mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Puasa singkir toksin

ADA ibu yang menyusukan anak mengadu keadaan ekzema pada bayinya menjadi lebih teruk pada minggu pertama berpuasa.

Dia lalu segera mengajukan pertanyaan kepada pakar tentang keadaan tersebut kerana khuatir kemungkinan mengambil makanan yang tidak sesuai ketika berbuka puasa.

Pengarah Penjagaan Kesihatan di Spectrum of Life, Dr. Suriyakhatun Osman berkata, apa yang dialami bayi tersebut sebenarnya adalah kesan daripada tubuh ibunya yang sedang mengalami detoksifikasi pada hari-hari awal berpuasa.

Beliau berkata, gejala detox termasuk sakit kepala, berak cair, lenguh badan, nafas dan peluh berbau, letih dan emosi terganggu.

Pada awal minggu berpuasa mungkin ada yang merasakan tidak terlalu letih kerana ‘bekalan tenaga’ masih banyak .

Memasuki minggu kedua ada yang mengadu lemah dan tak kurang juga yang mula meminimumkan pergerakan fizikal dengan alasan tidak mahu keletihan sementara menunggu waktu berbuka. Ada juga yang mendapati tubuh menjadi semakin cergas setelah memasuki dua minggu berpuasa.

Apapun setiap daripada kita adalah berbeza dan tindak balas berpuasa juga berbeza bagi setiap individu.

“Tumpuan ibu yang menyusukan anak pada bulan Ramadan ini biasanya tentang bagaimana untuk membanyakkan susu dan tidak kurang juga persoalan tentang proses penyingkiran toksin atau detoks semasa berpuasa

“Puasa itu sendiri adalah detoks dan beberapa langkah boleh dilakukan bagi meminimumkan gejala proses detoks yang boleh menjejaskan anak ekzema," ujarnya.

Menurut Dr. Suriyakhatun, semasa berpuasa ada beberapa gejala yang berlaku pada tubuh disebabkan badan membuang toksin yang telah sekian lama berada di dalam tubuh.

Antara gejala yang dirasai ialah mulut berbau busuk, kencing berbau busuk, najis berbentuk cair atau disertai lendir, sakit kepala, lenguh-lenguh badan dan lidah berselaput putih.

“Ini berlaku pada peringkat awal puasa dan lagi banyak lemak seseorang lagi banyaklah gejala daripada tanda penyingkiran toksin dalam tubuh ini. Bagaimanapun jangan risau kerana semakin lama anda berpuasa, semakin kurang gejala penyingkiran ini berlaku," katanya.

Tambahnya lagi, cara-cara untuk mengesan kebanyakan toksin sudah keluar dari tubuh ialah apabila lidah tidak lagi berselaput putih, tubuh menjadi kurang letih dan tidak lagi lenguh serta hilang sakit kepala.

Tegasnya, ibu-ibu menyusu juga perlu mengambil perhatian tentang alahan masing-masing dan mengenal pasti makanan apa yang mempunyai reaksi alahan pada diri dan anak yang disusukan.

“Setiap yang dimakan ibu memang memberi kesan kepada susu yang diberikan kepada bayi. Apabila proses detoks berlaku pula maka memang akan ada reaksi yang lebih kuat dalam badan ibu, alahan seseorang akan lebih kuat semasa puasa.

“Makanan yang banyak rempah pun boleh menyebabkan susunya mengandungi lebih bahan radangan, jadi ibu menyusu tidak dinasihatkan makan makanan yang mengandungi banyak rempah atau cili," ujarnya.

Proses penyingkiran toksin

Dr. Suriyakhatun berkata, proses penyingkiran toksik bermula daripada bahan buangan sel (waste material) masuk ke dalam darah semula sebelum keluar terus dari badan melalui organ detoks seperti, ginjal, sistem penghadaman termasuk hati, kulit dan paru-paru.

“Bermakna toksin ini keluar ke air susu juga sebab itulah anak ibu menyusu ada yang mengalami ekzema lebih teruk pada minggu awal ibunya berpuasa.

“Toksin dari lemak juga akan mula keluar dan ini bukan bahan buangan tetapi kimia yang terperangkap dalam lemak. Ini juga akan berada dalam air susu peringkat awal puasa," tambahnya.

Maka langkah langkah yang ibu perlu ambil adalah mempercepatkan proses detoks adalah dengan melakukan langkah-langkah berikut, pertamanya, ibu boleh mengurangkan memberi susu badan pada peringkat awal puasa bagi anak yang sudah berusia lebih enam bulan.

Proses ini menurut Dr. Suriyakhatun berlangsung hanya untuk tiga hingga empat hari pertama puasa sahaja. Sebagai alternatif, beri anak makan dan susu yang dia tidak alah contohnya susu beras (rice milk).

“Langkah kedua mempercepatkan proses detoks ini ialah dengan cara meningkatkan pergerakan usus sebagai organ detoks dengan meminum jus aloe vera, minuman enzim dan makanan sunnah seperti al manna. Perlu awasi pengambilan gula, tepung gandum, dan pemanis tanpa zat yang akan merosakkan kesihatan usus dan mengurangkan keberkesanan usus untuk detoksifikasi," katanya.

Selain itu, mereka yang mengalami simptom detoks disarankan membuat skrub pada kulit semasa mandi pagi dan keluarkan peluh waktu petang sebelum berbuka, sama ada masuk dalam sauna atau berjoging selama setengah jam.

“Selepas berbuka disarankan minum air bersih sebanyak yang boleh. Ketika solat Tarawih bawa botol air dan teguk selalu, pastikan banyak kencing untuk mempercepatkan proses detoks sebelum tubuh anda bersih dan bertenaga semula.

“Elak berjalan di matahari terik dan elak bersenam di awal puasa, cuma bersenam pada waktu petang sebelum berbuka," katanya.

Tip Ramadan untuk ibu menyusu

Ibu mengandung dan menyusu perlu awasi tanda-tanda hypoglycaemia dan juga dehidrasi.

Antaranya pitam, berpeluh sejuk, badan rasa lemah dan tak bermaya semasa berpuasa.

Dalam keadaan ini amatlah disaran untuk berbuka anda tidak diwajibkan berpuasa dan jika berpuasa anda kena nilai kemampuan diri dan berbuka sebelum berlaku mudarat.

Bagaimanapun bagi yang mampu berpuasa perlu beri perhatian yang lebih tentang mutu makanan ketika berbuka dan bersahur. OOR FAZRINA KAMAL: Utusan/Keluarga/20140708

Tags: puasa
Subscribe

  • Friday Sermon Text Simplify Marriages

    Friday Sermon Text 16 December 2016AD / 16 Rabiulawal 1438H JAWI Simplify Marriages Marriage has been prescribed by Allah SWT to enable a person…

  • Daftar cerai online

    IKATAN pernikahan dijalinkan dengan impian untuk hidup bahagia seumur hidup. Daripada perkahwinan maka akan lahirlah zuriat yang diharap membesar…

  • Jangan campur urusan Allah

    APABILA berjumpa kawan lama, soalan seperti, “kawan-kawan kita semua dah kahwin, engkau bila lagi?”, merupakan antara pertanyaan panas…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments