mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Isu kalimah Allah dan berseleraknya pusat judi di seluruh negara

KESAN baik yang boleh diambil daripada kontroversi penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald versi bahasa Melayu ialah umat Islam bersatu dan berjuang tanpa rasa putus asa. Isu kalimah Allah telah membentuk orang Islam dalam satu barisan. Seperti kiasan bijaksana silam, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.


Orang Islam bermuafakat untuk berhadapan dengan muslihat menggunakan kalimah Allah dalam The Herald. Dalam keadaan bukan Melayu menolak bahasa Melayu, tiba-tiba The Herald diterbitkan dalam bahasa Melayu. Bukan itu sahaja malah berdegil mahu menggunakan kalimah Allah.

Perjuangan menyelamatkan kalimah Allah telah berjaya apabila Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun lalu menolak permohonan pihak Gereja Roman Katolik yang merayu untuk menggunakan kalimah Allah dalam The Herald. Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam bersatu menentang pengggunaan kalimah Allah yang tercetus sejak tahun 2009.

Tindakan itu adalah suatu yang mesti disokong. Ini bukan melanggar hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Perjuangan ini sebalinya menjaga hak orang Islam menjaga agamanya. Maka menentang supaya The Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah bukan sahaja wajar malah sangat wajar dalam konteks menjaga kesucian Islam.

Tetapi kita juga perlu realistik bahawa isu kalimah Allah adalah satu daripada banyak perkara yang menuntut perjuangan untuk mengubah martabat Islam di negara ini. Semangat menghalang penggunaan kalimah Allah wajar diperluaskan kepada menghalang perkara-perkara lain yang secara langsung atau tidak langsung memperkecil dan menghina Islam. Sekiranya semangat begini diteruskan, saya percaya umat Islam akan berada pada satu takah yang lebih tinggi.

Pada masa sama saya juga sangat bimbang sekiranya ada pihak menganggap perjuangan memartabatkan agama dan umat Islam sudah selesai dengan kejayaan menangani isu kalimah Allah ini. Kita kena menganggap ini hanya satu daripada banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memuliakan agama Islam. Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberi kemenangan kepada orang Islam tidak ada makna sekiranya dalam perkara-perkara lain tidak ada anjakan untuk Islam duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan agama lain.

Orang Islam ketinggalan dalam bidang ekonomi. Ini bukan dongeng, ini fakta. Ini juga mesti diperjuangkan supaya keadaan menjadi sebaliknya. Dalam negara yang majoritinya Islam, pemimpinnya Islam tetapi kuasa ekonomi dipegang oleh orang lain. Bukankah ini sangat ironi? Lihatlah dalam senarai sepuluh orang terkaya Malaysia, berapa orang Islam? Ini isu besar tetapi kerana tidak kontroversi seperti kalimah Allah, tidak ada yang perasan dan tunjuk perasaan.

Sepatutnya sudah lama cetus kontroversi dan menuntut orang Islam keluar dari zon selesa. Tetapi malangnya sesetengah daripada kita menerima ini sebagai suatu yang biasa. Sekali lagi, sempena mengambil semangat perjuangan kalimah Allah, geraklah suatu yang menguntung, misalnya jihad ekonomi supaya kek kekayaan negara dapat dikecapi dengan lebih saksama antara Islam dengan bukan Islam, antara Melayu dengan bukan Melayu.

Melonjakkan kedudukan umat Islam dalam ekonomi juga perjuangan memuliakan Islam. Sebabnya umat yang miskin dan terjajah dengan sendiri memberikan gambaran buruk kepada agamanya. Malah Islam tidak melarang umatnya berusaha dan merebut tetapi bukan secara pintu belakang untuk mengangkat taraf hidup. Tanpa menguasai ekonomi, kita tidak kaya. Apabila tidak kaya, orang Islam tidak boleh membantu orang Islam lain yang benar-benar memerlukan bantuan.

Mengayakan orang Islam bukanlah untuk menjadikan mereka bermegah-megah, membeli perhiasan diri yang luar biasa harganya, kereta mewah berderet macam di kedai jual kereta terpakai dan mengaut kekayaan untuk diri sendiri. Itu bukan perjuangan yang diperlukan untuk memuliakan Islam. Tetapi maksud menguasai ekonomi adalah supaya yang susah dapat dibantu, diberi peluang dan seterusnya menjadi jambatan untuk menyeberangi hidup yang lebih baik.

Kesejahteraan antara kaum dan agama berpaksi kepada kuasa ekonomi. Kalau tempang, manusia mudah dibakar amarah dan merasakan mereka teraniaya. Sebab itu umat Islam mesti kaya tetapi dengan cara yang betul.

Kita juga berdepan dengan pemimpin dan pihak berkuasa Islam yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas. Buktinya dalam laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini terdapat beribu-ribu pusat judi di negara ini, dan di Kuala Lumpur sahaja dianggarkan tidak kurang 2,380 pusat judi. Dianggarkan transaksi melibatkan jumlah wang yang banyak tidak kurang RM40 juta sehari. Bayangkan, di sebuah negara yang Islam menjadi Agama Persekutuan, banyak pemimpin Islam, ketua yang mengepalai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ialah orang Islam malah yang mengepalai pihak berkuasa lain juga Islam tetapi berselerak pusat judi di seluruh negara. Apakah yang kita hendak jawab kalau orang bukan Islam bertanya di mana peribadi Islam kita?

Sesetengah yang berkuasa tidak amanah. Apabila tidak amanah mereka tidak menghalang perkara yang mencemarkan Islam berkembang, sekali gus memusnahkan masyarakat. Perbuatan ini juga wajar dihalang sama seperti menentang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald. Sekali lagi, perjuangan kita belum selesai. Kejayaan mempertahankan kesucian kalimah Allah tidak wajar membuatkan kita selesa dan leka.   Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140629

Tags: kalimah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments