mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tokoh pembela Islam

SYEIKH Ahmad Sirhindi ialah tokoh pembaharuan dan ahli sufi terkemuka India pada zaman pemerintahan dua sultan Moghul, Akbar (m. 1606) dan Jahagir (m. 1627). Beliau dilahirkan pada 1564 di Sirhindi (kini Punjab), India.

Salasilah keturunannya dikatakan sampai kepada Umar al-Khattab. Sirhindi belajar di Sialkot (kini di Pakistan), pusat ilmu Islam pada zaman Moghul.

Setelah tamat belajar di Sialkot, beliau pulang ke kampung halamannya dan kemudian pergi ke Agra, ibu kota Moghul untuk mendalkmi ilmu hadis dan tafsir.

Di Agra, beliau berhubungan dengan ulama istana seperti al-Faidi dan Abu al-Fadl. Kedua-duanya tidak disukai oleh ulama ortodoks kerana dianggap menganut agama bidaah.

Pada 1617, Sirhindi dipenjarakan di Gwalior selama setahun oleh Sultan Jahangir tetapi dibebaskan atas desakan Mahabat Khan, pemerintahan Kabul. Kemudian beliau menjadi penasihat khusus Jahangir selama enam tahun.

Sirhindi meninggal dunia pada usia 60 tahun (1624) dan dikebumikan di tanah kelahirannya, Sirhind.

Sirhindi dikenali dengan gelaran kehormat Mujaddid Alf Sani (tokoh pembaharuan millennium kedua) dan Imam-I Rabbani (pemimpin yang diilhami Tuhan). Gelaran Mujaddid Alf- Sani ini diberikan oleh Mulla Abdul Hakim, seorang ulama terkemuka dari Sialkot.

Perjuangan kesucian Islam

Sirhindi berjuang membela kesucian Islam dengan menentang ajaran agama yang dianggap sesat dan menyimpang daripada akidah serta syariat yang sebenar. Beliau menentang Din Ilahi (agama Tuhan) beraliran Syiah yang memasukkan unsur luar ke dalam Islam.

Aliran Din Ilahi ini diumumkan oleh Sultan Akbar. Sirhindi juga menentang wahdatul wujud (panteisme) kerana menganggapnya menyimpang daripada syariat dan berusaha membersihkan tasawuf daripada segala bentuk penyimpangan. Beliau sendiri merupakan pengikut Naqsyabandiyah.

Isbat al- Nubuwwah

Ahmad Sirhindi menulis beberapa karya; antara yang paling penting ialah Isbat al- Nubuwwah (Pembelaan Atas Kenabian), Radd-I Rawafid ( Penolakan Atas Aliran [Syiah] Rafidah) dan Maktubat (Surat-surat).

Melalui karyanya itu, gerakan Sirhindi memberikan pengaruh yang besar di benua kecil India dan pada umumnya, berjaya menandingi kecenderungan yang mengabaikan ikatan moral dalam kalangan ahli sufi.

Kesatuan wujud

Sirhindi mengkritik doktrin wahdah al-wujud (kesatuan wujud: panteisme) Ibnu Arabi (1165-1240). Beliau mendakwa bahawa doktrin wahdah al-wujud menyamakan Tuhan dengan alam semesta sehinggakan tiada perbezaan antara Tuhan dengan alam semesta, termasuk manusia, tidak jelas lagi. Menurut beliau, doktrin wahdah al-wujud tidak mempunyai dasar di dalam al-Quran dan sunnah.

Bagaimanapun, beliau bersetuju jika wahdah al-wujud dilihat sebagai suatu pengalaman semata-mata, bukan sebagai kepercayaan kepada hakikat sebenarnya. Menurut Sirhindi, wahdah al-wujud ialah peringkat pengalaman mistik paling rendah.

Kesatuan kesaksian

Untuk menentang wahdah al-wujud, Sirhindi mengajarkan doktrin wahdat al-syuhud (kesatuan kesaksian), yang membuktikan bahawa yang ada dalam kesaksian (penglihatan) hanya satu wujud, iaitu Tuhan, meskipun pada kenyataannya ada dua wujud yang berbeza: Tuhan dan alam.

Dengan yang demikian, Sirhindi menegaskan perbezaan mutlak antara Tuhan dengan alam. Menurutnya, inilah peringkat mistik paling tinggi. Utusan/Bicara_Agama/20140708

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments