mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fahami erti kekalahan sebenar

KEKALAHAN mengejut pasukan Brazil selaku tuan rumah Piala Dunia 2014 kepada pasukan Jerman 7-1, adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

Ia sekali gus melenyapkan cakap-cakap bola yang mengatakan bahawa pasukan Brazil akan menjuarai pertandingan kali ini.

Sementara itu, beberapa buah negara seperti Algeria, Nigeria, Bosnia Herzegovina dan Iran yang boleh dikatakan mewakili negara-negara Islam sudah pun tersingkir awal daripada pertandingan ini apabila gagal dalam pusingan kalah mati sebelum melangkah ke peringkat suku akhir.

Begitulah resam pertandingan pasti ada yang kalah dan yang menang. Usahlah pula ada yang terlalu fanatik hingga bergaduh dan bermasam muka dek kerana bola kerana ia hanya hiburan dunia yang bersifat sementara.

Begitu pula umat Islam diingatkan agar tidak terlibat dengan judi bola sepak kerana ia sesuatu yang merugikan dan dalam masa sama ada pihak mengaut keuntungan lumayan daripada kegiatan judi yang tidak bermoral ini.

Apatah lagi pada bulan yang mulia ini, umat Islam diseru berusaha menambah amal kebajikan bagi mendapatkan keampunan Ilahi, bukan menimbunkan dosa dan kutukan Tuhan yang tidak berkesudahan.

Dalam pada itu terdapat pula segelintir umat Islam yang sudah awal-awal lagi berjaya dikalahkan oleh nafsu diri sendiri dengan enggan berpuasa.

Tanpa rasa bersalah mereka makan, minum dan menghisap rokok sepuasnya. Ada pula yang dengan sengaja menunjuk-nunjuk kebiadaban mereka dengan makan di khalayak ramai tanpa menghiraukan kehormatan siang hari tanpa makan dan minum pada bulan Ramadan.

Inilah realiti kehidupan sebahagian individu Muslim dewasa ini, yang kelihatan jauh menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar. Mereka selamba melanggar segala peraturan dan perintah Allah SWT tanpa rasa takut terhadap azab dan seksa yang dijanjikan buat mereka.

Malah boleh jadi golongan inilah nanti yang beria-ia membuat persiapan hari raya tanpa sekelumit rasa malu terhadap Allah SWT yang mewajibkan berpuasa di bulan Ramadan.

Lebih daripada itu ada kemungkinan golongan manusia seperti ini akan tersingkir daripada memperoleh pelbagai ganjaran dan kurniaan Ramadan yang tidak terhingga banyaknya.

Golongan ini juga dinasihatkan supaya segera bertaubat sebelum ajal datang menjemput kerana pada ketika itu tiada apa yang boleh diharapkan melainkan amal ketaatan semasa hidup. Golongan ini juga diperingatkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud;

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)". (Terjemahan Surah al-Mukminun: 99-100)

Apa pun tepuk dada tanya iman. Bagi yang malas untuk berpuasa, kesempatan untuk makan terbuka luas buat mereka. Kalaupun tiada Bazar Ramadan di kejiranan mereka, di sana-sini terdapat restoran 24 jam, seperti kedai mamak dan restoran makanan segera yang bersedia memenuhi tuntutan nafsu serakah mereka. Malah terdapat pula perkhidmatan penghantaran ke rumah dan pandu lalu lantas sesiapapun boleh makan dan minum dengan bebasnya.

Di sudut lain terdapat pula segelintir kaum Muslimin yang mula dikalahkan dengan nafsu sendiri apabila lengah dan lalai daripada melaksanakan tuntutan ibadah pada bulan penuh keberkatan ini.

Di sana-sini orang ramai sudah mula berpusu-pusu ke pusat beli-belah mahupun bazar hari raya bagi membuat persiapan sebelum bercuti panjang dan pulang ke kampung halaman.

Masjid dan surau yang di awal Ramadan meriah dengan kehadiran ramai jemaah kini kembali tenang dan hanya kaki masjid yang terus setia mengimarahkannya. Ramai yang mula berfikir tentang kuih-muih dan persiapan menyambut hari raya berbanding terus berusaha meraih kurnia Ramadan yang tidak ternilai.

Masyarakat Islam diperingatkan betapa bahagian pertama Ramadan yang dijanjikan dengan limpahan rahmat Ilahi baharu sahaja berakhir dan kini ganjaran pengampunan dosa serta pembebasan daripada api neraka menanti para Mukminin yang sabar dan komited melaksanakan tugasan ibadah.

Begitu pula malam kemuliaan Lailatulqadar yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW akan berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan juga semakin hampir menjelang tiba.

Justeru, umat Islam diseru tidak terlalu teruja menantikan ketibaan Syawal dengan segala persiapan yang serba baharu dan mahal-mahal. Ini kerana golongan yang tahu nilai Ramadan berharap agar Ramadan sepanjang tahun.

Umat Islam juga diseru menunjukkan tanda syukur kepada Ilahi atas kurnia sekali lagi dipilih bertemu Ramadan dengan banyak berbakti dan beramal kerana boleh jadi inilah Ramadan terakhir buat semua.

Syukurilah juga nikmat keamanan dan keharmonian yang ada sehingga para Muslimin bebas berpuasa, qiamulail dan sebagainya. Ini kerana di sesetengah negara terdapat kaum Muslimin yang ditegah daripada berpuasa.

Saudara seislam di Semenanjung Gaza terpaksa melalui hari-hari Ramadan dengan peluru dan bedilan roket rejim Yahudi yang tidak berperikemanusiaan.

Di negara Islam yang dilanda kebuluran pula, ada yang terpaksa berpuasa selama berhari-hari kerana tiada makanan dan minuman untuk bersahur apatah lagi untuk berbuka puasa.

Fahamilah juga betapa erti kekalahan sebenar buat para Muslimin tidaklah diukur berdasarkan siapa yang kalah dan siapa yang menang. Akan tetapi kekalahan itu diukur apabila terdapat individu Muslim yang keluar daripada Ramadan tanpa memperoleh sebarang ganjaran dan kurniaan yang melimpah-ruah yang disediakan oleh Allah SWT di bulan suci penuh kemuliaan ini.

*MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM , Kampus Pasir Gudang, Johor. Utusan/Rencana/20140711

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments