mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Lailatulqadar bonus bagi pemburu takwa Ramadan

Lailatulqadar adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang bermujahadah mengharapkan rahmat-Nya. Padanya juga diturunkan al-Quran yang mulia. Betapa istimewanya malam itu, ia termaktub secara khusus dalam surah al-Qadr.

Berikutan kemuliaan dan keagungan yang terdapat padanya, Rasulullah SAW menggalakkan umatnya memburu Lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Daripada Aisyah, Nabi SAW bersabda: “Carilah malam al-Qadr pada bilangan hari yang ganjil, pada sepuluh hari-hari terakhir di bulan Ramadan.”

Yakinlah Lailatulqadar mempunyai kelebihan dan fadilat besar. Jika kita begitu teruja memperoleh bonus bulanan pada pendapatan gaji kita, maka Allah SWT juga mengurniakan ‘bonus’ pahala jauh berlipat ganda pada malam al-Qadar.

Kurniaan ‘bonus’ daripada Allah SWT inilah yang menjadi bekalan akhirat nanti, sedangkan bonus berupa wang yang kita peroleh hanya menguntungkan kehidupan di dunia. Bukankah Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan?

Hayati puasa dengan sasaran ganjaran takwa

Ini bermakna, beribadah pada malam itu menyamai tempoh masa 83 tahun empat bulan. Wajarkah kita melepaskan peluang seumpama ini? Bagi yang benar-benar menghayati ibadah puasa dengan sasaran memperoleh ganjaran takwa, sudah pasti Allah SWT mengurniakan anugerah ini kepada mereka.

Inilah hadiah istimewa daripada Allah SWT kepada pemburu takwa di bulan Ramadan. Jiwa yang rindukan bonus istimewa ini, pasti bersedia mengharungi segala kesusahan serta sanggup berkorban berjaga malam mengetepikan nikmat keduniaan.

Setiap masa berlalu tidak dibiarkan bersisa dengan aktiviti yang sia-sia serta melalaikan. Rasailah betapa tenang dan damai dapat kita kecapi pada malam itu kerana Allah SWT menjanjikan kesejahteraan sehingga terbit fajar.

Malah, malam itu dilimpahi barakah daripada Allah SWT dan malam itu al-Quran diturunkan. Jadikanlah impian untuk bertemu Lailatulqadar kerana ia ternyata menjadi bukti keluasan rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada kita.

Allah SWT juga akan mengampunkan segala dosa hamba-Nya yang telah lalu jika mereka berjaya menghidupkan malam itu dengan penuh keimanan dan pengharapan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bangun malam pada malam al-Qadr kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

Dengan fadhilat Lailatulqadar yang dinyatakan, mudah-mudahan ia dapat memberikan suntikan motivasi kepada kita. Berusahalah mempertingkatkan amalan di bulan Ramadan khususnya pada sepuluh malam terakhir.   Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Berita Harian Agama 2014/07/18 - 03:43:29 AM
Tags: lailatul qadar, ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments