mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Amal ilmu agama, banyak bersedekah bekalan akhirat

Kita semua ingin masuk syurga sebagai pengakhir hidup dan untuk mencapai hasrat itu, setiap insan perlu menambah ilmu di samping beribadah dengan betul serta ikhlas, bukan terikut-ikut. Saidina Umar Al Khattab berkata, orang yang tidak berilmu sama seperti orang gila.

Penceramah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Fakhrullah Zainol Sharudin, berkata setiap umat Islam perlu mendalami ilmu agama serta mengamalkannya dan pada masa sama menyampaikan ilmu itu kepada orang lain.

“Mencari ilmu wajib dan perlu juga menyampaikan kepada orang lain, tetapi pastikan ilmu itu mesti betul. Nabi Muhammad SAW bersabda, agama itu adalah nasihat,” katanya pada ceramah Ihya Ramadan anjuran Badan Khairat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Maksiat berleluasa

Beliau berkata, berbeza dengan apa yang berlaku hari ini, masyarakat mengambil sikap tidak mahu menjaga tepi kain orang menyebabkan maksiat berleluasa hingga ada yang berlaku di depan mata, tetapi masyarakat tidak peduli.

Katanya, walaupun selemah-lemah iman adalah membantah dalam hati, ia tidak sepatutnya menjadi pilihan masyarakat kerana mereka juga bertanggungjawab mencegah berlakunya kemungkaran yang semakin berleluasa pada akhir zaman ini.

Justeru, beliau menegaskan masyarakat mengamalkan ilmu agama untuk mendapat keberkatan dalam hidup serta istiqamah mencari ilmu yang benar.

“Dalam mencari ilmu perlulah yang tulen bukan seperti agama Yahudi yang berpecah kepada 71 ajaran, manakala Kristian menjadi 73 ajaran, tidak ada satu pun lagi ahli kitab. Agama Islam berpecah 74 oleh ajaran sesat yang terkeluar daripada ajaran Islam yang berpandukan al-Quran dan sunah Nabi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang yang berilmu supaya bersikap merendah diri dan mengajak umat Islam mengambil kesempatan bulan Ramadan yang mulia untuk memperbanyakkan membaca serta memahami isi kandungan ajaran al-Quran.

Elak membazir, banyak sedekah

Katanya, melalui kefahaman ajaran agama, umat Islam dapat mengelak daripada melakukan pembaziran sebaliknya akan lebih banyak bersedekah.

“Kelebihan umat Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW ialah sama ada kita berbuat baik atau jahat, balasan Allah lambat, tidak seperti pada zaman nabi sebelumnya. Oleh itu, digalakkan bersedekah sebagai bekalan untuk kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata, YaPEIM menjalankan pelbagai program termasuk membantu anak-anak yatim dan ibu tunggal yang memerlukan. Orang ramai boleh bersedekah atau memberi sumbangan menerusi pemotongan gaji bulanan. Berita Harian Agama 17/07/2014
Tags: sedekah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments