mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bendung perlakuan tak hormat Ramadan

Masyarakat bantu salur maklumat kepada pihak berkuasa

Kita sekarang sudah berada pada minggu ketiga bulan Ramadan yang mulia. Bulan berkat ini hari demi hari akan meninggalkan kita. Ulama silam apabila berada pada minggu akhir Ramadan akan berasa sedih mengenangkan bulan amalan digandakan sudah hampir berakhir.

Kita juga ingin merasai yang sama. Masa yang berbaki ini wajar diisi dengan pelbagai ibadah mulia, termasuklah membaca al-Quran, bertadabbur maknanya melaksanakan solat tarawih dengan baik serta bertahajud pada waktu malamnya.

Bagaimana pihak PKA boleh bertindak jika tiada sesiapa memaklumkan kepada mereka kewujudan perlakuan salah ini. Justeru, bantuan orang awam diperlukan apabila wujud kes sebegini dalam masyarakat.

Ketika amalan baik diganjari dengan pahala berganda, kita wajar mengambil peluang melaksanakan ibadah lain sebaik mungkin seperti bersedekah kepada golongan memerlukan terutama saudara mara yang miskin, anak yatim serta negara bergolak seperti Palestin, Syria dan Mesir.

Makan waktu siang Ramadan

Pada masa sama, ada juga yang tidak melihat bulan Ramadan sebagai bulan ibadah. Ada yang tidak mengendahkan solat lima waktu dan tidak berpuasa. Malah, merasakan bulan ini waktu penuh penyeksaan kerana tidak dapat melakukan rutin harian termasuk makan sesuka hati pada waktu siangnya.

Atas dasar itu, kita kerap didedahkan dengan kisah orang Islam tidak berpuasa, membeli makanan secara tertutup atau terbuka dan makan di khalayak ramai. Begitu juga wujudnya kedai makanan yang membuka premis dan menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa secara terang-terangan.

Ini adalah perlakuan yang sangat dikesali. Dari segi hukum agama, sudah tentu perlakuan mereka adalah salah dan berdosa. Bulan yang Allah SWT muliakan ini dipandang sepi dan tidak mempunyai apa-apa makna kepada mereka.

Dari sudut perundangan, perlakuan itu sebenarnya salah dan pelaku yang disabitkan boleh didenda oleh Mahkamah Syariah. Perkara ini boleh dilihat dalam kod Undang-Undang Jenayah Syariah negeri.

Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2003 menyebut, ‘Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap pada waktu itu. Dan mana-mana orang yang secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya adalah dianggap melakukan kesalahan. Jika disabitkan, pelakunya boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama. Jika disabitkan kali kedua atau berikutnya, dia boleh didenda tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.”

Peruntukan ini sebenarnya menyatakan adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang, mana-mana orang menjual makanan kepada orang tidak puasa. Begitu juga orang yang makan secara terbuka pada siang Ramadan adalah salah dan boleh dihukum.

Peruntukan ini juga sebenarnya mendidik kita menjadi masyarakat prihatin dalam menjaga kemuliaan Ramadan. Dalam melaksanakan peruntukan undang-undang, Pegawai Penguat Kuasa Agama (PKA) atau mana-mana pegawai diberi tauliah dan mempunyai kad kuasa saja yang boleh menangkap dan mengambil tindakan ke atas pelaku berkenaan.

Bantuan orang awam lapor kes

Tetapi persoalannya, bagaimana pihak PKA boleh bertindak jika tiada sesiapa memaklumkan kepada mereka kewujudan perlakuan salah ini. Justeru, bantuan orang awam diperlukan apabila wujud kes sebegini dalam masyarakat.

Ia termasuklah mengenal pasti restoran yang menjadi tempat orang tidak puasa berkumpul dan ada orang Islam tidak berpuasa yang makan di dalamnya. Aduan orang ramai yang prihatin wajar dibuat kepada pihak PKA apabila ada kes pasangan disyaki berkhalwat atau kewujudan ajaran sesat.

Bantuan dalam bentuk maklumat sangat diperlukan supaya PKA dapat mengambil tindakan sewajarnya. Masyarakat perlu turut membantu memberi pertolongan ke arah menangani isu ini.

Keprihatinan ahli masyarakat ini dinyatakan dalam seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 (ETJS) memperuntukkan: “Tiap-tiap orang yang mengetahui perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta-merta memberikan maklumat kepada PKA atau pegawai polis yang terdekat mengenai perlakuan atau niat itu.”

Peruntukan ini menunjukkan jika orang awam tidak tahu PKA atau mereka yang mempunyai tauliah, maka boleh juga pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Pegawai polis boleh mengambil tindakan sewajarnya.

Masyarakat juga perlu didedahkan dengan cara membuat aduan. ETJS menyebut sesuatu maklumat boleh diberikan dengan mengisi Borang 5 menyatakan nama, alamat, telefon, nombor kad pengenalan, maklumat ingin disampaikan serta tanda tangan pemberi maklumat.

Dr Nurhidayah Hashim ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam. Berita Harian Agama 2014/07/17 - 03:54:51 AM
Tags: ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments