mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Terpikat dengan akhlak Islam

DI suatu sore di dalam bulan Ramadan, penulis dikhabarkan tentang seorang saudara baharu bertaraf Orang Kurang Upaya (OKU) yang sedang berjualan di tepi Bangunan Zakat Selangor, di Shah Alam, Selangor.

Tanpa lengah, penulis langsung mengatur langkah mencarinya. Inilah rezeki namanya. Jika tidak, selalunya penulis yang harus keluar mencari para asnaf untuk dimuatkan kisah mereka di ruangan ini. Namun kali ini ‘rezeki’ sudah di depan mata, tinggal diwawancara sahaja.

Rupa-rupanya, saudara baharu itu bukanlah berjualan makanan ringan iaitu muruku, kacang putih dan sebagainya yang dibawanya, sebaliknya dia dengan senang hati telah membelanja beberapa orang yang sudi merasai jajanan dagangannya (sudah pastilah selepas waktu berbuka nanti baharulah boleh dinikmati kacang putih berkenaan).



PENGALAMAN hidup mematangkan Abdullah Gunalan Ramanathan.

Penulis menghampiri lelaki yang kelihatannya agak sukar berdiri dengan tegak kerana kaki sebelah kanannya kelihatan sedikit rengkat. Tanpa tangguh, langsung penulis menyatakan hajat hati untuk mewawancarainya. Dia bersetuju dan marilah kita ikuti bersama perkongsian kisah lelaki berkenaan, Abdullah Gunalan Ramanathan, 38.

“Saya sudah memeluk Islam sejak 2011 tanpa ada sebarang paksaan daripada sesiapa pun. Semuanya bermula dengan mudah. Pada tahun itu, saya terpaksa keluar dari rumah bersama isteri dan anak-anak atas satu masalah dan kami telah menumpang di Masjid India di Klang. Di sana, pihak masjid telah memberikan kami layanan yang baik. Dari situlah hati saya terpikat dengan Islam," cerita Gunalan membuka bicara.

Sesungguhnya benarlah seperti mana yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW, bahawa senjata terampuh untuk menaklukkan hati manusia lain ialah dengan akhlak yang mulia. Malah pada diri Nabi SAW itu sendiri, seluruhnya terpancar keindahan akhlak yang begitu memukau setiap mata yang memandang.

Sabda Nabi Muhammad SAW: Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (riwayat Imam al-Bukhari dan al-Baihaqi)

“Saya mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita yang sangat saya cintai, iaitu Faridah Chandran dan kini kami telah dikurniakan dua orang cahaya mata yang sangat kami sayangi. Kehidupan kami tidaklah sesenang mana, namun kami bahagia," akui bapa muda ini.

Gunalan sejak muda hanya bekerja sebagai buruh. Dia pernah menjadi penjual buah, bekerja di kedai makan, mengikut lori sayur dan beberapa kerja lagi. Semuanya bukanlah pekerjaan yang menjanjikan pulangan yang besar kepada pendapatannya dan dia hanya dibayar dengan gaji hari sahaja.

“Selama kira-kira dua tahun, saya bekerja sebagai buruh di pasar borong Selayang dan di sana jugalah saya telah ditakdirkan bertemu dengan isteri saya sekarang. Semasa itu, dia juga menjadi pekerja di sana."

Atas persetujuan bersama, mereka mengikat tali perkahwinan. Namun, telah berlaku sedikit masalah sehingga memaksa Gunalan membawa isterinya keluar dari rumahnya. Ketika itu, mereka tinggal di Bandar Klang, dalam kekusutan fikiran mereka sanggup berteduh di Perhentian Bas Klang.

“Saya tidak ada tempat lain mahu dituju. Akhirnya saya mencari bilik di hotel bajet buat menempatkan keluarga buat sementara waktu. Sewanya RM50 sehari dan saya membayar sewanya setiap hari. Penat bekerja, malamnya saya menangis mengenangkan nasib diri. Sampai bila kami harus merempat seperti itu. Mahu pulang ke rumah, tidak boleh. Sedih sungguh hati saya," kata Gunalan mengimbas kisah silamnya itu.

Dalam kesedihan itulah, Allah SWT telah mentakdirkan Gunalan bertemu dengan beberapa orang lelaki daripada jemaah Masjid India di Bandar Klang. Tanpa disangka-sangka, dia telah ditawarkan untuk mendiami salah sebuah bilik dan boleh menggunakan kemudahan di masjid berkenaan. Kebaikan yang dipamerkan itulah, telah mengetuk pintu hatinya kepada Islam.

“Tanggal 10 Jun 2011, saya mengambil keputusan memeluk Islam. Apabila ibu saya mendapat tahu, dia tidak pula menghalang. Cuma ibu saya berpesan, apabila sudah memeluk Islam maka kena kekal di dalam Islam," tambahnya.

Setelah memeluk Islam, bererti Gunalan layak disantuni dengan zakat. Melalui Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Gunalan dan keluarganya telah diberikan hak sebagaimana yang termaktub di dalam ayat 60 surah at-Taubah, iaitu di bawah asnaf mualaf.

“Alhamdulillah, zakat menyalurkan bantuan berjumlah RM1,500 sebulan untuk sara hidup, termasuk jugalah bantuan untuk menyambut hari raya. Malah saya juga diberikan peluang mencari rezeki dengan perniagaan kacang putih. Modal perniagaan telah diluluskan kepada saya, iaitu dalam bentuk motosikal roda tiga dan juga modal tunai. Dapatlah saya menambah pendapatan," kata Gunalan dengan nada lega. PENULIS ialah Eksekutif Dakwah di Lembaga Zakat Selangor (MAIS): Utusan/Bicara_Agama/20140710

Tags: zakat
Subscribe

  • Khutbah Jumaat: Sombong Itu Sifat Iblis.

    Petikan Khutbah Jumaat 29 Okt 2021M / 22 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS Sombong Itu Sifat Iblis Sombong merupakan satu penyakit hati, yang mana…

  • Megah dengan harta

    SIAPA tidak teringin menikmati kehidupan senang dengan harta kekayaan, kemewahan, kemudahan, pangkat, jawatan dan pengaruh? Ramai menginginkannya.…

  • Pamer sikap riak di laman sosial

    ALHAMDULILLAH, hampir seminggu kita berpuasa. Seperti yang kita maklum, pada bulan Ramadan inilah umat Islam berlumba-lumba ingin melakukan ibadah…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments