mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Masalah tawaf

LAKSANAKAN tawaf sebaik sahaja anda memasuki Masjidil Haram buat kali pertamanya, jika berniat umrah maka tawaf itu tawaf umrah, jika berniat haji maka tawaf sebelum wukuf itu ialah tawaf Qudum (tawaf selamat datang).

Semua ibadah ditentukan sah dan kadar ganjarannya berdasarkan dengan adanya niat juga keteguhannya. Didoakan agar hidup kita semuanya adalah atas sejadah ibadah kerana-Nya.

Ibadah tawaf ialah berjalan mengelilingi, mengirikan Kaabah dengan syarat-syaratnya kerana Allah SWT.

“Bismillahi Allahu Akbar" saat dada menghadap ke penjuru Hajaral Aswad, maka kini ubahkan posisi mengirikan Kaabah lalu berjalanlah ke hadapan.

Rasakan kita sedang bertawaf, saat mata melihat Kaabah, sudah tentu kita perasan lauatan manusia di sekeliling Kaabah ketika itu. Ya, itulah mereka sedang berjalan, jua berlari ar-Ramal, berihram jua menutup aurat dengan sempurna bertaharah, lidah mereka dibasahi dengan zikrullah munajat. Sampai ke sudut tertentu mereka beristilam.

Pra-tawaf bermula dengan taharah yang sempurna, juga berwuduk dan menutup aurat dengan sempurna.

Dalam ibadah tawaf maka tawaf yang berdiri dengan sendiri seperti tawaf sunat, tawaf tahiyat bait, tawaf nazar, tawaf wada’ diwajibkan berniat sebelum memulakannya, berbanding dengan tawaf rukun haji dan umrah. Ini kerana niat umrah dan haji sudah memadai. Dalil ibadah tawaf rujuk surah al-Hajj ayat 29.

Pada zaman Jahiliah, tawaf dilakukan dengan bertepuk tangan dan siulan sebagaimana disebutkan dalam surah al-Anfal ayat 35.

Ibadah tawaf itu secara umum ada dua jenis, tawaf yang ada ihram dan tawaf yang tidak terikat dengan ihram. Bagi jemaah yang berniat ihram maka semasa tawaf, maka wajiblah mereka mengenakan pakaian ihram selagi mereka belum bertahallul, Berbeza dengan jemaah yang bertawaf sunat atau tawaf wada’ yang mana mereka mengerjakan ibadah tawaf tanpa terikat dengan komitmen pakaian ihram dan larangan ihram.

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa kesesakan yang membawa percampuran semasa tawaf tidak boleh dielakkan, kerana tidak mungkin kita mengasingkan jemaah yang bertawaf daripada keluarga. Maka menjadi tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi bagi jemaah mengelakkan diri daripada fitnah saat menyempurnakan ibadah yang besar ganjarannya di Tanah Suci Mekah.

Menurut As Syeikh Saleh Al Munjid bahawa percampuran sesama tawaf itu jika disengajakan adalah ditolak oleh syarak dan sememangnya ditegah alim ulama. Pihak berkuasa cuba untuk menghalangnya, namun dek kejahilan dan tanpa kerjasama yang sedang bertawaf maka menjadikan keadaan tidak terkawal.

Dalam menghuraikan masalah ini, perlu lihat faktor zaman. Asalnya, percampuran lelaki dan wanita tidak berlaku pada zaman Baginda kerana wanita bertawaf di belakang saf lelaki. Ini dipetik daripada Imam Bukhari dalam sahihnya, Bagaimana boleh wanita bercampur dengan lelaki (dalam tawaf)? Ata’ menjawab, Tidak ada pun percampuran, kerana Aisyah r.a melakukan tawaf bersendirian dan tidak bercampur dengan rombongan lelaki. (Sahih Bukhari: 1539)

Diriwayatkan daripada Faqihi, daripada Ibrahim Nakhaie, bahawa Saidina Umar r.a melarang lelaki menyertai tawaf ketika wanita sedang bertawaf. Pada suatu hari, beliau melihat seorang pemuda sedang bertawaf dalam kumpulan wanita lalu memukulnya. Begitu juga perintah Nabi kepada isterinya, Ummu Salamah tatkala dia mengadu kepadanya kemusykilan bertawaf, lalu Nabi memerintahkannya bertawaf di belakang barisan lelaki dalam keadaan duduk di atas tunggangannya. (Sahih Bukhari, no: 452, Sahih Muslim, no: 1276)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani menjelaskan lanjut, bahawa perintah tersebut supaya menjamin keselamatannya (daripada bercampur dengan lelaki) dan tidak pula keluar dari barisan mereka (Fathul Bari, 3/481)

Maka adalah sunnah ke atas wanita, bertawaf di belakang barisan kaum lelaki. (Al-Baji Al-Maliki, Muntaqa Syarah Muwatta, 2/295)

Isu berbangkit semasa tawaf dalam kesesakan ialah berlakunya persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram, merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan wuduk kedua-dua pihak, sama ada yang disentuh atau yang menyentuh. (mengikut al-qaul al-azhar dalam mazhab asy-Syafie).

Namun Muzakarah Haji Kebangsaan telah memutuskan jalan keluarnya dengan mengambil pendapat yang ketiga dalam mazhab Syafie iaitu tidak batal wuduk dalam keadaan demikian dengan syarat persentuhan itu tidak menggerakkan syahwat dan tidak disengajakan.

Jemaah juga dinasihati untuk merancang masa yang sesuai agar ibadah ini dapat dihayati dengan semaksimum penghayatan ubudiyyah.

Berazamlah untuk mengulangi ibadah tawaf ini berulang kali dengan menyempurnakan taharah, suci daripada sebarang hadas dan menutup aurat dengan sempurna.

Sesudah tawaf maka susuli dengan solat sunat tawaf di sekitar Masjidil Haram dan meneguk air zam-zam dengan munajat doa agar dikurniakan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan penawar daripada pelbagai penyakit. Malah sesudah tawaf sunat, pastikan kita tidak mengerjakan saie selepasnya, khusus tawaf wada’ kerana tiada di sana saie sunat dan saie wada’.   MOHAMMAD HASNIL ABU BAKAR PENULIS ialah Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA): Utusan/Bicara_Agama/20140627

Tags: tawaf
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments