mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bersahur di Gaza, iftar di Jannah

BAGI mereka yang mempunyai kenalan atau saudara mara di Genting Gaza, Palestin, ungkapan 'bersahur di Gaza dan berbuka di Jannah' akan sentiasa bermain di bibir.

Ungkapan itu semakin ketara ketika ini di saat tentera rejim Zionis sedang memperhebatkan serangan ke atas 1.8 juta penduduk Gaza walaupun menerima asakan bertalu-talu daripada briged Izzuddin Al-Qassam, sebuah cawangan ketenteraan Hamas.

Bedilan roket setiap hari yang diterima penduduk Gaza yang kini mencapai sehingga 2,477 dari darat, laut dan udara, membuatkan penduduk Gaza tidak mampu untuk ke mana-mana.

Tiada tempat perlindungan daripada ancaman bedilan bom, tidak seperti Israel yang menyediakan kubu pertahanan bawah tanah dengan siren amaran serangan roket.

PENDERITAAN orang awam di Gaza akibat serangan tentera Israel turut mendapat perhatian
UMNO Bahagian Raub yang melancarkan Tabung Bantuan Khas Gaza untuk mengutip derma bagi membantu mereka, semalam. - BERNAMA

Di Gaza, anda hanya mempunyai masa sekitar 40 saat untuk lari meninggalkan rumah kesayangan jika diberi amaran ancaman oleh tentera rejim Zionis. Tiada siren. Dengan masa itu apa yang mampu anda bawa bersama?

Tentera rejim Zionis membaham apa sahaja yang ada di sekeping tanah yang bernama Gaza dengan hanya berkeluasan 360 kilometer persegi. Kereta, rumah orang awam, sekolah, bangunan kerajaan, hospital dan yang terkini, masjid.

Sudah lebih 47 tahun penduduk Gaza dikepung sejak peperangan enam hari dengan Israel yang menyaksikan tentera rejim Zionis itu berjaya menduduki Genting Gaza. Kini keadaan bertambah buruk.

Sejak itu, mimpi ngeri penduduk Gaza bermula. Mereka tidak dapat keluar masuk dengan bebas sebagai sebuah negara berdaulat. Mereka bersempadanan dengan Israel sejauh 51 kilometer (km) dan dengan Mesir (11km).

Pesisir pantai sepanjang 40km turut dikuasai oleh tentera Zionis sehingga memaksa nelayan-nelayan Gaza hanya menangkap ikan sekitar tiga batu nautika dari Gaza sahaja. Melepasi jangkauan itu, mereka akan ditembak tanpa soal siasat.

Kemenangan Presiden Mesir kelima, Dr. Mohammad Mursi pada 30 Jun 2012, memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk Gaza yang diberi kelonggaran untuk keluar masuk pintu sempadan di Rafah.

Jika sebelum itu pelbagai keperluan, makanan dan bahan api termasuk kenderaan dibawa masuk melalui terowong bawah tanah yang dibina antara Gaza dan Mesir, kini mereka diberi kelonggaran untuk membawa pelbagai keperluan itu secara sah melalui sempadan Rafah.

Namun, kemelut perebutan kuasa di Mesir sehingga berlaku kudeta terhadap pentadbiran Mursi menyaksikan kebanyakan terowong bawah tanah ini dimusnahkan. Pintu sempadan Rafah juga ditutup untuk penduduk Gaza.

Bermula dari itu, rejim Zionis mula 'meratah' penduduk Gaza yang semakin terkepung tanpa belas kasihan.

Kemuncaknya, tentera rejim Zionis memulakan Operasi Perlindungan Sempadan (Operation Protective Edge) sejak 10 Ramadan lalu dengan membedil hampir sebahagian besar kawasan dengan kepadatan penduduk tinggi di Gaza sama ada di kawasan berdekatan Rafah, Khan Younis ataupun Beit Lahiya.

Serangan bertalu-talu itu menyebabkan 172 orang awam yang tidak berdosa gugur syahid termasuk 36 kanak-kanak.

Bapa yang keluar bekerja waktu pagi kemungkinan tidak akan kembali ke rumah. Anak yang ke sekolah pada waktu pagi, tidak akan kembali pada petangnya, muadzzin yang mengalunkan azan Asar, kemungkinan tidak akan mengazankannya pada waktu Maghrib, rumah yang dibina beratus tahun untuk sebuah keluarga akan lenyap dalam sekelip mata.

Sebuah keluarga boleh bersahur bersama di Gaza, namun kemungkinan tidak semua ahli keluarga itu akan berjumpa ketika berbuka puasa. Semua itu berkemungkinan.

Presiden Kesatuan Ilmuan Islam Antarabangsa (IUMS), Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi pernah mengeluarkan fatwa yang mengatakan untuk membebaskan Palestin, kita perlu berjihad sehingga ke titisan darah terakhir, insya-Allah ganjaran syahid akan diberikan Allah.

Sehubungan itu, penduduk terutama orang Islam yang berada di bumi Gaza dengan izin Allah pasti akan menerima ganjaran syahid jika terkorban di sana kerana mempertahankan bumi tanah kelahiran Imam As-Syafie itu.

Itulah sebabnya mereka mengatakan mereka akan berada di Jannah. Malah, ada sekeping gambar yang kini berlegar-legar di laman sosial menunjukkan tulisan di dinding sebuah rumah yang runtuh di Gaza tertera: "Maaf, kami tidak dapat menerima sebarang tetamu kerana kami sudah berada di Jannah." MOHD. HAZLI HASSAN   Utusan/Rencana/20140718

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments