mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menyuburkan budaya sedekah pada bulan Ramadan

KEBANYAKAN masjid dan surau sudah mula mengagihkan bantuan kepada anak-anak yatim, fakir miskin dan pelbagai golongan lain yang layak supaya mereka dapat sama merayakan hari raya dengan rasa gembira dan boleh membeli pelbagai barang keperluan seperti golongan yang berkemampuan.

Ada juga orang perseorangan yang memberi bantuan atas nama Hamba Allah kepada pelbagai golongan di sesetengah tempat. Ada yang datang ke surau dan meletakkan berhelai-helai kain pelikat, diberikan kepada jawatankuasa surau untuk diagihkan kepada golongan yang layak menerimanya.

Amalan bersedekah pada bulan mulia ini bukan setakat membantu golongan yang disebutkan tadi tetapi untuk menyuburkan harta bagi orang yang bersedekah dan memperoleh keberkatan. Oleh sebab itulah kita diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah untuk menyuburkan harta dan bertujuan mengagihkannya untuk golongan yang tidak begitu mampu dalam kehidupan mereka.

Kita patut bersyukur dengan nikmat yang Tuhan kurniakan kepada kita kerana dapat hidup di sebuah negara yang aman damai dan mudah pula kita mencari rezeki. Tidak seperti di sesetengah negara lain yang dilanda peperangan, penindasan, bencana alam dan sebagainya. Lihat sahaja di Gaza, penduduknya hidup dalam keadaan ketakutan dan tidak akan dapat menikmati bulan Ramadan seperti yang kita nikmati sekarang. Mereka juga sudah tentu tidak akan dapat meraikan Syawal sebagaimana kita menyambutnya.

Di sesetengah negara, umat Islamnya dapat makan daging lembu setahun sekali sahaja iaitu ketika Hari Raya Haji sedangkan di negara kita, daging lembu boleh didapati dengan mudah. Negara-negara yang ditimpa bencana dan musibah perang, pelbagai masalah dihadapi termasuk kematian ahli keluarga, kecederaan, wabak penyakit dan sebagainya.

Kita pula dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dari awal pagi sampailah ke senja, dapat pula berbuka puasa dengan pelbagai juadah yang enak dan bersahur pula dengan makanan yang lazat-lazat. Kebanyakan daripada kita juga dilimpahi dengan nikmat kemewahan sama ada dari segi kewangan dan harta benda. Kita juga sudah menyediakan segala macam persiapan untuk hari raya termasuklah pakaian dan perabot di rumah, malah ada yang mampu menukar kenderaan baharu untuk pulang berhari raya di kampung.

Malah, ada dalam kalangan kita yang boleh mensedekahkan juadah berbuka puasa di surau, masjid dan sebagainya kerana berkemampuan. Ada pula yang membawa makanan ke rumah anak-anak yatim dan turut sama berbuka puasa di rumah anak-anak yatim atas kesedaran kemanusiaan dan tanggungjawab sesama manusia.

Amalan bersedekah tidak mengira batas sempadan. Di masjid dan di surau-surau, ada tabung untuk mangsa keganasan di Gaza. Bagi yang berkemampuan dan ada nilai keprihatinan, derma bolehlah dihulurkan untuk meringankan bebanan mereka.

Manakala di negara kita, tidak semua yang bernasib baik dalam kehidupan mereka. Ada warga tua yang tinggal sebatang kara, ada anak-anak yatim yang tidak ada tempat pergantungan dan ada yang cacat dan tidak mampu bekerja seperti orang lain. Walaupun sudah ada bantuan untuk golongan ini yang diberikan oleh kerajaan dan badan-badan lain, tetapi dengan bantuan yang kita berikan, bebanan mereka akan menjadi lebih ringan.

Golongan yang kurang bernasib baik mesti dibantu kerana mereka juga mahu merasakan nikmat berhari raya dengan sempurna walaupun dengan cara serba kekurangan. Bagi warga bandar yang pulang berhari raya di kampung, jenguk-jenguklah warga kampung yang tidak berkemampuan dan hulurkan bantuan kepada mereka agar mereka tidak berasa disisih. Jika tidak dihulurkan wang ringgit sekalipun, barang-barang keperluan seperti beras, gula, tepung, pakaian dan sebagainya boleh disedekahkan.

Nikmat berhari raya akan dirasakan oleh semua pihak tidak kira miskin dan kaya sekiranya mereka memahami bahawa semasa berpuasa, tidak kira golongan mana pun, mereka sama-sama berlapar dari awal pagi sampailah ke senja.

Penulis pernah melihat seorang kanak-kanak yang sedang mendengar khutbah Jumaat memasukkan wang seringgit ke dalam tabung yang diedarkan kepada jemaah.

Penulis merasakan bahawa ibu bapa memainkan peranan agar mendidik anak-anak mereka supaya menjadikan sedekah itu sebagai amalan dan budaya kerana banyak kelebihan apabila bersedekah. Jika kanak-kanak seawal usia 12 tahun pun boleh bersedekah, tentulah yang dewasa pun tidak keberatan untuk bersedekah kerana golongan ini lebih memahami manfaat bersedekah. M JASNI MAJED Utusan/Rencana/20140717

Tags: sedekah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments