mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Judi perosak modal insan dan negara

MALAYSIA yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 bergantung kepada modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Modal insan ini merujuk kepada tenaga kerja mahir yang boleh menjayakan aktiviti ekonomi negara.

Bagaimanapun, Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi juga perlu diimbangi dengan kekuatan modal insan yang mempunyai ketinggian sifat, perwatakan dan keperibadiannya.

Wawasan 2020 yang menjadi asas pencapaian negara turut memperakukan betapa pentingnya kita mewujudkan masyarakat yang mempunyai set moral yang tinggi. Ini terkandung dalam cabaran yang keempat Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat sepenuhnya bermoral dan beretika. Ia juga bermakna, Wawasan 2020 akan gagal dan tidak memberi makna, jika tidak seiring dengan kelahiran masyarakat yang bermoral dan beretika.

Membangunkan masyarakat yang bermoral dan beragama bukan satu pilihan tetapi kewajipan. Negara boleh runtuh jika masyarakatnya mengetepikan soal moral dan agama. Apa gunanya kita memiliki pembangunan fizikal yang gah tetapi ia tidak didasari dengan pembangunan insaniah yang kukuh. Umpama jasad tanpa roh.

Baru-baru ini, kita dihangatkan dengan berita kegiatan mesin judi haram yang masih berleluasa di seluruh negara. Perkembangan ini pastinya meresahkan kita kerana ia membabitkan perbuatan yang tidak bermoral. Lantas ia mewujudkan kebejatan sosial dalam kalangan masyarakat yang akhirnya memberi cabaran kepada usaha kita membangunkan modal insan dalam negara.

Isu judi adalah isu yang sudah lama, namun ia masih berlaku. Banyak faktor yang boleh kita kaitkan, antaranya kelicikan pengusaha mesin judi haram yang beroperasi dan berselindung atas nama pusat hiburan keluarga. Lebih-lebih lagi, mereka dipercayai mempunyai rangkaian kerjasama dengan sindiket perjudian antarabangsa seperti di Hong Kong, Macau serta Taiwan.

Pada masa sama, tahap penguatkuasaan turut menyumbang kepada gejala ini. Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini telah mengingatkan agar pihak berkuasa agama negeri sentiasa menggempur kegiatan mesin judi haram dan menguatkuasakan undang-undang di bawah enakmen syariah masing-masing kepada penganut Islam yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi membanteras kegiatan judi haram yang kini berada pada tahap serius dan luar biasa. Pasukan elit khas ini bakal memiliki keanggotaan dua kali ganda berbanding Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) serta turut mempunyai kuasa dan peranan seperti pasukan polis dan cekap serta terlatih dari segi operasi.

Dalam hal berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menegaskan bahawa beliau akan mengadakan perjumpaan dengan menteri besar dan ketua menteri bagi membincangkan mengenai masalah judi haram yang semakin berleluasa. Lawatan itu bertujuan mendapatkan sokongan negeri-negeri dalam memerangi judi haram, antaranya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga (PHK).

Judi ditegah semua agama

Terdapat beberapa negeri yang mengambil tindakan tegas dalam memantau kegiatan judi. Johor misalnya membekukan pengeluaran lesen bermula awal tahun ini dalam usaha membanteras kegiatan mesin judi haram daripada terus berleluasa. Kini dilaporkan hanya 31 premis berdaftar di negeri selatan tanah air itu.

Semua agama melarang penganutnya berjudi. Ajaran Buddha melihat gejala berjudi boleh mendatangkan kecelakaan dan pelaku akan diberikan balasan dan hukuman Tuhan. Ajaran Hindu melarang keras penganutnya berjudi kerana boleh menimbulkan permusuhan dan kejahatan. Kristian pula berpandangan judi boleh menjadikan manusia itu hamba kepada wang dan menyimpang dari Tuhan.

Menurut agama Islam, berjudi adalah amalan yang ditegah kerana ia perbuatan keji. Allah berfirman menerusi ayat 90, Surah al-Maidah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Ayat ini jelas melarang umat Islam terlibat dalam kegiatan judi kerana ia merosakkan fitrah manusia yang suci. Judi menjadikan manusia tidak percaya akan kuasa Allah yang memberikan rezeki sebaliknya percaya kepada untung nasib tanpa sebarang usaha. Ia turut membuatkan manusia malas berusaha dan menjadikannya sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kemewahan dan kesenangan.

Amat malang jika gejala judi ini melibatkan golongan muda yang sebenarnya mempunyai potensi dan masa depan yang cerah.

Minda mereka yang sepatutnya disuburkan untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dikalahkan dengan godaan untuk mencapai kesenangan dengan sekelip mata.

Bagi yang berkeluarga, gejala judi ini turut merosakkan institusi kekeluargaan apabila sudah tidak ada keberkatan dalam kehidupan. Jika si ayah yang terlibat, maka bagaimana beliau boleh menjadi contoh teladan kepada ahli keluarga? Berkatkah hasil lumayan judi untuk sesuap nasi seisi keluarga?

Ternyata, gejala judi merosakkan jiwa, masyarakat dan bangsa. Adalah satu langkah yang tepat bagi kerajaan dan pihak berkuasa menggempur gejala ini dari terus berleluasa dan terus mengundang bencana.

Membanteras kegiatan judi ini bukan hanya terletak pada peranan kerajaan dan pihak berkuasa, sebaliknya sebagai masyarakat biasa, kita boleh memainkan peranan yang efektif. Usaha mendidik generasi muda khususnya perlu diperkukuhkan lagi bagi membangkitkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran betapa besarnya kesan buruk judi kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat. Katakan tidak pada judi.

Jamawi Jaafar ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia Utusan/Rencana/20140710

Tags: judi
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments