlas, amanah, usaha, doa serta tawakal kepada Allah.

Pelajar perlu mempunyai impian yang besar dengan membuktikan kecemerlangan dalam diri. Capailah matlamat mengikut keupayaan diri dan jangan jadikan kekurangan diri sebagai alasan kepada kegagalan anda. Sesungguhnya kejayaan ada di mana-mana. Bak kata pepatah, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

NOR HASYIMA ISMAIL ialah Pelajar Pengajian Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Utusan/Rencana/20140627

Tags: cemerlang
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments