mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Destinasi kemuncak Ramadan

YANG buta datang berpimpin, yang capik datang bertongkat, begitulah perumpamaan untuk menggambarkan keadaan lautan manusia yang membanjiri kota Mekah dan Madinah untuk mengerjakan ibadat puasa pada bulan Ramadan.

Tidak kira warna kulit, bangsa, budaya dan peringkat umur, begitu juga yang hanya berkerusi roda, umat Islam dari seluruh pelosok dunia sanggup berhijrah jauh meninggalkan tanah air bagi mengambil kesempatan menggandakan amalan rukun Islam ketiga itu di tanah suci.

Walaupun suhu mencecah 50 darjah celsius, ditambah dengan keadaan sekeliling yang berdebu dilihat sangat menguji keimanan, apatah lagi terpaksa menempuhi Ramadan lebih lama daripada biasa kerana musim panas di negara itu.

Namun, bagi mereka, itu semua bukan penghalang sebaliknya dijadikan pendorong untuk pembakar semangat dengan mempercayai bahawa itulah yang akan menjadi saksi keteguhan iman mereka dalam beribadah kepada Allah SWT di akhirat nanti.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa menemui Ramadan di Mekah maka berpuasa dia dan berdiri dia (iaitu Solat Tarawih dia) apa-apa yang memudahkan dia, ditulis Allah SWT baginya pada setiap malamnya dengan (pahala) 100,000 kebaikan bulan Ramadan dan di dalam tiap-tiap hari kebaikan (baginya)." (riwayat Ibnu Majah)

Tidak ketinggalan dianggarkan lebih 5,000 rakyat Malaysia juga turut mengambil kesempatan merebut tawaran yang dijanjikan oleh Allah SWT pada bulan Ramadan dengan memenuhi ibadah di tanah suci.

Rata-rata penduduk Malaysia ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia meluahkan rasa syukur kerana terpilih dan berpeluang menjejakkan kaki ke dua kota suci bagi umat Islam itu bagi merasai pengalaman berpuasa.

Tidak sesekali mengeluh, apatah lagi berputus semangat, kota Mekah dan Madinah merupakan destinasi pilihan sebahagian umat Islam untuk menyempurnakan Ramadan, malah juga terdapat yang telah bertahun menyimpan hasrat tersebut sepanjang hayat.

Sapiah Ratin, 64, berkata, lebih mencabar daripada yang diceritakan, melakukan ibadah puasa di tanah suci buat kali pertama itu merupakan pengalaman yang sangat bermakna buat dirinya.

Namun, Sapiah tidak berputus asa untuk terus melakukan ibadah dalam sisa tenaga yang ada kerana apa yang penting baginya untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini adalah yang terbaik daripada sebelumnya.

“Segala cabaran yang perlu dilalui tidak menjadi masalah buat makcik, sebaliknya makcik sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan ini di Mekah dan Madinah.

“Cukuplah dapat menjejakkan kaki di kedua-dua tanah suci dan melihat Kaabah di depan mata yang selama ini makcik impikan menjadi pendorong semangat dan menghilangkan segala cabaran yang ada," katanya yang berasal dari Perak.

Bagaimanapun bagi Sapiah, mengekalkan kesihatan dan tenaga sangat penting serta perlu dititikberatkan bagi mengelakkan keletihan semasa melakukan ibadah sepanjang berada di tanah suci.

“Maklumlah, dalam usia sebegini badan sangat lemah dan sensitif dengan sekeliling. Bagi mengekalkan tenaga untuk beribadat, makcik turut mengambil berat mengenai kesihatan. Makcik ada membawa bersama ubat-ubatan yang diperlukan dari Malaysia.

“Begitu juga, makcik akan pastikan memperbanyakkan minum air zam-zam sewaktu sahur dan berbuka serta memohon pertolongan agar diberi kekuatan untuk memanfaatkan masa yang ada sepanjang berada di sini," kongsinya.

Sapiah berharap, segala amalan yang dilakukan selama 14 hari di tanah suci itu diperkenankan oleh Allah SWT dan masih diberi peluang untuk mengunjungi rumah Allah SWT itu lagi pada masa depan.

Impian sejak 24 tahun

Sementara itu, bagi Hamidah Abd. Hamid, 57, berpeluang melakukan ibadah puasa di tanah suci pada tahun ini, sekali gus menamatkan penantiannya untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan sejak 24 tahun lalu.

Berkongsi impian tersebut, beliau yang ketika itu pernah menunaikan ibadah haji menanamkan niat untuk berpuasa di tanah suci selepas mendengar pelbagai kisah mengenai ganjaran oleh Allah SWT kepada umat Islam yang berpuasa di tanah suci.

Namun, disebabkan oleh pelbagai kekangan termasuk kewangan, Hamidah terpaksa menangguhkan hasratnya itu dengan terus berdoa dan tidak berhenti berharap untuk diberikan peluang oleh Allah SWT memperkenankan impiannya.

“Jika hendak difikirkan cabaran dan inginkan keselesaan, memang tidak sampailah saya di sini. Tetapi, oleh kerana dorongan semangat dan hajat yang tidak pernah luntur saya berusaha sedaya upaya untuk mengunjungi tanah suci ini untuk kali kedua.

“Ia selepas saya menunaikan ibadah haji pada 1990 lalu membuatkan saya menanamkan azam untuk mengerjakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Lebih-lebih lagi, apabila dalam ceramah yang pernah dihadiri, ustaz menyatakan mengenai kelebihan orang yang berpuasa di tanah suci pada bulan Ramadan," katanya.

Menurut Hamidah berkata, ternyata bukan sahaja ganjaran akhirat semata-mata yang diperoleh, malah kelebihan di dunia turut dapat dirasai ketika berada di tanah suci.

“Pelbagai pengalaman baharu yang boleh dirasai ketika berpuasa di tanah suci. Walaupun dalam cuaca yang panas dan berdebu, malah perlu berpuasa hampir 15 jam sehari, tetapi kita tidak terasa lama dan terlalu lapar.

“Malah, dengan berpuasa di Mekah dan Madinah ini saya dapat merasakan ketenangan hati dan kelapangan fikiran, serta bebas daripada sebarang masalah," ujarnya yang berasal dari Beruas, Perak.   MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan/Bicara_Agama/20140710

Tags: ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments