mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ingat orang susah kekang pembaziran bulan Ramadan

Amalan pembaziran seperti tidak dapat dielakkan setiap kali Ramadan. Ketika berbuka, ramai yang menikmati juadah seperti ‘membalas dendam’ selepas berlapar seharian. Mereka membeli pelbagai juadah ikut ‘sedap mata’. Apabila terlalu kenyang, mata mulai berat akhirnya menggagalkan mereka melaksanakan ibadah sunat yang amat dituntut pada bulan Ramadan.

Pemborosan yang sering dilakukan pada Ramadan ialah dari aspek makanan dan minuman, terutama sekali ketika membuat persiapan untuk berbuka puasa.

Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.

Keghairahan untuk membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan melampaui batas sedangkan perut yang hendak diisi terhad. Lebihan makanan dan minuman yang dibuang itulah yang dikatakan pembaziran.


Dua panduan bersederhana pada Ramadan

Dua panduan yang paling berkesan untuk mengingatkan umat Islam supaya sentiasa bersederhana, sama ada ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa atau ketika membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri nanti.
Pertama, perlu berusaha mengehad dan mengawal kemahuan diri yang tidak terhad terlebih dulu.

Caranya ialah dengan berusaha menghapuskan nafsu jahat, seperti nafsu ammarah, lawwamah atau mulhamah dan menggantikannya dengan nafsu baik (mahmudah), seperti nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah.

Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah al-nafs). Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan.

Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup. Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran itu dilakukan ketika ada segelintir dari ahli masyarakat yang terlalu memerlukan bantuan.

Kedua, sentiasa mengingati dan mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa atau menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kedaifan dan kekurangan.

Mereka juga inginkan menjamah makanan yang lazat-lazat dan pakaian yang baru-baru seperti oranglain. Namun, kedaifan mereka membuatkan mereka berbuka dan beraya dengan makan dan pakai apa saja yang ada.

Oleh itu, alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, Allah SWT pula akan menyediakan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada kita. Dr Mohd Shukri Hanapi adalah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Berita Harian Agama 2014/07/10 - 07:17:53 AM
Tags: ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments